Showing posts with label Tokoh. Show all posts
Showing posts with label Tokoh. Show all posts

Sunday, 30 September 2012

Imam al-Ghazali..



Imam Al-Ghazali rahimahullah lebih dikenali sebagai ulama tasawuf dan akidah. Oleh sebab itu sumbangannya terhadap bidang falsafah dan ilmu pengetahuan lain tidak boleh dinafikan. Al-Ghazali merupakan seorang ahli sufi yang bergelar "hujjatui Islam".


Abu Hamid Ibnu Muhammad al-Tusi al-Ghazali itulah tokoh yang dilahirkan di Tus, Parsi pada tahun 450 Hijrah. Sejak kecil lagi, beliau telah menunjukkan keupayaan yang luar biasa dengan menguasai berbagai-bagai cabang ilmu pengetahuan. Beliau bukan sahaja produktif dari segi menghasilkan buku dan karya tetapi merupakan seorang ahli fikir Islam yang terulung.

Kecintaannya terhadap ilmu pengetahuan begitu mendalam sehingga mendorongnya menggembara dan merantau dari sebuah tempat ke tempat yang lain untuk berguru dengan ulama-ulama yang hidup pada zamannya. Sewaktu berada di Baghdad, Al-Ghazali telah dilantik sebagai Mahaguru Universiti Baghdad.

Walaupun telah bergelar mahaguru tetapi beliau masih merasakan kekurangan pada ilmu pengetahuan yang dimiliki. Lantaran itu, beliau meninggalkan jawatannya dan beralih ke bidang tasawuf dengan merantau ke Makkah sambil berguru dengan ahli-ahli sufi yang terkenal disana

Selain belajar dan mengkaji,. Al-Ghazali juga banyak menulis. Dianggarkan beliau telah menulis 300 buah buku mencakupi pelbagai bidang ilmu pengetahuan seperti mantik, akhlak, tafsir, ulumul Quran, falsafah, dan sebagainya. Walau bagaimanapun, sebahagian besar hasil tulisannya telah hangus dibbakar oleh tentera Moghul yan menyerang kota Baghdad.

Antara kitab yang musnah termasuk: 40 Jilid Tafsir, Sirrul Alamain (Rahsia Dua Dunia), dan al Madhnuuna bihi ala Qhairiha (Ilmu Yang Harus Disembunyikan Dari Orang'orang Yang Bukan Ahlinya,). Cuma 84 buah buku tulisan beliau yang berjaya diselamatkan seperti Al Munqiz Mm al Dhalal (Penyelamat Kesesatan), Tahafut al Falsafah (Penghancuran Falsafah), Mizanul Amal (Timbangan Amal), Ihya Ulumuddin (Penghidupan Pengetahuan), Mahkun Nazar fMengenai Ilmu Logik), Miyarul Ilmu, dan Maqsadil Falsafah (Tujuan Falsafah).

Meskipun Al-Ghazali banyak menulis mengenai falsafah tetapi beliau tidak dianggap sebagai seorang ahli falsafah. Malah kebanyakan penulis menggolongkan Al-Ghazali sebagai seorang yang memerangi dan bersikap antifalsafah. Pandangan ini berdasarkan tulisan Al-Ghazali dalam buku Tahafut Falsafah yang banyak mengkritik dan mengecam falsafah. Bahkan dalam buku tersebut, Al-Ghazali menyatakan tujuan menyusun buku itu adalah untuk menghancurkan falsafah dan menggugat keyakinan orang terhadap falsafah. Namun begitu, pandangan bahawa Al-Ghazali seorang yang antifalsafah tidak dipersetujui oleh beberapa orang sarjana.

Biarpun tidak ada seorang pun yang boleh menafikan kecaman Al-Ghazali terhadap falsafah seperti yang ditulis dalam buku Tahafut Falsafah itu tetapi perlu diingat- kan bahawa sikap skeptis (ragu) dan kritikannya terhadap falsafah merupakan sebahagian proses ilmu falsafah itu sendiri. Hal ini kerana tugas ahli falsafah bukan semata-mata untuk mencari kebenaran dan penyelesaian terhadap sesuatu masalah tetapi juga mencabar serta membantah penyelesaian yang dikemukakan terhadap permasalahan tersebut.

