Tuesday, 13 March 2012

Riadhah itu Ibadah...


  Segala puji bagi Allah swt, atas segala nikmat yang diberikan kepada kita semua. Nikmat yang banyak tidak terhingga, sehinggakan kita terkadang terlupa dan lalai dengan Maha Pencipta. Kita masih diberikan peluang untuk terus hidup dan beribadah kepada Allah dalam keadaan yang aman damai, alhamdulillah. Harapan diri yang lemah ini supaya peluang ini kita dapat gunakan dengan sebaik mungkin di atas muka bumi ini.

Pengenalan

InsyaAllah kali ini, riadhah menjadi tajuk pilihan. Sudah tentu, minat bersukan bermula sejak saya kecil lagi, malah menjadi hobi kegemaran khususnya bermain bola sepak. Di peringkat sekolah rendah memulakan 'karier' bola sepak sebagai seorang goalkeeper, minat mula berubah apabila melangkah masuk ke sekolah menengah. Bermain di posisi sayap menjadi kegemaran. Namun, pada akhir tingakatan empat, sudah tidak bermain secara aktif. Hanya bermain sekadar mengeluarkan peluh.
Seorang muslim pasti ingin meraih keredhaan Allah dan syurga serta selamat dari kemurkaanNya. Oleh kerana itu setiap perkara yang dilakukan haruslah selari dengan kehendak syariat dan aturan yang telah digariskan panduan syarak iaitu Al-Quran dan Sunnah. Pastinya setiap perkara yang di lakukan bermula dengan niat yang baik agar membuahkan pahala ibadah kita dan hasil yang baik. 


Riadhah dalam Islam 
Riadhah adalah kegiatan yang dianjurkan dalam Islam untuk meningkatkan kualiti jasmani yang Allah berikan kepada kita. Kegiatan ini dilakukan oleh sesiapa sahaja baik orang dewasa mahupun anak kecil, lelaki mahupun perempuan. Di dalam tubuh manusia kita terdapat dua unsur, iaitu jasmani dan rohani yang saling berkait antara satu sama lain. Rohani tanpa dukungan jasmani yang kuat tentu akan mengganggu kita untuk beribadah kepada Allah, begitu juga sebaliknya. 



Skuad Jufra' FC
Duduk dari kiri :- Faizal, Poey, Haziq, A Marwan, Razali, Nabil
Berdiri dari kiri :- Soleh, Farhan Halim,  Farhan Feisal, Usamah, Ariff, Ibnu Munir, Qawiem



Namun, demi mendapatkan kualiti jasmani yang kuat dan sihat, riadhah adalah kegiatan yang sangat penting dalam kehidupan kita. Sukan sebagai ikhtiar kita untuk menuju jasmani yang sihat mengikut landasan syariat yang telah digariskan dalam Al-Quran dan Sunnah. Allah SWT mencintai orang mukmin yang kuat daripada orang mukmin yang lemah bertepatan dengan sabda Rasulullah s.a.w,

 “ Orang mukmin yang kuat itu lebih baik dan lebih dicintai 
Allah daripada orang mukmin yang lemah.”
(Riwayat Muslim)

Apakah tujuan bersukan dalam Islam sebenarnya? 
Tujuan beriadhah adalah untuk meningkatkan ketakwaan dan untuk berjihad di jalan Allah SWT. Maka atas dasar inilah pengertian sukan ini difahami dalam Islam. Sesiapa sahaja yang memahami pengertian riadhah selain daripada pemahaman ini, bererti telah melakukan riadhah untuk tujuan yang buruk dan tiada manfaat bahkan boleh menjerumuskan diri ke dalam perjudian yang haram di sisi Islam. Asal pensyariatan sukan adalah firman Allah SWT

“ Dan siapkanlah untuk menghadapi mereka kekuatan apa saja yang kamu sanggupi...” 
(Al-Anfal: 60)

Bagaimana dikatakan riadhah itu adalah ibadah? 
Jika kita memulakan setiap aktiviti-aktiviti di dalam hidup kita, haruslah bermula dengan niat kerana Allah. Jika kita berniat untuk beriadhah kerana ingin mendapatkan  jasmani yang kuat dan sihat semata-mata untuk beribadah kepada Allah SWT, segala aktiviti yang dilakukan itu akan mendapat pahala ibadah.

 Tentang makna ibadah, Syaikhul Islam Ibnu Taimiyyah rahimahullah berkata
“ Makna ibadah sangat luas. Ia adalah nama bagi segala hal yang dicintai 
dan diredhai Allah, baik berupa ucapan mahupun perbuatan, yang zahir mahupun batin.”  

