Friday, 31 August 2012

Syawwal...

Bismillah, Assalamualaikum wm. wb.

Berkesempatan di bulan Syawal ini, saya ingin memohon keampunan kepada semua khususnya kepada sesiapa yang mengenali diri ini (Ibnu Munir) sama ada kesilapan yang saya sedari atau tidak. Saya juga ingin mengambil peluang ini untuk mengucapkan "Kullu 'Am Wa Antum Bikheir.." dan Selamat Hari Raya Adilfitri 1433 kepada seluruh kaum keluarga, sahabat handai, dan seluruh umat Islam amnya .. Semoga Amalan kita di bulan Ramadhan diterima oleh Allah s.w.t.

Keistimewaan Bulan Syawwal


Bulan Kembali Kepada Fitrah

Umumnya setelah sebulan membanting tenaga beribadah kepada Allah SWT, menjaga solat, menjaga waktu, menjaga puasa, membasahi lidah dengan berzikir, menenangkan hati dengan mengingati Allah dan sebagainya, tentulah di akhir 30 hari, kembalilah kita dalam keadaan bersih seperti bayi-bayi yang baru dilahirkan. 

 Bulan Takbir

Walaupun kita bertakbir hanya sehari semalam di bulan Syawal tetapi takbir yang dilaungkan bergema terus menerus dari awal hari iaitu selepas Maghrib hingga ke penghujung hari iaitu selepas Asar. Disamping bertakbir, kita juga digalakkan berzikir dan bertahmid sebagai tanda syukur atas nikmat-nikmat Allah SWT. Berfirman Allah SWT: "Dan agar kamu membesarkan Allah atas apa-apa yang telah Ia berikan petunjuk kepada kamu, dan agar kamu bersyukur atas nikmat-nikmat yang telah diberikan" (Surah Al-Baqarah: Ayat 185).

 Bulan Silaturrahim

Jika dibandingkan dengan bulan-bulan yang lain, umat Islam lebih cenderung menjalinkan hubungan silaturrahim pada bulan mulia ini sedangkan mengeratkan hubungan sesama saudara dituntut dalam agama apatah lagi bagi mereka yang bertengkar. Allah SWT berfirman: “Sebenarnya orang-orang yang beriman itu adalah bersaudara, maka damaikanlah di antara dua saudara kamu (yang bertelingkah) itu dan bertakwalah kepada Allah supaya kamu beroleh rahmat.” (Surah AlHujraat ayat 10)

 Bulan Ceria



Menjadi kebiasaan kita memakai baju yang baru dan berwarna warni di bulan ini sehingga wajah tampak berseri-seri dan ceria. Dengan motivasi hasil dari kemenangan mendisplin diri, bantu membantu dan mengeratkan silaturrahim, hubungan kekeluargaan dan persahabatan menjadi semakin manis dan mesra menjadikan bulan ini bulan yang ceria buat semua warga Islam se dunia.

 Bulan Peningkatan



Sesuai makna Syawal dari segi bahasa iaitu peningkatan, bulan Syawal sememangnya menuntut peningkatan iman dengan menyambung dan memperbanyakkan lagi usaha yang telah kita lakukan di bulan Ramadan.

 Bulan Nikah



Bulan Syawal juga dikenali dengan bulan nikah kerana Nabi Muhammad SAW menikahi Sayyidatina Aisyah dan Ummu Salamah di bulan Syawal. Diriwayatkan dari Siti Aisyah ra: “Rasulullah SAW menikahi saya pada bulan Syawal, berkumpul dengan saya pada bulan Syawal. Maka siapakah isteri beliau yang lebih beruntung daripada saya?”

 Bulan Pembuktian Takwa



Inilah kelebihan bulan Syawal iaitu membuktikan keberhasilan takwa yang kita bina di bulan Ramadan.



-13 Syawwal 1433H-

Imam Syafi'e Rahimahullah...



Imam as-Syafi’e rahimahullah lahir di Gaza, Palestin pada tahun 150H/767M. Nama sebenarnya ialah Muhammad bin Idris as-Syafi‘e. Beliau mempunyai pertalian darah Quraisy dan hidup tanpa sempat melihat ayahnya. Pada umur 10 tahun ibunya membawanya ke Makkah untuk menunaikan ibadah Haji dan selepas itu beliau tetap berada di sana untuk menuntut ilmu. Di Makkah Imam as-Syafi’e memulakan perguruannya dengan Muslim bin Khalid al-Zanji, yakni mufti Kota Makkah ketika itu.

