Thursday, 1 March 2012

Sultan Muhammad al-Fateh (The Conquer of Costantinople)...

 *Kepada sesiapa yang meminati sejarah,,  satu artikel yang panjang, tetapi tidaklah panjang jika anda meminati ilmu.


HADIS RASULLAH SAW TENTANG 
PEMBEBASAN CONSTANTINOPLE


Sabda Rasulullah s.a.w. ketika menggali Parit Khandaq;

“..Constantinople (kini Istanbul) akan jatuh ke tangan tentera Islam. Rajanya adalah sebaik-baik raja,tenteranya adalah sebaik-baik tentera……”
(Hadis riwayat Imam Ahmad)


Di bawah ini adalah satu artikel yang dikirimkan kepada saya oleh seorang rakan.  Disiarkan semula  di sini untuk tatapan pembaca. Ditambah beberapa keping gambar yang diambil dari Turki untuk dikongsikan.


Umat Islam berlumba-lumba membebaskan Constantinople untuk mendapatkan penghormatan yang dijanjikan oleh Allah swt di dalam Hadis tersebut. Walau bagaimanapun, kesemua kempen yang dilancarkan menemui kegagalan. Di antaranya, 5 kempen di zaman Kerajaan Umayyah, 1 kempen di zaman Kerajaan Abbasiyah dan 2 kempen di zaman  Kerajaan Uthmaniyah.



Di dalam salah sebuah kempen semasa zaman Kerajaan Umayyah, seorang sahabat besar Nabi saw iaitu Abu Ayyub Al Ansary ra telah syahid dan dimakamkan di bawah dinding kubu Kota Constantinople di atas wasiatnya sendiri. Apabila ditanya kenapa beliau ingin dimakamkan di situ maka beliau menjawab, “Kerana aku ingin mendengar derapan tapak kaki kuda sebaik-baik raja yang akan mengetuai sebaik-baik tentera semasa mereka membebaskan Constantinople”. Begitulah teguhnya iman seorang sahabat besar Nabi saw.



Hadis Nabi saw ini direalisasikan hampir 800 tahun kemudiannya oleh Sultan Muhammad Al Fatih, khalifah ke-7 Kerajaan Usmaniyyah dan 150,000 orang tenteranya.



Siapakah Sultan Muhammad Al Fatih? Apakah kehebatan Baginda dan tentera-tenteranya sehingga disebut “Sebaik-baik raja” dan “sebaik-baik tentera” di dalam hadis tersebut.



PENGENALAN

Baginda dilahirkan pada 29 Mac 1432 Masihi di Adrianapolis (sempadan Turki – Bulgaria). Walau bagaimanapun, sejarah hidup Baginda sebenarnya telah bermula hampir 800 tahun sebelum kelahirannya kerana telah disebut sebagai “sebaik-baik raja” di dalam Hadis tadi. Baginda juga dikenali dengan gelaran Muhammad Al Fatih kerana kejayaannya membebaskan Constantinople.



Baginda menaiki takhta ketika berusia   19 tahun dan memerintah selama 30 tahun (1451 – 1481). Baginda merupakan seorang   negarawan ulung dan panglima tentera agung yang memimpin sendiri 25 kempen peperangan. Baginda mangkat pada 3 Mei 1481 kerana sakit gout. Ada ahli sejarah berpendapat Baginda mangkat diracun.



PENDIDIKAN

Baginda menerima pendidikan yang menyeluruh dan bersepadu. Di dalam bidang keagamaan, gurunya adalah Syeikh Shamsuddin Al-Wali dikatakan dari keturunan Sayyidina Abu Bakar As-Siddiq ra. Di dalam ilmu peperangan pula, Baginda diajar tentang tektik peperangan,   memanah dan menunggang kuda oleh panglima-panglima tentera.



Di dalam bidang akademik pula, Baginda adalah seorang cendekiawan ulung di zamannya yang fasih bertutur dalam 7 bahasa iaitu Bahasa Arab, Latin, Greek,  Serbia, Turki, Parsi dan Hebrew. Di dalam bidang Ilmu Pemerintahan pula, ayahanda Baginda , Sultan Murad II, dengan tujuan mendidik, semasa pergi bersuluk ke Pulau Magnesia, telah melantik Baginda yang baru berusia 12 tahun memangku jawatan Khalifah. Dalam usia semuda ini Baginda telah  matang menangani tipu helah musuh.