“ Ibadah adalah ketaatan kepada Allah dengan melaksanakan 
perintah Allah yang disampaikan melalui lisan para rasul.”

Menjadi kesalahan jika sebahagian kita menyangka beriadhah tidak ada kaitannya dengan din (ibadah). Ibadah bukanlah hanya terbatas kepada solat, puasa, zakat, dan haji sahaja, malah ianya merangkumi ruang lingkup kehidupan kita sebagai seorang muslim.

Penutup
Justeru itu, sebelum beriadhah, marilah sama-sama kita perbetulkan niat yang baik agar kita semua dapat meraih keredhaanNya. Ayuh sama-sama kita jadikan riadhah sebagai amalan agar badan sihat dan otak sentiasa cerdas. Berusahalah untuk terus beristiqamah dalam setiap amal ibadah kita. InsyaAllah, kita akan mendapat pahala ganjaran di akhirat kelak.

Wallahua'lam.


Ibnu Munir
13/03/2012
Universiti Yarmouk, Jordan. 



Friday, 9 March 2012

Penggunaan Alkohol...


  Segala puji bagi Allah atas segala nikmatNya yang tidak terhitung. Dan bersyukur atas nikmat iman dan islam. Semoga nikmat ini sentiasa kekal untuk selama-lamanya. Kali ini, pemilihan tajuk berdasarkan kehidupan seharian kita. Mungkin ada yang merasakan perkara ini sudah lama dibincangkan. Tetapi, sebagai hamba-Nya,saya cuba untuk memperingati kembali agar sentiasa segar dalam ingatan.


Tanpa kita sedari, alkohol digunakan secara meluas dalam kehidupan seharian kita. Sebagai contoh, minyak wangi dan alat kemasan diri. Setiap muslim itu perlu mencari yang halal. Baik dari segi makanan, minuman, pakaian, dan sebagainya. Saya merasakan perkara ini perlu dititikberatkan oleh seorang muslim sejati. Jadi, saya cuba kongsikan sedikit sebanyak maklumat tentang penggunaan alkohol mengikut pandangan syara'.

Pengenalan


       Alkohol terdiri daripada berbagai-bagai bahan bahan kimia iaitu Ethanol atau ethyl alkohol, Bothanal dan lain-lain lagi. Dalam minuman keras ethanol, ialah bahan yang menyebabkan mabuk dan ia merupakan bahan yang terbanyak sekali dicampurkan
1) Setiap minuman arak mengandungi alkohol bukan alkohol itu dari arak. Alkohol dari proses pembuatan arak hukumnya haram dan najis, tetapi alkohol yang dibuat bukan melalui proses pembuatan arak maka hukumnya tidak najis dan tidak haram diminum.


2) Minuman ringan yang dibuat sama caranya dengan arak sama ada mengandungi sedikit alkohol atau alkoholnya disulingkan adalah haram diminum.

3) Minuman yang dibuat bukan untuk dijadikan arak atau bukan yang memabukkan dan tidak sama caranya dengan proses arak adalah halal diminum.

4) Alkohol yang terjadi sampingan dalam proses pembuatan makanan tidak najis dan halal dimakan.

(Contohnya : Tapai)



5) Ubat-ubatan dan pewangi yang ada kandungan alkohol adalah dimaafkan.


1. Penggunaan alkohol dalam bahan citarasa (Flavour) minuman ringan ini.
2. Proses pembuatan minuman ringan tidak sama dengan pembuatan arak, Oleh itu, minuman ringan halal diminum kerana ia tidak memabukkan dan tidak memberi mudharat kepada orang yang meminumnya.

Menurut kitab "Al-Fiqh Al-Muzahibil ar'baah " dalam bab "An najasat juzuk 1, Alkohol yang dimasukkan ke dalam minyak wangi untuk menahan minyak wangi agar tahan lama atau untuk menaikkan roti adalah harus.

Bersandarkan kepada kenyataan ni, boleh dikiaskan kepada penggunaan alkohol dalam minuman ringan.
Methyl slkohol (methanol) tidak digunakan untuk minuman kerana merupakan racun yang kuat, manakala ethyl alkohol digunakan sebagai campuran dalam minuman keras.

Penyediaan alkohol boleh dilakukan melalui dua cara, iaitu :-
1. Penyediaan dalam makmal.
2. Penyediaan dalam industri.

Alkohol amat berguna sebagai bahan aktif dalam minuman, makanan dan ubat-ubatan dan sebagai bahan pelarut seperti untuk alat solek dan minyak wangi.

Pada umunnya alkohol adalah bahaya dan beracun ada daya pembunuh dan memabukkan serta merosakkan anggota tubuh badan. Arak adalah memabukkan dan ia adalah haram seperti sabda nabi s.a.w,


 "Setiap yang memabukkan itu arak dan setiap yang memabukkan itu haram."