Kitab ilmu yang paling terkemuka pada ketika itu ialah al-Muwattha’ karangan Imam Malik bin Anas, dan Imam as-Syafi’e dalam usia 15 tahun telah pun menghafal keseluruhan kitab tersebut. Imam as-Syafi’e kemudiannya berhijrah ke Madinah untuk berguru pula dengan penulis kitab itu sendiri, yakni Imam Malik bin Anas. Ketika itu Imam as-Syafi’e baru berumur 20 tahun dan beliau terus duduk bersama Imam Malik sehinggalah kewafatannya pada tahun 179H/796M. Ketokohan Imam as-Syafi’e sebagai murid terpintar Imam Malik bin Anas mulai diiktiraf ramai. Imam as-Syafi‘e mengambil alih sebentar kedudukan Imam Malik bin Anas sebagai guru di Masjid Nabawi di Madinah sehinggalah beliau ditawarkan satu kedudukan jawatan oleh Gabenor Yaman. Jawatan Imam as-Syafi’e di Negeri Yaman tidak lama kerana beliau telah difitnah sebagai pengikut mazhab Syi‘ah. Selain itu pelbagai konspirasi lain dijatuhkan ke atasnya sehinggalah beliau dirantai dan dihantar ke penjara di Baghdad, yakni pusat pemerintahan Dinasti Abbasid ketika itu.

Imam as-Syafi’e dibawa menghadap kepada Khalifah Harun ar-Rashid dan beliau berjaya membuktikan kebenaran dirinya. Kehandalan serta kecekapan Imam as-Syafi’e membela dirinya dengan pelbagai hujjah agama menyebabkan Harun ar-Rashid tertarik kepadanya. Imam as-Syafi’e dibebaskan dan dibiarkan bermastautin di Baghdad. Di sini Imam as-Syafi’e telah berkenalan dengan anak murid Imam Abu Hanifah dan duduk berguru bersama mereka, terutamanya Muhammad bin al-Hasan as-Syaibani. Suasana ini memberikan kelebihan yang penting bagi Imam as-Syafi’e, iaitu beliau berkesempatan untuk belajar dan membanding antara dua ajaran Islam, yakni ajaran Imam Malik bin Anas dan ajaran Imam Abu Hanifah.

Pada tahun 188H/804M, Imam as-Syafi’e berhijrah pula ke Mesir. Sebelum itu beliau singgah sebentar di Makkah dan di sana beliau diberi penghormatan dan dipelawa memberi kelas pengajian agama. Imam as-Syafi’e kini mula diiktiraf sebagai seorang imam dan beliau banyak meluahkan usaha untuk cuba menutup jurang perbezaan di antara ajaran Imam Malik bin Anas dan Imam Abu Hanifah. Usahanya ini tidak disambut baik oleh para penduduk Makkah kerana kebiasaan mereka adalah kepada ajaran Imam Malik bin Anas.

Pada tahun 194H/810M, Imam as-Syafi’e kembali semula ke Baghdad dan beliau dipelawa untuk memegang jawatan Qadhi bagi Dinasti Abbasid. Beliau menolak dan hanya singgah selama 4 tahun di Baghdad. Imam as-Syafi’e kemudian kembali ke Mesir dan memusatkan ajarannya di sana pula. Daud bin ‘Ali pernah ditanya akan kelebihan Imam as-Syafi’e berbanding tokoh-tokoh lain pada ketika itu, maka beliau menjawab:

“As-Syafi‘e mempunyai beberapa keutamaan, berkumpul padanya apa yang tidak terkumpul pada orang lain. Beliau seorang bangsawan, beliau mempunyai agama dan i’tiqad yang sebenar, seorang yang sangat murah hati, mengetahui hadith sahih dan hadith dhaif, nasikh, mansukh, menghafal al-Quran dan hadith, perjalanan hidup para Khulafa’ ar-Rashidin dan amat pandai pula mengarang.”



Dalam usahanya untuk cuba menutup jurang perbezaan antara ajaran Imam Malik bin Anas dan Imam Abu Hanifah, Imam as-Syafi’e menghadapi banyak tentangan daripada para pengikut Mazhab Maliki yang amat taksub kepada guru mereka. Pada satu malam, dalam perjalanan balik ke rumah dari kuliah Maghribnya di Mesir, Imam as-Syafi’e telah diserang dan dipukul orang sehingga menyebabkan kematiannya. Pada ketika itu Imam as-Syafi’e juga sedang menghadapi penyakit buasir yang agak serius.

Imam as-Syafi’e meninggal dunia pada 29 Rejab tahun 204H/820M di Mesir ketika berumur 54 tahun (Hijriah). Beliau meninggalkan kepada dunia Islam sebuah kitab yang paling agung dalam bidang usul fiqh berjudul ar-Risalah. Kitab ini adalah yang terawal dalam menyatakan kaedah-kaedah mengeluarkan hukum daripada sesebuah nas al-Qur’an dan as-Sunnah. Selain itu Imam as-Syafi’e juga meninggalkan kitab fiqhnya yang termasyhur berjudul al-Umm. Ajaran Imam as-Syafi’e diteruskan oleh beberapa anak muridnya yang utama seperti Abu Yaaqub al-Buwayti (231H/846M), Rabi’ bin Sulaiman al-Marali (270H/884M) dan Abu Ibrahim bin Yahya al-Muzani (274H/888M).


Wasiat Imam Syafi'e
 
PERTAMA: HAK KEPADA DIRI.
Iaitu: Mengurangkan tidur, mengurangkan makan, mengurangkan
percakapan dan berpada-pada dengan rezeki yang ada.