Kalau menyelusuri perjalanan hidup Al-Ghazali maka akan didapati bahawa beliau merupakan ilmuwan Islam pertama yang mendalami falsafah dan kemudian mengambil sikap mengkritiknya. Walaupun Al-Ghazali kurang senang dengan falsafah dan ahli filsafat tetapi dalam buku Maqasid al Falasifah., beliau telah mengemukakan kaedah falsafah untuk menghuraikan persoalan yang berkaitan dengan logik, ketuhanan, dan fizikal.

Menurut Al-Ghazali, falsafah boleh dibahagikan kepada enam ilmu pengetahuan ialah matematik, logik, fizik, metafizik, politik, dan etika. Bidang-bidang ini kadangkala selari dengan , agama dan kadangkala pula sangat berlawanan dengan agama.

Namun begitu, agama Islam tidak menghalang umatnya daripada mempelajari ilmu pengetahuan tersebut sekiranya mendatangkan kebaikan serta tidak menimbulkan kemudaratannya. Umpamanya agama tidak melarang ilmu matematik kerana ilmu itu merupakan hasil pembuktian fikiran yang tidak boleh dinafikan selepas ia difahami.

Cuma bagi Al-Ghazali, ilmu tersebut boleh menimbulkan beberapa persoalan yang berat. Antaranya ialah ilmu matematik terlalu mementingkan logik sehingga boleh menyebabkan timbul persoalan yang berkaitan dengan ketuhanan khususnya mengenai perkara yang tidak dapat dihuraikan oleh akal fikiran. Menurut Al-Ghazali tidak salah berpegang kepada logik tetapi yang menjadi masalahnya ialah golongan falsafah yang terlalu berpegang kepada logik, hendaklah membuktikan fakta termasuk perkara yang berhubung dengan ketuhanan atau metafizik.

Sebab itulah beliau menentang golongan ahli falsafah Islam yang cuba mengungkap kejadian alam dan persoalan ketuhanan menggunakan pemikiran daripada ahli falsafah Yunani. Beberapa orang ahli falsafah Islam seperti Ibnu Sina dan al-Farabi jelas terpengaruh akan idea pemikiran falsafah Aristotle. Maka tidak hairanlah ada antara pandangan ahli falsafah itu bertentangan dengan ajaran Islam yang boleh menyebabkan kesesatan dan syirik.

Terdapat tiga pemikiran falsafah metafizik yang menurut Al-Ghazali amat bertentangan dengan Islam iaitu qadimnya alam ini, tidak mengetahui Tuhan terhadap perkara dan peristiwa yang kecil, dan pengingkaran terhadap kebangkitan jasad atau jasmani.

Al-Ghazali tidak menolak penggunaan akal dalam pembicaraan falsafah dan penghasilan ilmu pengetahuan yang lain. Sebaliknya beliau berpendapatan bahawa ilmu kalam dan penyelidikan menggunakan fikiran boleh menambahkan keyakinan dan menyalakan api keimanan pada hati orang bukan Islam terhadap kebenaran ajaran Islam. Jadi, perkembangan sesuatu ilmu pengetahuan bukan sahaja bersandarkan kepuasan akal fikiran tetapi juga perlu mengambil kira aspek perasaan dan hati nurani. Al-Ghazali menganjurkan supaya umat Islam mencari kebenaran dengan menjadikan al-Quran sebagai sumber yang utama bukannya melalui proses pemikiran dan akal semata-mata. Jadi, apa yang cuba dilakukan oleh Al-Ghazali ialah memaparkan kesalahan dan kepalsuan bidang pengetahuan yang bercanggah dengan agama serta bertentangan dengan pendirian umat Islam. Sekali gus menunjukkan bahawa Al-Ghazali sebenarnya merupakan seorang ahli falssafah Islam yang mencari kebenaran dengan berpandukan al-Quran dan hadis tidak sebagaimana pemikiran serta permainan logik yang lazim digunakan ahli falsafah Yunani. Perkara yang ditentang oleh Al-Ghazali bukan ahli falsafah dan pemikiran yang dibawakan oleh mereka tetapi kesalahan, kesilapan, dan kesesatan yang dilakukan oleh golongan tersebut. Pada Al-Ghazali, tunjang kepada pemikiran falsafah ialah al-Quran itu sendiri.