(Riwayat Muslim)


Penggunaan Alkohol Semasa Solat


Menurut maklumat yang di terima alkohol ialah nama yang digunakan di dalam kaedah saintifik kepada sebatian yang mempunyai kumpulan hidroksi (-OH), dan dikenali ada dua jenis yang agak baik, iaitu:
i)Alkohol kayu (methanol)
ii)Alkohol biji-bijian (ethanol)
Kedua jenis alkohol ini mempunyai sebatian yang merupakan formula am struktur (R-OH.
Methanol adalah sebatian yang mempunyai formula struktur (CH-OH). Di hospital ia dikenali dengan nama 'spirit' yang dipakai untuk membunuh kuman. Jenis ini tidak digunakan untuk minuman.
Ethanol adalah sebatian yang mempunyai formula struktur(CH3CH2-OH) bahan inilah yang digunakan sebagai campuran dalam minuman keras.
Dari penjelasan ringkas mengenai jenis alkohol itu dapat dapat disimpulkan bahawa setiap arak atau minuman keras ada mengandungi alkohol tetapi tidak semua alkohol itu adalah arak.
Alkohol dari proses pembuatan arak hukumnya haram dan najis. Alkohol yang dibuat bukan melalui proses pembuatan arak hukumnya tidak najis tetapi haram diminum.
Selain itu alkohol juga terhasil dari lebihan proses pembuatan makanan seperti tapai,sama ada dari ubi kayu atau pulut.Ianya adalah tidak najis dan harus dimakan.
Ubat-ubatan, minyak wangi yang dicampurkan alkohol yang diproses bukan untuk pembuatan arak adalah harus dan dimaafkan.

Firman Allah swt,
"Bertanyalah kepada orang yang tahu (ahli) jika kamu tidak mengetahui." 
(Al-Anbiya':7)


Soalan: Apa hukum menggunakan alkohol pencuci kulit dan perfume?



Jawapan: Tidak mengapa dengannya. Ia bukanlah arak yang diharamkan atas dasar penamaan arak itu ialah yang disediakan untuk diminum. Perlu diambil kira juga bahawa sebahagian fuqaha mengirakan najisnya arak ialah najis ma’nawi bukannya hissi. Ia merupakan pendapat Rabi’ah -guru kepada Malik- dan selainnya. Lajnah Fatwa di Al-Azhar telah lama mengharuskan penggunaan alkohol.

Berkata Syeikh Muhammad Khatir salah seorang ulama Al-Azhar: Kami menjelaskan bahawa yang dimaklumi secara syara’ ialah pada asasnya sesuatu benda /‘ain itu suci. Sesuatu yang haram tidak semestinya najis secara automatik kerana penajisan merupakan hukum syara’ yang perlu kepada dalil yang baru dan tersendiri. Pelbagai jenis dadah yang memudaratkan dan racun pembunuh adalah haram akan tetapi suci kerana tidak ada dalil ianya najis. Sebab itulah sebahagian fuqaha’ seperti Rabi’ah, Al-Laith bin Sa’d, Al-Muzani sahib Al-Syafi’ie dan sebahagian muta’akhirin Baghdad dan Qurawiyin berpendapat bahawasanya arak sekalipun ianya haram namun ia masih suci. Perbuatan berkaitan meminumnya sahaja yang diharamkan berbeza dengan pendapat jumhur fuqaha’ yang mengatakan ia haram dan najis.

Selain itu, kenajisan pasti dilazimi pengharaman maka setiap najis semestinya diharamkan, namun tidak sebaliknya. Ini adalah kerana hukum haram pada najis ialah bermaksud tegahan mengenainya dalam apa jua keadaan maka hukum najisnya sesuatu menjadi hukum bahawa ia adalah haram berbeza pula hukum hukum mengharamkan seperti pengharaman sutera dan emas untuk dipakai sedangkan kedua-duanya adalah suci sebagaimana maklum secara dharurah syariyyah dan ijma’.



Kesimpulan
Berdasarkan penjelasan di atas, kita dapat fahami bahawa alkohol yang terdapat dalam perfume adalah suci dan boleh dipakai untuk mengerjakan sembahyang tanpa ragu-ragu lagi. Dengan melihat perfume menurut kaedah fiqh yang umum (qawa’id fiqhiyyah ‘ammah) kita mendapati bahawa ia terdiri daripada beberapa unsur utama iaitu air, bahan pewangi dan alkohol dalam nisbah tertinggi. Ia diekstrak daripada nisan tebu dengan menggunakan kaedah suling. Menurut nas-nas fiqh yang kita telah bawakan iaitu: asal bagi sesuatu benda (‘ain) ialah suci dan pengharaman tidak mesti menjadi najis maka perfume hukumnya suci khususnya ia disediakan untuk membersihkan dan bagi tujuan wangian. Dengan itu maka penggunaannya adalah harus dari segi syara’. Tidak ada kesan dalam membatalkan wudhu’ seperti ditanya dalam soalan. 