KEDUA: HAK KEPADA MALAIKAT MAUT
Iaitu: Mengqadhakan kewajipan-kewajipan yang tertinggal, mendapatkan
kemaafan dari orang yang kita zalimi, membuat persediaan untuk mati
dan merasa cinta kepada Allah.

KETIGA : HAK KEPADA KUBUR
Iaitu : Membuang tabiat suka menabur fitnah, membuang tabiat kencing
merata-rata, memperbanyakkan solat Tahajjud dan membantu orang yang
dizalimi.

KEEMPAT: HAK KEPADA MUNKAR DAN NAKIR
Iaitu : Tidak berdusta, berkata benar, meninggalkan maksiat dan
nasihat menasihati.

KELIMA : HAK KEPADA MIZAN (NERACA TIMBANGAN AMAL PADA HARI KIAMAT)
Iaitu : Menahan kemarahan, banyak berzikir, mengikhlaskan amalan dan
sanggup menanggung kesusahan.

KEENAM : HAK KEPADA SIRAT (TITIAN YANG MERENTANGI NERAKA PADA HARI
AKHIRAT)
Iaitu : Membuang tabiat suka mengumpat, bersikap warak, suka membantu
orang beriman dan suka berjemaah.

KETUJUH : HAK KEPADA MALIK (PENJAGA NERAKA)
Iaitu : Menangis lantaran takutkan Allah SWT, berbuat baik kepada ibu
bapa bersedekah secara terang-terangan serta sembunyi dan memperelok
akhlak.

KELAPAN : HAK KEPADA RIDHWAN (MALAIKAT PENJAGA SYURGA)
Iaitu : Berasa redha dengan Qadha' Allah, bersabar menerima
bala,bersyukur ke atas nikmat Allah dan bertaubat dari melakukan
maksiat.

KESEMBILAN : HAK KEPADA NABI SAW
Iaitu : Berselawat ke atas baginda, berpegang dengan syariat,
bergantung kepada as-Sunnah (Hadith), menyayangi para sahabat, dan
bersaing dalam mencari keredhaan Allah.

KESEPULUH : HAK KEPADA ALLAH SWT
Iaitu : Mengajak manusia ke arah kebaikan, mencegah manusia dari
kemungkaran, menyukai ketaatan dan membenci kemaksiatan..


"Sesungguh Solatku,Ibadahku,Hidupku,Matiku hanya kerana Allah"

Zikir Imam Syafi'e

Pengembara Ilmu, Berjalan Tanpa Henti...



أيها المهاجر عليك الوداع قريبا
   هل استعدت إذا سرت بعيدا

أمامك الشوك في الطريق واعلم
   أن وارد نهايته الربيع ريعانا

لو كان نفسك ما دمت يقين
   لا تصل إليها حتى تكون طالبا

فاحترس من الحاضر ما زلت فيه
   واحترم الماضي والفائزون سبيلا

أتحزن والنجاح قد ينتظرك
   في طريقه ويتركك وليس عجبا

إعلم يا مهاجر عن بقية عمرك
   في الليالي والأيام وليست أزيدا

فاترك اللهو فعليك ما تطلب
   واللغى تخلي يومك باطلا

ثبّت في طريقه شديدا وضيقا
   فتكون عالما وناجحا وثابتا



Wahai pengembara masa berpisah sudah semakin menghampiri,
Adakah kamu bersedia sekiranya jalanmu masih jauh

Di depan kamu jalan yang berduri maka ketahuilah,
Di penghujungnya ada musim bunga yang berkembang

Sekiranya dalam diri kamu masih ada keyakinan,
Kamu tidak akan sampai kepadanya sehinggalah kamu menjadi penuntut (berkehendak)

Berjaga-jagalah pada masa sekarang selagi mana kamu berada di dalamnya
Dan hormatilah masa lalu dan orang yang berjaya itu di jalan kamu

Adakah kau bersedih sedangkan kejayaan itu menunggumu
Di jalannya dan akan meninggalkan mu dan itu bukanlah mustahil.

Ketahuilah wahai pengembara, tentang baki umur kamu,
Pada malam-malam dan siangnya dan tidak akan bertambah

Tinggalkanlah nafsumu dan kau akan mendapat apa yang kau hendak,
Dan lagha itu akan menjadikan harimu sia-sia

Tetaplah di jalan ini dalam sempit atau susah,
Kamu akan menjadi berilmu, berjaya dan teguh.

Saturday, 23 June 2012

Kalendar/Taqwim Hijrah...



Semestinya kehidupan seharian kita memerlukan kepada suatu sistem yang dapat mengatur kehidupan kita supaya lebih teratur. Jadi, muncullah sistem tarikh yang dinamakan kalendar. Dewasa ini, penggunaan kalendar/taqwim hijrah semakin dipinggirkan masyarakat melayu khususnya, kita lebih mengutamakan penggunaan kalendar masihi yang bersandarkan kepada tahun kelahiran Nabi Isa A.S. Sebagai seorang muslim, seharusnya kita menggunakannya dan mengetahui sejarah atau asal dari manakah munculnya taqwim hijrah ini. Secara tidak lansung kita dapat meningkatkan pengetahuan kita tentang Islam. 