Kisah Imam Ghazali


SEHARI BERSAMA AL-GHAZALI


Hari itu, aku berjumpa al-Ghazali. Janggutnya panjang, renungan matanya tajam, badannya kurus, pipinya cengkung, kelibatnya agung sekali. Orang yang khalis, matanya tajam penuh bercahaya dek menjaga daripada melihat perkara yang mungkar, alangkah, jauhnya jika dibandingkan dengan aku. Badannya yang kurus dan pipinya yang cengkung tanda seorang yang suka berpuasa dan mendambakan diri sepenuhnya kepada dunia keilmuan. Siapa tidak kenal beliau, tulisannya merata di dunia ini.

“Semua orang mengenali tuan. Tulisan tuan yang sudah lama,namun masih relevan danmasih ditatap sehingga sekarang. Kata-kata tuan sungguh berisi dan bermakna, apa rahsianya?” aku bertanya sekadar inginkan kepastian.

Beliau kulihat menundukkan kepala, beristighfar seketika, tanda merendah diri dan tawadahu’ seorang alim yang wara’. Alim itu tanda orang yang menguasai ilmu dalam kepala dan ingatannya. Faqih itu tanda orang hikmah yan memahami secara isi dalam, bukan sahaja kulit luar. Wara’ itu tanda orang yang menjauhi perkara syubhat apa lagi perkara haram. Zuhud itu tanda orang yang memalingkan keinginannya daripada keduniaan yang mencengkam. Tawadhu’ itu tanda orang yang sentiasa sedar dirinya hanya dari air mani yang hina, tidak lebih dari itu. Abid itu tanda orang yang selera dan ghairah beribadat serta sentiasa tenggelam dalam kerinduan bercinta dengan Tuhan Yang Maha Pengasih. Mukhlis itu tandaornag yang mengejar akhirat sehingga terlupa dunia. Semua itu ada pada a-Ghazali, yang membuatkan seluruh dunia jatuh segan dengan peribadi beliau.

“Aku mengenali Allah sebagai Tuhanku, lalu aku mengembara dalam mencari rahsia hidup yang sebenar, sehingga aku mengerti, bahawa dunia ini hanyalah fatamorgana,” balasnya sedikit sedangkan air matanya kelihatan mengalis membasahi pipinya.

Alangkah, apakah aku mengenali Allah? Persoalan itu kian membuatkan nafas aku termengah-mengah, aku terduduk. Apakah aku mengenali Allah sebagaimana al-Ghazali mengenali zat-Nya yang Maha Quddus? Apakah aku hanya mengenali Allah sebagai pemberi pahala dan dosa, bukannya Tuhan yang harus kucinta? Apakah aku hanya mengenali Allah sebagai Tuhan yang memiliki syurga dan neraka sedangkan aku terlupa Allah sebagai Tuhan yang harus kurindu sepanjang masa?

“Dan barangsiapa mengharapkan pertemuan yang baik dengan Tuhannya kelak, maka hendaklah ia beramal soleh dan jangan ia mensyirikkan-Nya dengan segala sesuatu” (Al-Kahfi)

“Apakah tanda orang yang tawadhu’ itu tuan?” aku bertanya lagi ingin mendapatkan kepastian.

“Wahai anak muda, tidakkah engkau memerhatikan kalam Ibn ‘Ataillah? Tanamlah kewujudan dirimu dalam bumi yang terpencil, maka sesungguhnya sesuatu yang tidak ditanam, maka tidak sempurna natijahnya”, al-Ghazali sekali membuatkan aku terkedu. Menanam kewujudan diri, agar tidak gila mencari kemasyhuran, tidak gila ingin mendapat harta dan pangkat, tidak gila namanya disebut-sebut. Ya,barangsiapa mengejar dunia, dunia akan mendatanginya sedangkan akhirat menjauhkan diri. Barangsiapa mengejar akhirat, maka akhirat dan dunia, kedua-duanya akan berlari mendapatkannya.