Allahua'lam
Sumber: Halaqah.net
Portal Rasmi Fatwa Malaysia
Laman Dr. Yusuf Al-Qaradawi



Ibnu Munir
09/03/2012
Universiti Yarmouk, Jordan.

Friday, 2 March 2012

Kentut???


     Alhamdulillah, pertama dan selama-lamanya, saya merafa'kan setinggi-tinggi syukur keranadiberikan nikmat sihat. Tak semua manusia mengecapi nikmat ini. Bagi saya, nikmat inilah yang sering kita lupakan. Apabila kita sakit, baru kita hendak mengingati-Nya. Sebagai hamba, saya merasakan inilah lemahnya manusia. Seperti kacang lupakan kulit. 



Terkadang, saya terfikir mengapa kita sering melupakannya nikmat yang Allah berikan kepada kita. Persoalan bermain-main di ruang legar fikiran saya. Sehingga sekarang, persoalan itu masih menjadi persoalan yang entah bila dapat dijawab. Satu persatu perkara yang menjadi persoalan. Selaku seorang pelajar Usul Feqh, sudah tentu persoalan feqh tidak henti-henti mengikut peredaran masa. Kali ini, saya terfikir satu tajuk yang saya rasakan penting untuk dikongsikan kepada semua. 

Soalan :- Bagaimanakah jika seseorang nak terkentut ketika solat, tetapi dia mampu bertahan sehingga selesai solat, adakah solatnya itu sah?

Jawapan :-
Solat si penahan kentut itu masih sah, tetapi jatuh makhruh hukumnya. Jika anda merujuk kitab lain seperti  kitab riyadhus sholihin, ditemui akan nas/hadis Rasulullah s.a.w:
dari Aisyah r.a berkata:"Saya pernah mendengar Rasulullah bersabda: 

"Tidak sempurna solat seorang muslim apabila makanan telah dihidangkan, atau apabila dia didesak buang air besar atau kecil" 
(Riwayat Imam Muslim)


Antara sebabnya menjadi makhruh ialah apabila ditahan akan akan kentutnya maka akan terganggulah khusyu'nya dalam bersolat. apatah lagi jika dengan menahan menyebabkan si penahan bergerak-gerak kecil dan menyebabkan terganggunya jemaah lain (jika solat berjemaah).

Tetapi hukumnya boleh menjadi haram (iaitu tidak sah solatnya) jika dengan perbuatan menahan itu akan mendatangkan mudharat kepada yang menahan, sebagai contoh akan mendatangkan penyakit kepada si penahan.

Hukumnya boleh berubah menjadi wajib (menahan kentut atau buang air besar dan kecil) sekiranya jika kita membatalkan solat maka akan luput waktu solat (contohnya: kita solat di akhir waktu atas sebab-sebab yang tak dapat dielakkan).

Sabda Rasulullah s.a.w,
" Tinggalkanlah apa yang meragukanmu dan 
kerjakanlah apa yang tidak meragukanmu"
(Riwayat al-Tarmizi, al-Nasa'i,Ibn Hibban & al-Hakim)


Di bawah ini, saya mahu kongsikan sedikit maklumat tetang kentut. Mungkin kita terasa lucu, tetapi saya rasa ini satu informasi yang berguna. Bacalah dengan penuh khusyuk.



 Maklumat Tentang Kentut


1. Dari mana asal kentut?

Dari gas dalam usus.
Gas dalam usus berasal dari udara yang kita telan, gas yang menerobos ke usus dari darah, gas dari reaksi kimia dan gas dari bakteria dalam perut.

2. Apa komposisi kentut?
Bervariasi. Semakin banyak udara anda telan, semakin banyak kadar nitrogen dalam kentut (oksigen dari udara diserap oleh tubuh sebelum sampai di usus). Adanya bakteria serta reaksi kimia antara asam perut dan cairan usus menghasilkan karbon dioksida. Bakteria juga menghasilkan metana dan hidrogen. Propors masing-masing gas tergantung apa yang anda makan, berapa banyak udara tertelan, jenis bakteria dalam usus, berapa lama kita menahan kentut. Makin lama menahan kentut, makin besar proporsi nitrogen, kerana gas-gas lain terserap oleh darah melalui dinding usus. Orang yang makannya tergesa-gesa kadar oksigen dalam kentut lebih banyak kerana tubuhnya tidak sempat menyerap oksigen.