Muqaddimah
Manusia memang berhajat kepada taqwim bagi mengatur kehidupan seharian agar lebih teratur dan tersusun. Di sini kita dapat lihat bagaimana telah wujudnya taqwim yang berbeza yang telah digunakan oleh bangsa Cina, Masihi dan Firaun dan selain mereka. Kita juga dapat melihat bagaimana Allah telah menetapkan bilangan bulan dalam setahun sebagaimana ayat 36 surah at-Taubah yang bermaksud : "Sesungguhnya bilangan bulan pada sisi Allah ialah 12 bulan. Dalam ketetapan Allah di waktu Dia menciptakan langit dan bumi di antaranya empat bulan haram. Itulah ketetapan agama yang lurus maka janganlah kamu menganiayai diri kamu dalam bulan yang empat itu dan perangilah kaum musyrikin itu kesemuanya sebagaimana mereka memerangi kamu kesemuanya dan ketahuilah bahawa Allah beserta mereka yang bertaqwa."

Asal-Usul Taqwim Hijrah

Manusia telah membahagikan bulan dalam setahun sebanyak dua belas bulan yang mana jumlah hari dalam sebulan antara 28 hingga 31 hari dan dalam seminggu pula ada tujuh hari. Sesetengah bangsa mengira taqwim mereka berdasarkan pergerakan matahari dan setengah yang lain termasuk bangsa arab dan umat Islam mengira taqwim mereka berdasarkan pergerakan bulan. Taqwim arab sebelum Islam 412 Masihi  Bangsa arab telah menggunakan taqwim pada tahun 412 Masihi di mana arab yang berada di jazirah (kepulauan) arab mengira taqwim qamari iaitu berdasarkan pergerakan bulan. Di sisi mereka ada 12 bulan dalam setahun tetapi masih tidak berpegang kepada taqwim khas malah banyak bergantung kepada sejarah perjalanan hidup mereka berdasarkan beberapa peristiwa penting yang berlaku terhadap mereka. Sebagai contohnya adalah seperti berikut :



Pertama  : Pembinaan Ka’bah oleh nabi Ibrahim dan anaknya nabi Ismail A.S kira-kira pada tahun 1855 Sebelum masihi.
Kedua    : Runtuhnya Empangan Ma’rib pada tahun 120 Sebelum Masihi.
Ketiga    : Kewafatan Ka’ab bin Luai iaitu datuk ketujuh bagi Rasulullah S.A.W pada tahun 59
Sebelum Masihi.
Keempat : Tahun Uzur pada 461 Masihi kerana berlakunya paksaan pada tahun ini dalam memberi persembahan kepada Ka’bah oleh raja dan manusia pada tahun ini bertelagah sesama mereka.
Kelima   : Tahun Gajah iaitu apabila tentera bergajah Abrahah cuba menyerang Mekah pada
tahun 571 Masihi.
Keenam : Berlakunya Peperangan Fujjar yang berterusan sehingga empat tahun bermula daripada 586 Masihi. Para qabilah arab berperang sesama mereka termasuk pada bulan haram yang mana dilarang berperang dalamnya. Oleh sebab it'u ia dinamakan peperangan Fujjar kerana arab melanggar larangan bulan haram.
Ketujuh  : Pembinaan semula Ka’bah yang siap pada masa Abdul Muttalib iaitu datuk Rasulullah S.A.W menjadi ketua dan ketika itu baginda S.A.W berusia 35 tahun. Ini bermakna ia berlaku pada tahun 605 Masihi.



    Perkiraan bulan mengikut bangsa arab berdasarkan masa yang berlaku antara dua anak bulan. Tahun Qamariah mempunyai 354.25 hari dalam setahun yang terdiri daripada 12 bulan. Bulan-bulan haram sebagaimana yang telah digarapkan oleh Allah dalam ayat 36 surah at-Taubah yang bermaksud "Sesungguhnya bilangan bulan pada sisi Allah ialah 12 bulan. Dalam ketetapan Allah di waktu Dia menciptakan langit dan bumi di antaranya empat bulan haram. Itulah ketetapan agama yang lurus maka janganlah kamu menganiayai diri kamu dalam bulan yang empat itu dan perangilah kaum musyrikin itu kesemuanya sebagaimana mereka memerangi kamu kesemuanya dan ketahuilah bahawa Allah beserta mereka yang bertaqwa."
Daripada ayat ini kita dapat fahami bahawa bulan-bulan itu adalah Rejab, Zulkaedah, Zulhijjah dan Muharram. Sebarang perbuatan maksiat pada bulan-bulan ini akan menerima azab yang pedih dan bagi amalan soleh pula akan diganjarkan dengan pahala dan balasan yang berganda. Arab menamakan bulan-bulan yang ada dalam setahun dengan nama yang berbeza dengan sebab yang berbeza iaitu :