“Bagaimana pula dengan orang yang khauf?”. Al-Ghazali sekali lagi menundukkan kepala, lalu ia menangis teresak-esak. Tangisannya semakin lama semakin membingit, semakin banyak air mata yang tumpak dan bahunya terangkat-angkat menahan sebak. Aku panik dibuatnya, tetapi inilah realiti orang yang soleh, sentiasa takut dengan janji-janji azab dari Allah. Mereka mengerti Allah Maha Pengampun,tetapi mereka juga sangat memahami bahawa seksaan Tuhan amatlah perit tidak tertanggung.
“Anakku, Ibn Mas’ud menyebut, orang mukmin melihat dirinya yang berdosa seperti ia berada di bawah bukit, takut bukit itu akanmenimpa dirinya. Sedangkan orang munafiq melihat dosanya seperti lalat yang singgah di hidung”. Aku tergamam mendengarnya. Aku semakin takut, kerana aku sedar dosaku bertimbun banyaknya. Dosaku jika dibandingkan dengan al-Ghazali, ibarat lautan dengan setetes air. Neraka itu semakin menghampiriku, sedangkan bau syurga semakin menipis.

Al-Ghazali itu benar-benar orang yang berilmu dan bijaksana, alim serta soleh. Ia tidak perlu berbicara untuk mendidik orang,kerana cukuplah peribadinya mendidik dan mengasuh orang agar tunduk kepada ajaran agama. Nurul Ilmi,cahaya ilmu itu perlu kepada ‘Ainul Yaqin, iaitu keyakinan yang turut berpaksikan ‘Ainul Basirah. Apabila ‘Ainul Basirah diasah dari semasa ke semasa, takhalli daripada perbuatan yang menjauhkan diri daripada Allah, tahalli dengan amal mahmudah disusuli dengan tajalli, maka akan lahirlah Haqqul Yaqin ataupun ‘Ainul Haqqi.

Allah berkata kepada Daud, “Hai Daud, kenalilah Aku dan kenal pulalah dirimu”. Maka Daud bermunajat, kata baginda, “Wahai Tuhanku, aku kenal Engkau dengan sifat keesaan-Mu, kekuatan yang Maha Agung dan hidup yang kekal terus-menerus yang tidak ada batasnya, dan aku kenal diriku dengan kedhaifannya, kelemahannya dan tidak kekal”.

Seseorang bertanyakan Abu Bakar, “Dengan apa engkau mengenali Tuhanmu?”. Abu Bakar menjawab, “Aku mengenali Tuhanku dengan Tuhanku, dan jika bukan kerana Tuha, nescaya aku tidak mengenali Tuhanku”.

Yang hanya meletakkan Allah di hati namanya fana’. Allah berfirman di dalam Surah Al-Rahman, “Segala sesuatu akan binasa. Dan kekallah Tuhan yang memiliki ketinggian dan kemuliaan”. Rintih munajat turut mendendangkan, Hasbi Rabbi jallaLlah, ma fi qalbi ghairuLlah.

Yang membulatkan ingatan dan perasaan kepada Allah namanya Baqa’. Yang mabuk dalam cinta kepada Allah namanya Sakr. Apakah engkau tidak memerhatikan seseorang ang mabuk bercinta dengan kekasihnya, tidurnya tidak tenang, perilakunya gelisah, apabila mendengar sesuatu yang buruk menimpa kekasihnya, ia akan menjadi sangat resah?

Itu baru percintaan dengan makhluk,sedangkan al-Ghazali tenggelam dalam percintaan dengan Khaliq yang kaya dengan erti cinta. Ia sering dikejar rasa resah kerana teringatkan dosanya yang senipisdebu sedangkan kita tidak tergugah langsung dengan dosa kita yang membukit. Al-Ghazali sering diburu rasa rindu dengan syurga Allah sehingga membuatkkannya tidak tenang jika masanya tidak terisi dengan amal ibadat dan zikir yang berpanjangan.

Syair ada menyebut, dan aku dapat merasakan syair itu ada kaitan yang sangat erat dengan peribadi dan akhlak al-Ghazali,

“Aku tidak ingin pakai baju selain Engkau memakaikan kepadaku,
Aku tidak menerima dunia jika selain Engkau yang memberikannya”

Friday, 31 August 2012

Imam Syafi'e Rahimahullah...