3. Kenapa kentut berbau busuk?
Bau kentut kerana kandungan hidrogen sulfida & merkaptan. Kedua bahan ini mengandung sulfur (belerang). Makin banyak kandungan sulfur dalam makanan anda, makin banyak sulfida & merkaptan diproduksi oleh bakteri dalam perut & makin busuklah kentut anda.. Telur & daging mempunyai peranan besar dalam memproduksi bau busuk kentut. Kacang-kacang berperanan dalam memproduksi volume kentut bukan dalam kebusukannya.

4. Kenapa kentut menimbulkan bunyi?
Kerana adanya vibrasi lubang `anus` saat kentut diproduksi. Kerasnya bunyi bergantung pada kecepatan gas.

5. Kenapa kentut yg busuk itu hangat & tidak berbunyi?
Salah satu sumber kentut adalah bakteria. Fermentasi bakteria & proses pencernaan memproduksi panas, hasil sampingannya adalah gas busuk. Ukuran gelembung gas lebih kecil dan hangat dengan produk metabolisme bakteria yg berbau busuk. Ini kemudiannya menjadi kentut, walau hanya kecil volumenya,tapi SBD (Silent But Deadly)

6. Berapa banyak kentut diproduksi sehari?
Rata-rata setengah liter sehari dalam 14 kali kentut.

7. Mengapa kentut keluar melalui lubang dubur?
Kerana density-nya lebih ringan, kenapa gas kentut tidak melakukan perjalanan ke atas? Tidak demikian. Gerak peristaltik usus mendorong isinya ke arah bawah. Tekanan di sekitar `anus` lebih rendah. Gerak peristaltik usus menjadikan ruang mempunyai tekanan, sehingga memaksa isi usus, termasuk gas-nya untuk bergerak ke kawasan yang bertekanan lebih rendah, iaitu sekitar `anus`. Dalam perjalanan ke arah `anus` gelembung-gelembung kecil bergabung jadi gelembung besar. Kalau tidak ada gerak peristaltik, gelembung gasakan menerobos ke atas lagi, tapi tidak terlalu jauh, kerana bentuk usus yg rumit & berbelit-belit.

8. Berapa waktu yang diperlukan oleh kentut untuk melakukan perjalanan ke hidung orang lain?
Bergantung kepada kondisi udara, seperti kelembaban, suhu, kecepatan & arah angin, berat molekul gas kentut, jarak antara 'transmitter' dengan 'receiver'. Begitu meninggalkan sumbernya, gas kentut menyebar & konsentrasinya berkurang. Kalau kentut tidak dikesan dalam beberapa detik, bererti ianya mengalami pengcernaan di udara & hilang ditelan udara selama-lamanya. Kecuali kalau anda kentut di ruang sempit, seperti lift, kereta, konsentrasinya lebih banyak, sehingga baunya akan berlegar dalam waktu yang agak lama sampai akhirnya diserap dinding.

9. Apakah setiap orang kentut?
Sudah pasti, kalau masih hidup. Sesaat setelah meninggal pun orang masih boleh kentut.

10. Betulkah lelaki kentut lebih kerap daripada perempuan?
Tidak ada kaitannya dengan gender... Kalau benar, bererti perempuan menahan kentutnya, & apabila mahu kentut, banyak sekali jumlah yang dikeluarkan.

11. Saat apa biasanya orang kentut?
Pagi hari di toilet. yang disebut "morning thunder". Kalau resonansinya bagus, boleh didengar di seluruh penjuru rumah.

12.. Mengapa makan kekacang menyebabkan banyak kentut?
Kekacang mengandung zat gula yg tidak boleh dicerna tubuh. Gula tersebut (raffinose, stachiose, verbascose) jika sampai di usus, bakteria di usus berpesta & membuat banyak gas. Jagung, kubis, susu juga penyebab banyak kentut (bukan baunya!).

13. Selain makanan, apa lagi penyebab kentut?
Udara yang tertelan, makan terburu-buru, makan tanpa dikunyah, minum `soft drink`, naik pesawat udara (kerana tekanan udara lebih rendah, sehingga gas di dalam usus mengalami ekspansi & muncul sebagai kentut).

14. Apakah kentut sama dengan sendawa, tapi muncul dari lain lubang?
Tidak... sendawa muncul dari perut, komposisi kimianya lain dengan kentut. Sendawa mengandung udara lebih banyak, kentut mengandung gas yang diproduksi oleh bakteria lebih banyak.