1. MUHARRAM : Disebabkan pengharaman berlakunya sebarang peperangan padanya di sisi bangsa arab.
2. SAFAR         : Kawasan tempat tinggal kosong daripada penduduknya kerana mereka keluar berperang bagi menghabiskan sisa-sisa bulan halal sebelum masuk bulan haram.
3. RABIUL AWWAL : Manusia meresa seronok dan lapang padanya dan duduk di tempat tinggal ketika ini.
4. RABI'UL AKHIR    : Juga kerana manusia berseronok dan lapang pada bulan ini.
5. JAMADIL AWWAL : Bertembung hari-hari musim sejuk yang begitu sejuk dan bekunya air.
6. JAMADIL AKHIR    : Mereka mendakwa bahawa kebanyakan peristiwa-peristiwa yang besar berlaku pada bulan ini sehingga mereka berkata :” Ajaib bagi segala yang ajaib itu ialah antara Jamadi yang dua dan Rejab”.
7. REJAB          : Dibesarkan dan dikatakan juga pekak kerana tidak terdengar suara bising dan suara pedang yang berlaga. Dipanggil bagi bulan ini lebih disukai kerana Allah menurunkan padanya rahmat dam keampunan kepada hamba-hambanya.
8. SYA’ABAN    : Bertembung kepanasan yang terik pada awal waktu dan ia merupakan bulan berkat kerana semua kitab samawi (wahyu kepada nabi-nabi) diturunkan pada bulan ini termasuk suhuf nabi Ibrahim, Taurat, Injil dan al-Quran al-Karim. Waktu berubah mengikut peredaran zaman yang mana bulan ini selepas berlakunya setiap 25 dan 16 tahun berpindah daripada musim panas kepada musim sejuk.
9. RAMADHAN : Bulan diturunkan Al-Quran dan padanya Lailatul Qadr.

10. SYAWAL      : Bulan di mana diberi minum unta dan kerana ia merupakan awal bulan haji.
11. ZULKA'EDAH : Kerana arab berhenti daripada berperang pada bulan ini dan ia juga merupakan awal bulan haram.
12. ZULHIJJAH    : Kerana orang muslim mengerjakan haji pada bulan ini.


Taqwim hijrah 17 Hijrah bersamaan 638 Masihi
Sebab yang mula mencetuskan taqwim ini adalah apabila Sayyidina Umar yang merupakan khalifah pada masa itu telah menghantar surat perintah kepada pekerjanya di Basrah iaitu Abu Musa al-Asy’ari di mana dalam surat itu ditulis Sya’aban. Abu Musa al-Asy’ari telah menghantar surat kepada Sayyidina Umar untuk mengetahui masa yang sebenar tentang bulan Sya’ban itu samada yang sedang mereka berada sekarang atau pun Sya’aban yang telah lalu. Melihat perkara ini maka Sayyidina Umar terus memberi pandangan agar diadakan taqwim khas untuk panduan umat Islam. Pada tahun 17 Hijrah, Sayyidina Umar mencadangkan agar umat Islam mengadakan suatu pembaharuan bagi memulakan tarikh perjalanan hidup mereka berdasarkan taqwim khas. Beliau telah menghimpun umat Islam pada masa itu dan berbincang dengan mereka mengenai taqwim ini. Ada di kalangan mereka yang mencadangkan agar dimulakan mengikut tahun kenabian S.A.W tetapi beliau menolaknya sehinggalah ada yang mencadangkan agar dimulakan dengan mengambil tarikh hijrah Rasulullah S.A.W sebagai titik permulaan kepada taqwim umat Islam yang mana cadangan terus ini diterima.


    Para muslimin telah dinamakan tahun pertama hijrah merupakan Tahun disunnahkan Azan dan tahun kedua Tahun disunnahkan Peperangan. Manakala tahun ketiga Tahun Penyelidikan, tahun keempat Tahun Perjanjian, tahun kelima Tahun Gempa, tahun keenam Tahun Keizinan, tahun ketujuh Tahun Kekerasan, tahun kelapan Tahun Persamaan, tahun kesembilan Tahun Berlepas diri dan tahun kesepuluh ialah Tahun Perpisahan.