KEPERIBADIAN

Baginda sentiasa bersifat tawadhu’ dan rendah diri .. Semasa membina Benteng Rumeli Hissari, Baginda membuka baju dan serbannya, mengangkat batu dan pasir hingga ulamak-ulamak dan menteri-menteri terpaksa ikut sama bekerja



Baginda seorang yang sentiasa tenang, pendiam, berani, sabar, tegas dan kuat menyimpan rahsia pemerintahan. Baginda sangat cintakan ulamak dan selalu berbincang dengan mereka tentang permasalahan negara.



PERSIAPAN AWAL MEMBEBASKAN CONSTANTINOPLE



Selama 2 tahun selepas menaiki takhta, Baginda mengkaji pelan Kota Costantinople setiap malam bagi mengenal pasti titik kelemahannya. Baginda juga mengkaji sebab-sebab kegagalan kempen-kempen terdahulu serta berbincang dengan panglima-panglima perangnya tentang tentang strategi yang sesuai untuk digunakan.



Baginda mengarahkan dibina peralatan perang termoden seperti meriam besar yang boleh menembak bom 300 kg sejauh 1 batu. Benteng Rumeli Hissari dibina di tebing sebelah Eropah, lebih kurang 5 batu dari Kota Constantinople di mana Selat Bosphorus adalah yang paling sempit. Ia dibina bertentangan dengan Benteng Anadolu Hisar di tebing sebelah Asia yang telah dibina oleh Sultan Bayazid Yildirim dahulu. Benteng ini mengawal rapi kapal-kapal yang melintasi Selat Bosphorus. Perjanjian damai dibuat dengan pihak Wallachia, Serbia dan Hungary untuk memencilkan Constantinople apabila diserang nanti.



Baginda membawa bersama para ulamak dan pakar motivasi ke medan perang bagi membakar semangat jihad tenteranya. Sebaik sahaja menghampiri dinding kubu Kota Constantinople, Baginda mengarahkan dilaungkan Azan dan solat berjemaah. Tentera Byzantine gentar melihat 150,000 tentera Islam bersolat di belakang pemimpin mereka dengan laungan suara takbir memecah kesunyian alam.



MELANCARKAN SERANGAN KE ATAS CONSTANTINOPLE

Setelah segala persiapan lengkap diatur, Baginda menghantar utusan kepada Raja Bizantin meminta beliau menyerah. Keengganan beliau mengakibatkan kota tersebut dikepung. Pada 19 April 1453, serangan dimulakan. Kota tersebut hujani peluru meriam selama 48 hari. Setengah dinding luarnya rosak tetapi dinding tengahnya masih teguh.



Menara Bergerak

Seterusnya Baginda mengarahkan penggunaan menara bergerak yang lebih tinggi dari dinding kubu Byzantine dan memuatkan ratusan tentera. Tentera Byzantin berjaya memusnahkan menara tersebut setelah ianya menembusi dinding tengah kubu mereka.


Bantuan Dari Pope Vatican
Selat Bosphorus
Pope di Rome menghantar bantuan 5 buah armada yang dipenuhi dengan senjata dan tentera. Perairan Teluk Golden Horn direntang dengan rantai besi untuk menghalang kemaraan armada Usmaniyah. Ini menaikkan semula semangat tentera Bizantin.
Rantai yg digunakan oleh tentera Byzantin untuk menghalang armada al-Fateh
Melancarkan Kapal Perang Dari Puncak Gunung


Kegembiraan mereka tidak lama. Keesokan paginya, mereka dikejutkan dengan kehadiran 72 buah kapal perang Usmaniyah di perairan Teluk Golden Horn. Ini adalah hasil kebijaksanaan Baginda mengangkut kapal-kapal ke atas gunung dan kemudian diluncurkan semula ke perairan Teluk Golden Horn. Tektik ini diakui sebagai antara tektik peperangan (warfare strategy) yang terbaik di dunia oleh para sejarawan Barat sendiri. Kapal-kapal itu kemudiannya membedil dinding pertahanan belakang kota.