Imam as-Syafi’e rahimahullah lahir di Gaza, Palestin pada tahun 150H/767M. Nama sebenarnya ialah Muhammad bin Idris as-Syafi‘e. Beliau mempunyai pertalian darah Quraisy dan hidup tanpa sempat melihat ayahnya. Pada umur 10 tahun ibunya membawanya ke Makkah untuk menunaikan ibadah Haji dan selepas itu beliau tetap berada di sana untuk menuntut ilmu. Di Makkah Imam as-Syafi’e memulakan perguruannya dengan Muslim bin Khalid al-Zanji, yakni mufti Kota Makkah ketika itu.

Kitab ilmu yang paling terkemuka pada ketika itu ialah al-Muwattha’ karangan Imam Malik bin Anas, dan Imam as-Syafi’e dalam usia 15 tahun telah pun menghafal keseluruhan kitab tersebut. Imam as-Syafi’e kemudiannya berhijrah ke Madinah untuk berguru pula dengan penulis kitab itu sendiri, yakni Imam Malik bin Anas. Ketika itu Imam as-Syafi’e baru berumur 20 tahun dan beliau terus duduk bersama Imam Malik sehinggalah kewafatannya pada tahun 179H/796M. Ketokohan Imam as-Syafi’e sebagai murid terpintar Imam Malik bin Anas mulai diiktiraf ramai. Imam as-Syafi‘e mengambil alih sebentar kedudukan Imam Malik bin Anas sebagai guru di Masjid Nabawi di Madinah sehinggalah beliau ditawarkan satu kedudukan jawatan oleh Gabenor Yaman. Jawatan Imam as-Syafi’e di Negeri Yaman tidak lama kerana beliau telah difitnah sebagai pengikut mazhab Syi‘ah. Selain itu pelbagai konspirasi lain dijatuhkan ke atasnya sehinggalah beliau dirantai dan dihantar ke penjara di Baghdad, yakni pusat pemerintahan Dinasti Abbasid ketika itu.

Imam as-Syafi’e dibawa menghadap kepada Khalifah Harun ar-Rashid dan beliau berjaya membuktikan kebenaran dirinya. Kehandalan serta kecekapan Imam as-Syafi’e membela dirinya dengan pelbagai hujjah agama menyebabkan Harun ar-Rashid tertarik kepadanya. Imam as-Syafi’e dibebaskan dan dibiarkan bermastautin di Baghdad. Di sini Imam as-Syafi’e telah berkenalan dengan anak murid Imam Abu Hanifah dan duduk berguru bersama mereka, terutamanya Muhammad bin al-Hasan as-Syaibani. Suasana ini memberikan kelebihan yang penting bagi Imam as-Syafi’e, iaitu beliau berkesempatan untuk belajar dan membanding antara dua ajaran Islam, yakni ajaran Imam Malik bin Anas dan ajaran Imam Abu Hanifah.

Pada tahun 188H/804M, Imam as-Syafi’e berhijrah pula ke Mesir. Sebelum itu beliau singgah sebentar di Makkah dan di sana beliau diberi penghormatan dan dipelawa memberi kelas pengajian agama. Imam as-Syafi’e kini mula diiktiraf sebagai seorang imam dan beliau banyak meluahkan usaha untuk cuba menutup jurang perbezaan di antara ajaran Imam Malik bin Anas dan Imam Abu Hanifah. Usahanya ini tidak disambut baik oleh para penduduk Makkah kerana kebiasaan mereka adalah kepada ajaran Imam Malik bin Anas.

Pada tahun 194H/810M, Imam as-Syafi’e kembali semula ke Baghdad dan beliau dipelawa untuk memegang jawatan Qadhi bagi Dinasti Abbasid. Beliau menolak dan hanya singgah selama 4 tahun di Baghdad. Imam as-Syafi’e kemudian kembali ke Mesir dan memusatkan ajarannya di sana pula. Daud bin ‘Ali pernah ditanya akan kelebihan Imam as-Syafi’e berbanding tokoh-tokoh lain pada ketika itu, maka beliau menjawab:

“As-Syafi‘e mempunyai beberapa keutamaan, berkumpul padanya apa yang tidak terkumpul pada orang lain. Beliau seorang bangsawan, beliau mempunyai agama dan i’tiqad yang sebenar, seorang yang sangat murah hati, mengetahui hadith sahih dan hadith dhaif, nasikh, mansukh, menghafal al-Quran dan hadith, perjalanan hidup para Khulafa’ ar-Rashidin dan amat pandai pula mengarang.”