Keistimewaan Taqwim Hijrah
Keistimewaan atau pun perbezaan taqwim hijrah adalah dengan tibanya bulan puasa dan haji dalam setiap musim yang empat mengikut peredaran tahun. Islam telah mengharamkan tilik bintang sebagaimana pengharaman kerana ia membawa kepada perubahan waktu-waktu ibadat. Oleh kerana itu, umat Islam mengikut penetapan bulan berdasarkan anak bulan mengikut sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud : Berpuasalah kerana melihatnya dan berbukalah(hari raya) kerana melihatnya.
  Dalam zaman pra-Islam, memang menjadi kebiasaan untuk orang Arab menyesuaikan bulan dari semasa ke semasa agar sejajar dengan tahun bulan dengan tahun matahari. Majlis Makkah iaitu Nidwali membuat keputusan untuk menyesuaikannya dalam sesuatu tahun tertentu dan ini diisytiharkan dalam majlis Ukaz atan Mina. Amalan ini dilarang oleh Allah sebagaimana tercatat dalam al-Quran. Islam melarang  mereka yang cuba mengubah sebarang hari kebesaran dalam agama dengan taqwim matahari sebagaimana yang pernah dibuat oleh arab ketika zaman jahiliah dan perkara ini telah diberitahu oleh Allah dalam ayat 36 dan 37 surah at-Taubah yang bermaksud : Sesungguhnya bilangan bulan pada sisi Allah ialah 12 bulan. Dalam ketetapan Allah di waktu Dia menciptakan langit dan bumi di antaranya empat bulan haram. Itulah ketetapan agama yang lurus maka janganlah kamu menganiayai diri kamu dalam bulan yang empat itu dan perangilah kaum musyrikin itu kesemuanya sebagaimana mereka memerangi kamu kesemuanya dan ketahuilah bahawa Allah beserta mereka yang bertaqwa.Sesungguhnya mengundur-undurkan bulan haram itu adalah menambah kekafiran, disesatkan orang-orang yang kafir dengan mengundur menidurkan itu, mereka menghalalkannya pada suatu tahun dan mengharamkannya pada tahun yang lain, agar mereka dapat menyesuaikan dengan bilangan yang Allah haramkannya maka mereka menghalalkan apa yang diharamkan Allah. (Syaitan) menjadikan mereka memandang baik perbuatan mereka yang buruk itu. Dan Allah tidak memberi petunjuk kepada orang-orang kafir.


   Pemilihan yang dilakukan oleh para sahabat Rasulullah S.A.W dalam memilih Muharram sebagai permulaan tahun hijrah adalah tepat. Jika kita lihat dalam buku-buku sejarah Islam tentang sirah Nabawiyyah di mana tarikh penghijrahan Rasulullah S.A.W berlaku pada bulan Rabiul Awwal bukannya Muharram. Pada zaman Sayyidina Umar maka bermulanya penggunaan tarikh berdasarkan hijrah bukannya tahun kelahiran bagi mengelakkan sama dengan Kristian yang berasaskan tahun kelahiran nabi Isa yang dikenali Tahun Masihi. Begitu juga tidak dimulakan dengan tahun mula-mula turunnya wahyu kepada Rasulullah S.A.W. Pemilihan hijrah sebagai taqwim Islam bagi menghidupkan suasana hijrah itu sendiri agar umat Islam tidak alpa dan lupa terhadap tujuan utama nabi S.A.W berhijrah ke Madinah iaitu untuk mencari kuasa dalam membina dan melaksana perundangan dan sistem kehidupan berdasarkan Islam. Hijrah merupakan perubahan besar kepada kehidupan umat Islam dan Islam itu sendiri yang mana sebelum ini tertindas tetapi berubah ke arah kegemilangan dan keagungan setta merubah peradaban dunia kepada tamadun yang tinggi seiring antara material dan rohani tidak sebagaimana pembangunan material yang berjaya dibina oleh kafir Quraisy di Mekah dan juga dua kuasa utama pada masa itu iaitu Parsi dan Rom .Pemilihan Muharram sebagai bulan permulaan taqwim hijrah bukannya Rabiul Awwal pula dibuat  adalah mengikut sebab-sebab berikut iaitu :

Pertama  : Bulan Muharram merupakan bulan pertama bagi bulan-bulan yang lain dalam setahun mengikut perkiraan arab di mana telah berlaku pembaharuan dalam tarikh bermula pada bulan ini.
Kedua    : Bai’ah Aqabah antara Rasulullah S.A.W dengan rombongan daripada Yathrib(Madinah) telah berlangsung pada bulan Zulhijjah. Selepas itu baginda S.A.W menyuruh muslimin berhijrah ke Madinah bagi mendapat pertolongan daripada saudara mereka yang digelar golongan Ansar di sana.
Ketiga      : Muharram merupakan bulan haram dan ia berada selepas bulan Zulhijjah di mana para haji pulang ke rumah masing-masing.



Penutup
Semoga dengan pencerahan ini mampu sedikit sebanyak menambahkan lagi pengetahuan kita mengenai perkara ini. Moga perkongsian ini juga dapat memberikan manfaat dan kebaikan untuk semua. Wallahua'lam..


Ibnu Munir
24/06/2012
Universiti Yarmouk, Jordan.


Monday, 11 June 2012

Tidur yang Sunat Dikejutkan...