Kapal-kapal perang tentera Byzantin habis terbakar kerana bedilan meriam Uthmaniyah. Pertahanan Byzantin menjadi semakin lemah. Baginda mengambil kesempatan pada malamnya dengan memberikan semangat kepada tenteranya serta mengingatkan mereka kepada Hadis Rasulullah saw dan bersama-sama berdoa kepada Allah swt.



Memanjat dan Melastik Dinding Kota

Keesokan paginya tentera Uthmaniyah cuba memanjat dinding dalam kubu dengan tangga dan cuba merobohkannya dengan lastik besar. Tentangan sengit pihak Byzantin   menyebabkan ramai yang syahid.. Baginda memerintahkan tenteranya berundur dan bedilan meriam diteruskan sehingga tengahari.


Karisma Seorang Pemimpin



Pengepungan selama 53 hari tanpa sebarang tanda-tanda kejayaan  telah menimbulkan rasa bosan dan menghilangkan keyakinan tentera Baginda. Pada saat yang genting ini Baginda berucap menaikkan semangat tenteranya, “Wahai tenteraku, aku bersedia untuk mati di jalan Allah. Sesiapa yang mahu syahid ikutlah aku!”.




Mendengarkan itu, Hasan Ulubate, salah seorang tentera Baginda mengetuai sekumpulan kecil 30 tentera membuka dan melompat masuk ke dalam kubu musuh lantas memacak bendera Islam di situ. Mereka kesemuanya gugur syahid setelah dihujani anak panah musuh. Kemudian tentera-tentera Islam menyerbu bertali arus menembusi barisan pertahanan Byzantin sambil melaungkan kalimah Allahu Akbar.



Penawanan Constantinople

Pada 29 Mei 1453, Kota Constantinople jatuh ke tangan Islam. Baginda menukar namanya kepada Islambol (Islam keseluruhan) . Gereja Besar St Sophies ditukar kepada Masjid Aya Sofiya. Baginda dengan tawadhuknya melumurkan tanah ke dahinya lalu melakukan sujud syukur. Semenjak peristiwa inilah Baginda diberi gelaran “Al Fatih” iaitu yang menang kerana kejayaannya membebaskan Constantinople.



SEBAIK-BAIK RAJA DAN SEBAIK-BAIK TENTERA

Pada kali pertama solat Jumaat hendak didirikan, timbul pertanyaan siapa yang layak menjadi imam. Baginda memerintahkan kesemua tenteranya termasuk dirinya bangun lantas bertanya, “Siapa di antara kita sejak baligh hingga sekarang pernah meninggalkan solat fardhu walau sekali sila duduk!”. Tiada seorang pun yang duduk, kerana  tidak seorang pun di antara mereka pernah meninggalkan solat fardhu.



Baginda bertanya lagi, 

“Siapa di antara kita yang sejak baligh hingga kini pernah meninggalkan solat sunat rawatib sila duduk!”. Sebahagian daripada tenteranya duduk.


Kemudian Baginda bertanya lagi, “Siapa di antara kamu sejak baligh hingga ke saat ini pernah meninggalkan solat tahajjud walaupun satu malam, sila duduk!”. Kali ini semuanya duduk, kecuali  Sultan Muhammad Al-Fatih sendiri. Baginda tidak pernah meninggalkan solat fardhu, Solat Sunat Rawatib dan Solat Tahajjud sejak baligh .. Inilah dia anak didikan Syeikh Shamsuddin Al Wali. Bagindalah sebaik-baik raja yang telah diisyaratkan oleh Rasulullah saw di dalam Hadisnya itu.


Ibnu Munir
02/03/2012
Universiti Yarmouk, Jordan.





Friday, 24 February 2012

Mengorak Langkah ke bumi Jordan I ...