15. Kemana perginya gas kentut kalau ditahan tidak dikeluarkan?
Bukan..tetapi diserap oleh darah, bukan hilang kerana bocor..Tapi bermigrasi ke bahagian atas menuju usus & pada gilirannya akan keluar juga.. Jadi bukan lenyap, tapi hanya mengalami penundaan.

16. Mungkinkah kentut terbakar?
Boleh saja. Kentut mengandung metana, hidrogen yg combustible (gas alam mengandung komponen ini juga). Kalau terbakar, nyala-nya berwarna biru kerana kandungan unsur hidrogen.

17. Bolehkah menyalakan mancis dengan kentut?
Jangan mengada-ada... konsistensinya lain.. Juga suhunya tidak cukup panas untuk memulakan pembakaran.

18. Mengapa kentut anjing & kucing lebih busuk?
Kerana anjing & kucing adalah karnivor (pemakan daging). Daging kaya dengan protein. Protein mengandung banyak sulfur, Jadi, bau kentut binatang ini lebih busuk. Lain dengan herbivor seperti kambing, kuda, gajah, yang memproduksi kentut lebih banyak, lebih lama, lebih kuat bunyinya, tapi relatif tidak berbau.

19. Betulkah pening kepala kalau mencium bau kentut 2-3 kali berturut-turut?
Kentut mengandung sedikit oksigen, mungkin sedikit saja anda mengalami pening kepala kalau mencium bau kentut terlalu banyak.


20. Apakah warna kentut
Tidak berwarna.

21. Apakah kentut itu asid atau neutral?
Asid, kerana mengandung karbondioksisa (CO2) & hidrogen sulfida (H2S).

22. Apa yang terjadi kalau seseorang kentut di planet Venus?
Planet Venus sudah banyak mengandungi sulfur (belerang) di lapisan udaranya, jadi kentut di sana tidak ada kesannya.

Pasti semua terasa lucu setelah membaca artikel ini. Ambil yang bermanfaat, InsyaAllah beroleh kebaikan.


Ibnu Munir
03/03/2012
Universiti Yarmouk, Jordan.

Thursday, 1 March 2012

Sultan Muhammad al-Fateh (The Conquer of Costantinople)...

 *Kepada sesiapa yang meminati sejarah,,  satu artikel yang panjang, tetapi tidaklah panjang jika anda meminati ilmu.


HADIS RASULLAH SAW TENTANG 
PEMBEBASAN CONSTANTINOPLE


Sabda Rasulullah s.a.w. ketika menggali Parit Khandaq;

“..Constantinople (kini Istanbul) akan jatuh ke tangan tentera Islam. Rajanya adalah sebaik-baik raja,tenteranya adalah sebaik-baik tentera……”
(Hadis riwayat Imam Ahmad)


Di bawah ini adalah satu artikel yang dikirimkan kepada saya oleh seorang rakan.  Disiarkan semula  di sini untuk tatapan pembaca. Ditambah beberapa keping gambar yang diambil dari Turki untuk dikongsikan.


Umat Islam berlumba-lumba membebaskan Constantinople untuk mendapatkan penghormatan yang dijanjikan oleh Allah swt di dalam Hadis tersebut. Walau bagaimanapun, kesemua kempen yang dilancarkan menemui kegagalan. Di antaranya, 5 kempen di zaman Kerajaan Umayyah, 1 kempen di zaman Kerajaan Abbasiyah dan 2 kempen di zaman  Kerajaan Uthmaniyah.



Di dalam salah sebuah kempen semasa zaman Kerajaan Umayyah, seorang sahabat besar Nabi saw iaitu Abu Ayyub Al Ansary ra telah syahid dan dimakamkan di bawah dinding kubu Kota Constantinople di atas wasiatnya sendiri. Apabila ditanya kenapa beliau ingin dimakamkan di situ maka beliau menjawab, “Kerana aku ingin mendengar derapan tapak kaki kuda sebaik-baik raja yang akan mengetuai sebaik-baik tentera semasa mereka membebaskan Constantinople”. Begitulah teguhnya iman seorang sahabat besar Nabi saw.



Hadis Nabi saw ini direalisasikan hampir 800 tahun kemudiannya oleh Sultan Muhammad Al Fatih, khalifah ke-7 Kerajaan Usmaniyyah dan 150,000 orang tenteranya.



Siapakah Sultan Muhammad Al Fatih? Apakah kehebatan Baginda dan tentera-tenteranya sehingga disebut “Sebaik-baik raja” dan “sebaik-baik tentera” di dalam hadis tersebut.



PENGENALAN

Baginda dilahirkan pada 29 Mac 1432 Masihi di Adrianapolis (sempadan Turki – Bulgaria). Walau bagaimanapun, sejarah hidup Baginda sebenarnya telah bermula hampir 800 tahun sebelum kelahirannya kerana telah disebut sebagai “sebaik-baik raja” di dalam Hadis tadi. Baginda juga dikenali dengan gelaran Muhammad Al Fatih kerana kejayaannya membebaskan Constantinople.