Mengejutkan orang yang tidur disunatkan sekiranya orang itu tidur dalam beberapa keadaan berikut:


1. Seorang yang tidur di masjid dan waktu solat sudah tiba. Ini berdasarkan hadis Abu Bakar ra, beliau berkata:

خرجت مع النبي صلى الله عليه وسلم لصلاة الصبح فكان لا يمر برجل إلا ناداه بالصلاة أو حركه برجله
“ Aku keluar bersama Nabi saw untuk menunaikan solat subuh. Beliau tidak lalu pada mana-mana lelaki melainkan akan menyerunya untuk solat atau menggeraknya untuk solat dengan kakinya.” (Hr Abu Daud 1246 – semua perawinya thiqah)

2. Orang yang tidur dihadapan orang yang solat kerana menggangu orang yang solat.

3. Tidur diatas permukaan bangunan tanpa penghadang.
Rasulullah saw bersabda:

من بات على ظهر بيت ليس له حجار فقد برئت منه الذمة
“Sesiapa yang tidur diatas permukaan bangunan tanpa ada penghadang (dari jatuh bangunan), sesungguhnya telah terlepas dari tanggungjawab mana-mana pihak (sekiranya jatuh). (Hr Abu Daud – semua perawinya adalah thiqah)

4. Tidur dalam keadaan separuh badan terkena cahaya matahari dan setengah lagi tidak kena.

Nabi saw bersabda:

إذا كان أحدكم في الشمس فلقص عنه الظل وصار بعضه في الشمس وبعضه في الظل فليقم
“Apabila salah seorang kamu berada di bawah pancaran matahari, kemudian matahari menaik dan sebahagian tubuh mu terkena pancaran matahari dan sebahgian yang lain tidak kena , hendaklah dia beredar.” (Hr Abu Daud – semua perawinya thiqah)

5. Tidur semasa waktu subuh.

Nabi saw bersabda:

الصبحة تمنع الرزق
“Tidur subuh menegah rezki.” (Hr Ahmad – sanad lemah)

Umar bin Abdul Aziz apabila melihat anaknya sedang tidur waktu subuh, beliau mengejutkannya dan berkata:

الأرزاق تقسم وأنت نائم
“Rezeki dibahagi2kan sedangkan engkau tidur.”

6. Tidur sebelum isya kerana makruh tidur waktu itu. Ini disebut dalam hadis yang panjang, riwayat dari Abi Bakrah ra dimana beliau berkata:

كان يكره النوم قبلها والحديث بعدها
“Baginda tidak suka tidur sebelum solat isya dan sembang-sembang selepasnya.” (Hr Bukhari - sahih)

7. Tidur lepas solat asar.
Nabi saw bersabda:

من نام بعد العصر فاختلس عقله فلا يلومن إلا نفسه
" Sesiapa yang tidur selapas solat asar dan hilang akalnya , janganlah dia mencela melainkan dirinya.” (Hr Abu Ya’la – Sanad lemah)

8. Tidur berseorangan di rumah. Hukum ini disebut oleh al-Hulaimi dalam kitabnya al-Minhaj Fi Syu’abil Iman.

9. Perempuan yang tidur menelentang. Ini kerana ianya makruh seperti yang disebut dalam kitab yang sama.
Umar bin Abdul Aziz telah menegah anaknya yang tidur sedemikian.

10. Seseorang yang tidur meniarap. Baginda melihat seorang lelaki meniarap. Lalu baginda bersabda:

إن هذه ضجعة يبغضها الله ورسوله
Maksudnya: “Sesungguhnya ini adalah cara baring yang dimurkai oleh Allah dan Rasulnya.” (Hr Tirimizi dan Ahmad-hasan lighairihi)

Abu Umamah r.a berkata: Nabi s.a.w lalu dekat seorang lelaki yang tidur meniarap di Masjid. Lalu baginda memukulnya dengan kakinya dan berkata:

قم واقعد فإنها نومة جهنمية

Maksudnya: “Bangunlah kamu dari tidur dan duduklah sesungguhnya ini adalah cara tidur ahli neraka jahannam.” (Hr Ibnu Majah)

11. Mengejutkan orang tidur untuk bangun qiamullail.
Nabi saw bersabda:

رحم الله رجلا قام من الليل فصلى وأيقظ امرأته فإن أبت نضح في وجهها الماء رحم الله امرأة قامت
من الليل فصلت وأيقظت زوجها فإن أبى نضحت في وجهه الماء
“Allah merahmati lelaki yang bangun malam, menunaikan solat dan mengejutkan isterinya. Sekiranya isterinya enggan, dia akan merenjiskan air pada muka isterinya. Allah merahmati wanita yang bangun malam, menunaikan solat dan menegejutkan suaminya. Sekiranya suaminya enggan, dia akan merenjis air ke muka suaminya. (Hr Abu Daud 1308 – perwai2nya thiqah)

12. Mengejutkan orang yang tidur untuk bangun sahur. Nabi saw bersabda:

إن بلالا ينادي بليل فكلوا واشربواحتى ينادي ابن مكتوم
“Sesungguhnya bilal akan mengumandangkan azan pada waktu malam (sebelum subuh), maka makanlan dan minumlah sehingga Ibnu Maktum mengumandangkan azan subuh.” (Hr Muslim)

Sunday, 20 May 2012

Cinta (al-Hubb)...

Pertama-tamanya kita panjatkan puji dan rasa syukur kita kepada Allah s.w.t yang telah memberikan kita nikmat iman, islam dan sihat sehingga kita masih hidup dan bernafas hingga saat ini. Semoga nikmat ini berkekalan hingga ke akhir hayat nanti, InsyaAllah..