Semestinya, selepas keputusan peperiksaan SPM keluar, maka pemilihan IPT akan menjadi isu utama kepada pelajar lepasan SPM. Saya ingin mengambil saat dan ketika ini untuk mempromosikan tempat belajar saya, yakni Jordan. Lebih spesifik lagi, Irbid. Saya tidak akan hanya mempromosi University of Yarmouk, tetapi saya akan promosi juga pengajian di Jordan Univeristy of Science and Technology(JUST).
Kelebihan pertama apabila anda belajar di sini adalah, ini adalah bumi para anbiya'. Tanah di sini menjadi saksi perjuangan golongan awal pembawa amanah ALLAH untuk menyebarkan deen ALLAH sejak zaman berzaman. Jordan juga pada hakikatnya termasuk di dalam tanah Syam yang diberkati.
Saya terang mengenai tempat terklebih dahulu. Kenapa saya lebih mempromosikan Irbid, Jordan? Bukan mantiqah(daerah) lain di Jordan ini? Hal ini kerana, Irbid merupakan satu mantiqah yang unik kerana ia mengumpulkan dua aliran yang berbeza, iaitu deeniah dari University of Yarmouk, dan perubatan/pergigian dari JUST. Kedua-dua universiti ini juga dikira dekat dengan tempat tinggal pelajar. Lebih istimewa, ¾ pelajar melayu Jordan adalah berada di Irbid.
Namun begitu, saya juga ingin mencadangkan universiti-universiti di mantiqah lain seperti di Mu'tah (Universiti Mu'tah), Mafraq (Universitit Al-albayt), dan Amman (Universiti of Jordan). Sebenarnya, kos sara hidup di setiap mantiqah adalah berbeza. Jadi, pelajar yang ingin menyambung pelajaran di Jordan secara private (bukan tajaan), boleh memilih salah satu universiti yang anda suka. Kos sara hidup di mantiqah Mafraq dan Mu'tah lebih rendah berbanding dua mantiqah lain iaitu Amman dan Irbid. Hal ini kerana Amman merupakan ibu negara Jordan, sudah tentu kos sara hidupnya tinggi. Manakala di Irbid, merupakan sebuah bandar yang agak pesat dan maju malah merupakan kawasan penempatan yang terbanyak selepas Amman.