Dalam usahanya untuk cuba menutup jurang perbezaan antara ajaran Imam Malik bin Anas dan Imam Abu Hanifah, Imam as-Syafi’e menghadapi banyak tentangan daripada para pengikut Mazhab Maliki yang amat taksub kepada guru mereka. Pada satu malam, dalam perjalanan balik ke rumah dari kuliah Maghribnya di Mesir, Imam as-Syafi’e telah diserang dan dipukul orang sehingga menyebabkan kematiannya. Pada ketika itu Imam as-Syafi’e juga sedang menghadapi penyakit buasir yang agak serius.

Imam as-Syafi’e meninggal dunia pada 29 Rejab tahun 204H/820M di Mesir ketika berumur 54 tahun (Hijriah). Beliau meninggalkan kepada dunia Islam sebuah kitab yang paling agung dalam bidang usul fiqh berjudul ar-Risalah. Kitab ini adalah yang terawal dalam menyatakan kaedah-kaedah mengeluarkan hukum daripada sesebuah nas al-Qur’an dan as-Sunnah. Selain itu Imam as-Syafi’e juga meninggalkan kitab fiqhnya yang termasyhur berjudul al-Umm. Ajaran Imam as-Syafi’e diteruskan oleh beberapa anak muridnya yang utama seperti Abu Yaaqub al-Buwayti (231H/846M), Rabi’ bin Sulaiman al-Marali (270H/884M) dan Abu Ibrahim bin Yahya al-Muzani (274H/888M).


Wasiat Imam Syafi'e
 
PERTAMA: HAK KEPADA DIRI.
Iaitu: Mengurangkan tidur, mengurangkan makan, mengurangkan
percakapan dan berpada-pada dengan rezeki yang ada.

KEDUA: HAK KEPADA MALAIKAT MAUT
Iaitu: Mengqadhakan kewajipan-kewajipan yang tertinggal, mendapatkan
kemaafan dari orang yang kita zalimi, membuat persediaan untuk mati
dan merasa cinta kepada Allah.

KETIGA : HAK KEPADA KUBUR
Iaitu : Membuang tabiat suka menabur fitnah, membuang tabiat kencing
merata-rata, memperbanyakkan solat Tahajjud dan membantu orang yang
dizalimi.

KEEMPAT: HAK KEPADA MUNKAR DAN NAKIR
Iaitu : Tidak berdusta, berkata benar, meninggalkan maksiat dan
nasihat menasihati.

KELIMA : HAK KEPADA MIZAN (NERACA TIMBANGAN AMAL PADA HARI KIAMAT)
Iaitu : Menahan kemarahan, banyak berzikir, mengikhlaskan amalan dan
sanggup menanggung kesusahan.

KEENAM : HAK KEPADA SIRAT (TITIAN YANG MERENTANGI NERAKA PADA HARI
AKHIRAT)
Iaitu : Membuang tabiat suka mengumpat, bersikap warak, suka membantu
orang beriman dan suka berjemaah.

KETUJUH : HAK KEPADA MALIK (PENJAGA NERAKA)
Iaitu : Menangis lantaran takutkan Allah SWT, berbuat baik kepada ibu
bapa bersedekah secara terang-terangan serta sembunyi dan memperelok
akhlak.

KELAPAN : HAK KEPADA RIDHWAN (MALAIKAT PENJAGA SYURGA)
Iaitu : Berasa redha dengan Qadha' Allah, bersabar menerima
bala,bersyukur ke atas nikmat Allah dan bertaubat dari melakukan
maksiat.

KESEMBILAN : HAK KEPADA NABI SAW
Iaitu : Berselawat ke atas baginda, berpegang dengan syariat,
bergantung kepada as-Sunnah (Hadith), menyayangi para sahabat, dan
bersaing dalam mencari keredhaan Allah.

KESEPULUH : HAK KEPADA ALLAH SWT
Iaitu : Mengajak manusia ke arah kebaikan, mencegah manusia dari
kemungkaran, menyukai ketaatan dan membenci kemaksiatan..


"Sesungguh Solatku,Ibadahku,Hidupku,Matiku hanya kerana Allah"

Zikir Imam Syafi'e

Copyright @ 2013 Ibnu Munir™.