Baginda menaiki takhta ketika berusia   19 tahun dan memerintah selama 30 tahun (1451 – 1481). Baginda merupakan seorang   negarawan ulung dan panglima tentera agung yang memimpin sendiri 25 kempen peperangan. Baginda mangkat pada 3 Mei 1481 kerana sakit gout. Ada ahli sejarah berpendapat Baginda mangkat diracun.



PENDIDIKAN

Baginda menerima pendidikan yang menyeluruh dan bersepadu. Di dalam bidang keagamaan, gurunya adalah Syeikh Shamsuddin Al-Wali dikatakan dari keturunan Sayyidina Abu Bakar As-Siddiq ra. Di dalam ilmu peperangan pula, Baginda diajar tentang tektik peperangan,   memanah dan menunggang kuda oleh panglima-panglima tentera.



Di dalam bidang akademik pula, Baginda adalah seorang cendekiawan ulung di zamannya yang fasih bertutur dalam 7 bahasa iaitu Bahasa Arab, Latin, Greek,  Serbia, Turki, Parsi dan Hebrew. Di dalam bidang Ilmu Pemerintahan pula, ayahanda Baginda , Sultan Murad II, dengan tujuan mendidik, semasa pergi bersuluk ke Pulau Magnesia, telah melantik Baginda yang baru berusia 12 tahun memangku jawatan Khalifah. Dalam usia semuda ini Baginda telah  matang menangani tipu helah musuh.



KEPERIBADIAN

Baginda sentiasa bersifat tawadhu’ dan rendah diri .. Semasa membina Benteng Rumeli Hissari, Baginda membuka baju dan serbannya, mengangkat batu dan pasir hingga ulamak-ulamak dan menteri-menteri terpaksa ikut sama bekerja



Baginda seorang yang sentiasa tenang, pendiam, berani, sabar, tegas dan kuat menyimpan rahsia pemerintahan. Baginda sangat cintakan ulamak dan selalu berbincang dengan mereka tentang permasalahan negara.



PERSIAPAN AWAL MEMBEBASKAN CONSTANTINOPLE



Selama 2 tahun selepas menaiki takhta, Baginda mengkaji pelan Kota Costantinople setiap malam bagi mengenal pasti titik kelemahannya. Baginda juga mengkaji sebab-sebab kegagalan kempen-kempen terdahulu serta berbincang dengan panglima-panglima perangnya tentang tentang strategi yang sesuai untuk digunakan.



Baginda mengarahkan dibina peralatan perang termoden seperti meriam besar yang boleh menembak bom 300 kg sejauh 1 batu. Benteng Rumeli Hissari dibina di tebing sebelah Eropah, lebih kurang 5 batu dari Kota Constantinople di mana Selat Bosphorus adalah yang paling sempit. Ia dibina bertentangan dengan Benteng Anadolu Hisar di tebing sebelah Asia yang telah dibina oleh Sultan Bayazid Yildirim dahulu. Benteng ini mengawal rapi kapal-kapal yang melintasi Selat Bosphorus. Perjanjian damai dibuat dengan pihak Wallachia, Serbia dan Hungary untuk memencilkan Constantinople apabila diserang nanti.



Baginda membawa bersama para ulamak dan pakar motivasi ke medan perang bagi membakar semangat jihad tenteranya. Sebaik sahaja menghampiri dinding kubu Kota Constantinople, Baginda mengarahkan dilaungkan Azan dan solat berjemaah. Tentera Byzantine gentar melihat 150,000 tentera Islam bersolat di belakang pemimpin mereka dengan laungan suara takbir memecah kesunyian alam.



MELANCARKAN SERANGAN KE ATAS CONSTANTINOPLE

Setelah segala persiapan lengkap diatur, Baginda menghantar utusan kepada Raja Bizantin meminta beliau menyerah. Keengganan beliau mengakibatkan kota tersebut dikepung. Pada 19 April 1453, serangan dimulakan. Kota tersebut hujani peluru meriam selama 48 hari. Setengah dinding luarnya rosak tetapi dinding tengahnya masih teguh.



Menara Bergerak

Seterusnya Baginda mengarahkan penggunaan menara bergerak yang lebih tinggi dari dinding kubu Byzantine dan memuatkan ratusan tentera. Tentera Byzantin berjaya memusnahkan menara tersebut setelah ianya menembusi dinding tengah kubu mereka.