 http://www.yu.edu.jo/en/ - University Yarmouk
http://www.aabu.edu.jo/ - University Al-albayt
www.mutah.edu.jo/  - University Mu'tah
http://www.ju.edu.jo/home.aspx - University of Jordan
http://www.just.edu.jo/Pages/Default.aspx - Jordan University Science & Technology
Oleh kerana komuniti melayu di sini ramai, maka kehidupan menjadi lebih mudah. Kalau anda hendak tahu, profesor-profesor di Yarmouk dan JUST sangat menghormati orang melayu. Masyarakat di sini juga, majoritinya memuliakan orang melayu. Semuanya kerana ketinggian syahsiah, dan adab yang ditunjukkan oleh senior terdahulu.
Untuk meneruskan kehidupan harian, seperti membeli barang, ke univeristi dan sebagainya, maka Irbid memang tempat yang strategik. Hal ini kerana, Irbid merupakan bandar kedua terbesar selepas Amman, yakni ibu negara Jordan. Kedai-kedai barangan harian bersepah di Irbid ini. Tambahan, barangan dan aksesori komputer juga mudah didapati.
Kedudukan Universiti juga amatlah dekat, tambahan untuk pelajar yarmouk. Jarak tempat tinggal pelajar, ke universiti Yarmouk hanya memakan masa sepuluh minit dengan berjalan kaki. Bagi pelajar JUST pula, mereka perlu menaiki bas. Tetapi itu bukan masalahnya, kerana ada ramai orang melayu yang akan menemani anda.
Kita lihat pula kursus yang disediakan.
Untuk Yarmouk ialah: Usul Fiqh, Usuluddin, Dirasat Islamiyyah, Bahasa dan Ekonomi Islam.
Untuk JUST pula ialah: Perubatan dan Pergigian.
Seterusnya, saya terangkan tentang sistem pembelajaran di sini.
Yarmouk dan JUST menggunakan sistem yang sama. Dalam setahun, ada 3 semester. Semester satu, semester dua, dan semester musim panas. Perbezaannya adalah, untuk pelajar yarmouk, semseter musim panas adalah pilihan, manakala untuk pelajar JUST, semester musim panas adalah wajib.
Tetapi untuk pengetahuan semua, semester musim panas hanya sekitar sebulan setengah sahaja. Pendek. Kelebihan untuk pelajar Yarmouk yang mengambil juga sem ini, mereka boleh memendekkan tahun pembelajaran. Hal ini kerana, untuk univeristi Yarmouk, tiada masa tetap untuk menghabiskan pengajian.
Di Yarmouk, pembelajaran dikira mengikut bilangan mata pelajaran. Contohnya saya, saya mengambil Usul Feqh. Kursus Usul Feqh di sini mempunyai 48 mata pelajaran. Satu sem, pelajar dibenarkan mengambil paling banyak adalah 6 mata pelajaran, manakala paling sikit adalah tiga atau dua. Jika saya mengambil satu sem 6 mata pelajaran, ditambah pula dengan mengambil sem musim panas, maka saya akan habis pembelajaran saya di sini dengan cepat. Sem musim panas, seorang pelajar itu dibenarkan mengambil paling banyak 3 mata pelajaran, dan paling sikit satu mata pelajaran.
Untuk pelajar JUST, mereka sudah disiapkan mata pelajaran, dan jadual mata pelajaran. Pelajar JUST tidak bebas memilih berapa mata pelajaran yang dikehendaki, kerana semua sudah siap disusun.
JUST menggunakan bahasa inggeris sebagai medium pembelajaran. Manakala Uni Yarmouk menggunakan bahasa Arab.
Persamaan antara JUST dan Yarmouk dalam sistem pembelajaran adalah, markah dikira mengikut pointer. Kemudian kedua-dua univeristi memberikan kebebasan kepada pelajar untuk memilih pensyarah sendiri. Kedua-dua univeristi juga memberikan kelebihan kepada pelajar untuk menyusun jadual belajar di universiti sendiri.
Kelebihan untuk pelajar JUST, mereka akan menjalani peperiksaan hanya dengan soalan objektif di komputer, tanpa perlu menjawab soalan berbentuk esei atau isi tempat kosong menggunakan pen. Mereka juga, sehingga tahun tiga tidak akan diberikan kerja kursus. Bagi pelajar perubatan dan pergigian, kedua-duanya sama. Apabila masuk sahaja tahun keempat, maka pelajar JUST akan dihantar ke hospital dan klinik untuk praktikal. Bagi pelajar perubatan selama 3 tahun, bagi pergigian selama 2 tahun. Sebab itulah, antara kelebihan belajar di JUST, doktor-doktor yang dikeluarkan akan mampu bermokunikasi di dalam bahasa arab. Anda akan berjumpa pelajar-pelajar perubatan yang hafiz, dan fasih berbahasa arab, malah mampu membaca kitab arab di sini. Jangan terkejut. Dan anda juga boleh jadi seperti itu.
Kemudian, suka saya ceritakan pula tentang kos. Kos ini terbahagi kepada dua, iaitu kos pembelajaran dan kos sara hidup.
Kos pembelajaran di Yarmouk adalah seperti berikut.
Yuran semester: 55JD = RM240
Yuran subjek:1 subjek 48JD=RM288(kalau satu sem ambil enam=288X6=RM1728
Jadi, katakalah kursus tu ada 48 subjek. Untuk habiskan 48 subjek dalam masa 4 tahun, kosnya adalah 48JDx48=2304JD=RM13824
Untuk kemasukan ke Yarmouk, maka akan ada yuran kemasukan.
Yuran kemasukan itu berjumlah: 50JD=RM220
Juga yuran markaz bahasa: 400JD (Markaz bahasa ini wajib diambil oleh pelajar bukan arab selama satu semester sebelum memulakan pembelajaran secara penuh di Univeristi) Tetapi, saya tidak dapat memastikan sama ada markaz bahasa untuk tahun akan datang diwajibkan atau tidak. Hal ini bergantung kepada pihak pentadbiran universiti. Ini untuk Yarmouk. Selain di Uni Yarmouk, Uni Al-Bayt juga turut mewajibkan markaz lughah kepada pelajar bukan arab. Namun, sebaliknya pula pada Uni Mu'tah, tidak perlu mengambil markaz lughah.
Untuk JUST, bayarannya adalah mengikut credit hour. Kos belajar di JUST amat mahal. Satu credit hour berharga 200JD=RM860. Biasanya pelajar perlu mengambil sekitar 18 jam seminggu. Jadi bayaran untuk satu sem di JUST adalah 18×200=3600JD=RM21600.
Bayaran untuk pelajar JUST secara sebetulnya tidak dapat diketahui dengan jelas sangat. Kerana, biasanya pelajar JUST di sini adalah pelajar yang mendapat biasiswa MARA atau JPA. Hal-hal pembayaran akan diuruskan oleh MARA dan JPA. Pelajar biasiswa biasanya tak pening kepala bab bayar yuran ni.
Sebab itulah biasanya, yang pergi ke JUST ini adalah yang memohon biasiswa MARA dan JPA. Bila memohon JPA atau MARA, mintalah program middle east. Untuk yang mengambil perubatan, anda akan mempunyai peluang 50:50. Kerana ada kemungkinan anda akan dihantar ke Mesir. Tetapi bagi yang mengambil Pergigian, anda dengan yakinnya, 100% akan dihantar ke Jordan. Untuk tambahan pengetauan, pengajian pergigian di JUST adalah mudah.
Untuk kos sara hidup pula, seorang pelajar itu dapat hidup dengan selesa di Irbid ini jika dia ada sekitar RM600 sebulan, yakni sekitar 130JD. Dengan 130JD, anda boleh membayar sewa rumah, duit api air elektrik, duit dapur, dan ada sedikit duit untuk simpanan, beli kitab, atau hendak makan di luar dan membeli aksesori rumah dan sebagainya.
Jadi, saya simpulkan, rutin perbelanjaan di Jordan adalah seperti ini,
Duit poket untuk sebulan: RM600+-
Yuran satu sem Yarmouk: RM1728(jika ambil enam mata pelajaran)
Yuran wajib sem untuk Yarmouk: RM210
Yuran satu sem JUST: RM21600(18 credit hour satu sem)
Yuran wajib sem JUST: 85JD = RM425
Sebagai pesanan kepada pelajar baru Yarmouk, sebaiknya jika datang ke Jordan, perlulah mempunyai RM6000 di dalam simpanan. Pertama, untuk urusan membeli perabot rumah, kedua, untuk urusan pendaftaran Markaz bahasa yang biasanya hendak cepat.
Inilah dia belanja di Jordan.Sebenarnya tidaklah terlalu mahal (untuk pelajar Yarmouk) dan taklah terlalu murah. Sederhana.
Kita masuk ke perkara terakhir, bagaimana hendak memohon ke Universiti Yarmouk dan JUST?
Untuk memohon ke Univeriti Yarmouk, mahupun JUST(untuk private), caranya sama sahaja. Isi borang KPT dan hantarkan kepada KPT semula. Kemudian tunggu jawapannya. Di maana hendak dapatkan borang KPT? Anda boleh mendownloadnya di bahagian BAHAN di website KPT. Download, isi, cukupkan semua kehendak borang itu, dan hantar ke KPT. Bagi pelajar-pelajar di negeri Kedah, saya mencadangkan agar berurusan dengan pejabat agama negeri Kedah untuk urusan permohonan untuk belajar di Jordan.
Untuk pelajar yang ingin memohon biasiswa MARA dan JPA, borang diisi secara online. MARA juga dimohon melalui laman web JPA. Linknya adalah seperti berikut,
Jika anda mempunyai sebarang kemusykilan dan persoalan tentang Jordan, anda boleh menghubungi saya melalui emel berikut:-   Dcshoeco_2md@yahoo.com.my 
Wallahua'lam...