Bantuan Dari Pope Vatican
Selat Bosphorus
Pope di Rome menghantar bantuan 5 buah armada yang dipenuhi dengan senjata dan tentera. Perairan Teluk Golden Horn direntang dengan rantai besi untuk menghalang kemaraan armada Usmaniyah. Ini menaikkan semula semangat tentera Bizantin.
Rantai yg digunakan oleh tentera Byzantin untuk menghalang armada al-Fateh
Melancarkan Kapal Perang Dari Puncak Gunung


Kegembiraan mereka tidak lama. Keesokan paginya, mereka dikejutkan dengan kehadiran 72 buah kapal perang Usmaniyah di perairan Teluk Golden Horn. Ini adalah hasil kebijaksanaan Baginda mengangkut kapal-kapal ke atas gunung dan kemudian diluncurkan semula ke perairan Teluk Golden Horn. Tektik ini diakui sebagai antara tektik peperangan (warfare strategy) yang terbaik di dunia oleh para sejarawan Barat sendiri. Kapal-kapal itu kemudiannya membedil dinding pertahanan belakang kota.



Kapal-kapal perang tentera Byzantin habis terbakar kerana bedilan meriam Uthmaniyah. Pertahanan Byzantin menjadi semakin lemah. Baginda mengambil kesempatan pada malamnya dengan memberikan semangat kepada tenteranya serta mengingatkan mereka kepada Hadis Rasulullah saw dan bersama-sama berdoa kepada Allah swt.



Memanjat dan Melastik Dinding Kota

Keesokan paginya tentera Uthmaniyah cuba memanjat dinding dalam kubu dengan tangga dan cuba merobohkannya dengan lastik besar. Tentangan sengit pihak Byzantin   menyebabkan ramai yang syahid.. Baginda memerintahkan tenteranya berundur dan bedilan meriam diteruskan sehingga tengahari.


Karisma Seorang Pemimpin



Pengepungan selama 53 hari tanpa sebarang tanda-tanda kejayaan  telah menimbulkan rasa bosan dan menghilangkan keyakinan tentera Baginda. Pada saat yang genting ini Baginda berucap menaikkan semangat tenteranya, “Wahai tenteraku, aku bersedia untuk mati di jalan Allah. Sesiapa yang mahu syahid ikutlah aku!”.




Mendengarkan itu, Hasan Ulubate, salah seorang tentera Baginda mengetuai sekumpulan kecil 30 tentera membuka dan melompat masuk ke dalam kubu musuh lantas memacak bendera Islam di situ. Mereka kesemuanya gugur syahid setelah dihujani anak panah musuh. Kemudian tentera-tentera Islam menyerbu bertali arus menembusi barisan pertahanan Byzantin sambil melaungkan kalimah Allahu Akbar.



Penawanan Constantinople

Pada 29 Mei 1453, Kota Constantinople jatuh ke tangan Islam. Baginda menukar namanya kepada Islambol (Islam keseluruhan) . Gereja Besar St Sophies ditukar kepada Masjid Aya Sofiya. Baginda dengan tawadhuknya melumurkan tanah ke dahinya lalu melakukan sujud syukur. Semenjak peristiwa inilah Baginda diberi gelaran “Al Fatih” iaitu yang menang kerana kejayaannya membebaskan Constantinople.



SEBAIK-BAIK RAJA DAN SEBAIK-BAIK TENTERA

Pada kali pertama solat Jumaat hendak didirikan, timbul pertanyaan siapa yang layak menjadi imam. Baginda memerintahkan kesemua tenteranya termasuk dirinya bangun lantas bertanya, “Siapa di antara kita sejak baligh hingga sekarang pernah meninggalkan solat fardhu walau sekali sila duduk!”. Tiada seorang pun yang duduk, kerana  tidak seorang pun di antara mereka pernah meninggalkan solat fardhu.



Baginda bertanya lagi, 

“Siapa di antara kita yang sejak baligh hingga kini pernah meninggalkan solat sunat rawatib sila duduk!”. Sebahagian daripada tenteranya duduk.


Kemudian Baginda bertanya lagi, “Siapa di antara kamu sejak baligh hingga ke saat ini pernah meninggalkan solat tahajjud walaupun satu malam, sila duduk!”. Kali ini semuanya duduk, kecuali  Sultan Muhammad Al-Fatih sendiri. Baginda tidak pernah meninggalkan solat fardhu, Solat Sunat Rawatib dan Solat Tahajjud sejak baligh .. Inilah dia anak didikan Syeikh Shamsuddin Al Wali. Bagindalah sebaik-baik raja yang telah diisyaratkan oleh Rasulullah saw di dalam Hadisnya itu.


Ibnu Munir
02/03/2012
Universiti Yarmouk, Jordan.





Copyright @ 2013 Ibnu Munir™.