Saturday, 18 February 2012

Dahulukan yang Utama...(Fiqh Awlawiyat)



Pertama-tama kalinya, kita bersyukur kerana masih diberikan peluang untuk bernafas dan diberikan nikmat yang terlalu besar iaitu nikmat iman dan islam. Alhamdulillah, saya juga turut bersyukur ke hadratMu Ya Allah kerana masih memberikan peluang kepada diri ini untuk terus hidup untuk menegakkan syiar Islam, InsyaAllah. Segala puji bagi Allah tuhan yang memberikan segala rezeki kepada seluruh alam. 


Kali ini saya memilih fiqh Awlawiyat sebagai tajuk pilihan. Bukan apa, sekadar berkongsi dan mengingatkan diri dan sahabat-sahabat semua agar tidak leka dengan nikmat masa lapang yang Allah berikan kepada kita. Yang baik saya kongsikan, yang buruk saya hindarkan. InsyaAllah, moga beroleh keberkatan.


Fiqh Awlawiyat merupakan satu bidang feqah yang perlu kita ketahui. Fiqh Awlawiyat bermaksud mendahulukan yang utama dan melaksanakan perkara yang penting terlebih dahulu sebelum melakukan perkara yang kurang penting dan tidak utama. Itulah yang biasa kedengaran. Dari segi konsep, kita mengetahuinya, tetapi bagaimanakah pula dengan mengaplikasikannya dalam kehidupan seharian?


Dalam kehidupan seharian, kita sering berhadapan dengan pelbagai tuntutan dan kewajipan yang mesti dilaksanakan. Sebagai seorang manusia yang memikul amanah menjadi khalifah di atas muka bumi Allah tidak kira sama ada sebagai pemimpin kepada masyarakat, organisasi, keluarga atau sekurang-kurangnya kepada diri sendiri, seseorang mesti merancang tugasannya agar semua tanggungjawab dapat diselesaikan pada masa yang sepatutnya dengan sebaik mungkin. 


Kemahiran dan pengetahuan tentang fiqh awlawiyat akan dapat membantu menilai prioriti (keutamaan) setiap tugasan yang hendak dilakukan lebih-lebih lagi apabila berlaku pertembungan antara perkara tersebut. Saya terbaca buku tarbiah rohani karangan Hilal Asyraf ada menceritakan sedikit sebanyak mengenai Awlawiyat. Jadi, saya ingin kongsikannya di sini sebagai contoh yang mudah untuk difahami oleh semua.


Ada sebuah kisah antara seorang professor bersama pelajar-pelajarnya.


Professor itu menunjukkan sebuah balang. Kemudian, professor itu memasukkan batu-batu bersaiz sederhana besar, sehingga sampai ke bahagian penutup.
"Adakah sudah penuh?" Dia bertanya kepada pelajar-pelajarnya. Semua menyatakan bahawa balang itu sudah dipenuhkan.
         Professor menggeleng. Dia mengambil pula batu-batu yang bersaiz lebih kecil daripada batu-batu tadi dan mengisinya sehingga kelihatan penuh.
"Bagaimana sekarang?"
"Sudah penuh. Mustahil boleh isi lagi," jawab salah seorang pelajar.
        Professor tersenyum. Lalu dia mengambil pasir, dan memasukkannya ke dalam balang. Pasir yang halus itu memasuki celahan-celahan yang masih wujud di antara batu-batu itu, diisinya sehingga ke atas balang.
"Pada pendapat kamu, sudah penuhkah balang ini?"
Kali ini, para pelajar senyap. Takut jawapan mereka salah lagi, apakah yang lebih kecil daripada pasir?
        Akhirnya, ada pelajar mengangkat tangan dan berkata "Apakah ada lagi ada lagi yang lebih kecil daripada pasir? Mustahil boleh diisi. Balang itu sudah penuh."
        Professor lantas mengambil air, dan mengisinya perlahan-lahan ke dalam balang yang 'penuh' tadi. Air itu mengalir, mengisi ruang-ruang mikro yang masih wujud antara di antara pasir atau batu di dalam balang itu. Sehinggalah air melimpah ke luar balang.
"Itu baru namanya penuh," professor itu memberitahu.




4 situasi dalam hidup kita :
1. Utama dan penting.
2. Tidak utama tetapi penting.
3. Utama tetapi tidak penting.
4. Tidak utama dan tidak penting.






(Sumber : Buku Fanzuru, Maka Lihatlah)


Sekarang, kita dapat mengetahui bagaimanakah aplikasinya dalam kehidupan seharian dari segi penggunaannya pada bahan tertentu. Kita perlu meletakkan yang utama dan penting itu di hadapan. Kemudian diikuti dengan perkara yang tidak utama dan tidak penting. 








Kepentingan Mempelajari Fiqh Awlawiyat

1. Mengetahui dan meletakkan sesuatu perkara di tempat yang betul (adil), dengan mengutamakan yang   paling utama daripada yang utama, dan mengutamakan yang penting daripada perkara yang kurang penting dalam kehidupan seharian.
2. Merencana gerak kerja lebih terancang, bersepadu dan efektif mengikut prioriti yang tepat, lantas memajukan diri, agama, masyarakat dan negara.
3. Mengelakkan pembaziran masa, tenaga dan sebagainya yang merugikan diri kerana berlaku kesilapan   mengutamakan perkara yang kurang penting daripada perkara yang lebih penting.




Mengetahui Maqasid Syariah (Objektif /Tujuan Syariat)
Maqasid Syariah ialah merealisasikan kemaslahatan hamba (manusia) dan menghalang kemudaratan daripada mereka di dunia dan akhirat.

5 Jenis kemaslahatan manusia yang dijaga oleh syariah 
- Menjaga agama (حفظ الدين)
- Menjaga jiwa (حفظ النفس)
- Menjaga keturunan (حفظ النسل/ العرض)
- Menjaga harta (حفظ المال)
- Menjaga akal (حفظ العقل)

Teknik penjagaan terhadap 5 aspek tersebut adalah mengikut urutan keutamaan berikut:
a. Ad-Doruriyah (الضرورية) : Perkara yang amat diperlukan sama ada di dunia atau di akhirat. Ketiadaannya akan membawa kemusnahan hidup di dunia dan akhirat.

b. Al-Hajiyah (الحاجية) : Perkara yang diperlukan manusia untuk mengelakkan daripada kepayahan dan kesulitan. Ketiadaannnya menyebabkan manusia berada dalam kesempitan tetapi tidak sampai kepada kemusnahan hidup.

c. At-Tahsiniyah (التحسينية) : Perkara kesempurnaan yang dituntut oleh maruah atau harga diri dan ketinggian akhlak. Ketiadaan perkara ini tidak sampai memusnahkan hidup atau menyempitkannya, tetapi akan menjadikannya aib pada pandangan orang yang berakal.


Apabila bertembung antara beberapa maslahah :
- Mengutamakan perkara doruriyat daripada hajiat dan perkara hajiat daripada tahsinat.
- Mengutamakan menjaga agama, kemudian jiwa,kemudian akal,kemudian keturunan, dan terakhir harta.
- Mengutamakan maslahah umum daripada maslahah individu.

(Maslahah:- perkara yang dituntut dan setiap jalan membawa kepada maslahah adalah dituntut.)  


Peringkat-peringkat dalam hukum-hakam syariat mengikut keutamaan
1. Peringkat-peringkat perkara suruhan
- Fardu Ain berkaitan hak orang ramai (jama'ah)
- Fardu Ain berkaitan hak individu
- Fardu Kifayah
- Sunat Muakkad
- Sunat biasa (mustahabbah)

 Suruhan yang memberi manfaat kepada orang ramai diutamakan daripada suruhan yang memberi manfaat kepada individu. Diutamakan amalan hati daripada amalan anggota dan didahulukan aqidah daripada amal kerana aqidah adalah asas terbinanya amal.

2. Peringkat-peringkat larangan
· Haram
- Akbarul kabair (Dosa paling besar)
- Al-Kabair (Dosa besar)
- As-Soghoir (Dosa Kecil)
- Makruh


Ibadah yang Paling Afdhal
          Ibadah yang paling afdhal di sisi Allah tidak dapat diputuskan secara qat’ie  kerana ia berbeza mengikut tempat, masa, dan individu itu sendiri. Yang pasti, setiap waktu ada kewajipannya yang dikhususkan untuk mencapai keredhaan Allah dan kewajipan inilah yang paling afdhal pada waktu tersebut. Contohnya ialah : perkara paling afdhal apabila datang tetamu ialah menunaikan haknya dan melayannya. Ini lebih utama daripada berwirid yang sunat.




(Sumber  : كتاب المدخل الى دراسة الفقه الاسلامي ) 
أ. د عبد الله محمد الصالح



Konklusinya, orang yang beriman itu akan memahami kehidupan dan pandai mengisi masa mengikut keutamaan mereka. Maka, buatlah keputusan sebaik mungkin mengikut keutamaan. Saya mengaharapkan perkongsian ini dapat memberikan sedikit sebanyak impak yang baik dalam kehidupan seharian kita seterusnya mendapat keredhaan Ilahi.


Wallahua'lam.




الفقير الى الله تعالى
Ibnu Munir
19/02/2012
Universiti Yarmouk, Jordan.


Copyright @ 2013 Ibnu Munir™.