Muqaddimah

Kita sebagai manusia pasti akan merasakan perasaan cinta, walaupun mungkin anda belum merasakannya sekarang tapi pada suatu saat pasti akan merasakannya. Setiap orang berbeza-beza cara mencintai seseorang yang mereka sayang, dan dalam islam cinta antara lelaki dan perempuan dibenarkan tetapi mestilah mengikut kehendak syarak, bukan bercinta hanya sekadar pada nafsu sahaja. 

Cinta adalah perasaan yang berlebih kepada seseorang. Cinta dalam dasarnya adalah ikatan jiwa yang sulit di lepaskan oleh seseorang. Dalam agama Islam diajarkan bahwa perasaan cinta ditujukan semata mata kepada sang pencipta, sehingga cinta kepada-Nya jauh melebihi cinta pada sesama makhluknya. Justeru, cinta pada makhluknya dicurahkan semata-mata kerana mencintai-Nya.




Terdapat banyak ungkapan berkaitan cinta yang membawa sebahagian atau keseluruhan makna sayang dalam berbagai darjat. Contohnya, kasih, sayang, suka, berahi dan sebagainya yang mempunyai hubung kait dengan perasaan cinta.

Dalam bahasa Arab, ia merupakan lumrah yang disebut dengan perkataan al-Hub (kasih atau cinta), al-mualah (saling setia), dan “al-‘isyq” (pendaman rasa kasih). Perkataan ini membawa makna cinta dalam berbagai darjatnya. Cinta adalah sebahagian daripada naluri atau intuisi yang ada dalam diri manusia yang dibekalkan oleh Allah S.W.T. Ia menjana kecenderungan dalam diri seseorang kepada orang lain yang menyebabkan dia memuja, menyanjung, dan beriltizam untuk membantu, menyanjung, mengambil hati serta membelai perasaan pihak yang dicintai. 

"Cinta merujuk kepada perasaan jernih dan bersih yang berputik di hati. Ia menimbulkan suatu bentuk iltizam khusus, dan membawa makna lebih daripada sekadar redha atau puas. Orang mungkin redha dengan seseorang atau sesuatu, tetapi itu tidak bermakna dia mencintai, kasih atau menaruh hati kepadanya. 

“Cinta teras kehidupan; ia pencetus rindu, yang mengukuhkan hubungan antara seseorang manusia dengan yang lain; baik manusia atau objek-objek lain. Sekiranya graviti adalah hukum alam yang mengikat antara bulan bintang dan planet .Ia menghalang pelanggaran antara planet-planet tersebut, maka cinta adalah rasa kasih sayang yang menambat dan menautkan hubungan kemanusiaan. Perasaan Cinta inilah yang menghalang mereka daripada bersengketa, dan melakukan pertarungan yang menumpahkan darah. 

Cinta adalah gejolak jiwa dan emosi yang terpancar dari batin manusia yang menampilkan kepadanya rasa bahagia dan damai. Perasaan ini memadukan seseorang dengan kekasihnya dalam perasaan suka, serasi dan sesuai hingga bertaut . Kalau cinta telah bercambah ia berubah menjadi perasaan mahu bersama dengan kekasih sehingga ia merasa fana dalam kesatuan. Tidak ada lagi perbedaan antara mereka berdua. Cinta adalah ikatan ruh dan hubungan kejiwaaan dan intuisi yang berkobar dalam diri. Ia mengungkapkan diri dalam berbagai bentuk expresi; seperti memuji, mencium, menghurmati, menjabat tangan, memberi nasihat, mendakap, menghindarkan bahaya, memberi hadiah, menemani, menziarahi, menyimpan gambar ingatan, saling menghantar memo kasih hinggalah sampai ke taraf hidup bersama. 


Cinta Menurut Islam
“Sebab itu di dalam Islam, cinta amat dititikberatkan dan sangat diberi perhatian,” Di dalam al-Quran, perkataan al-Hubb disebut 88 kali, tetapi hanya sekali yang merujuk kepada cinta antara lelaki dan perempuan, iaitu dalam ayat 30 surah Yusuf; 


وَقَالَ نِسْوَةٌ فِي الْمَدِينَةِ امْرَأَةُ الْعَزِيزِ تُرَاوِدُ فَتَاهَا عَن نَّفْسِهِ قَدْ شَغَفَهَا حُبّاً إِنَّا لَنَرَاهَا فِي ضَلاَلٍ مُّبِينٍ

“Dan wanita-wanita di kota berkata: ‘Isteri Al Aziz menggoda teruna (angkat)nya. Dia sudah dilamun cinta berahi. Kami berpendapat beliau terang-terang telah menyimpang.” 

Manakala kebanyakan ayat-ayat lain merujuk kepada golongan yang disukai oleh Allah S.W.T atau golongan yang dimurkainya, contohnya dalam surah al-Baqarah: 195 (Allah suka orang-orang yang berbuat baik), al-Imran: 46 (Allah suka orang yang sabar), al-Imran: 159 (Allah suka orang yang bertawakal), at-Taubah: 108 (Allah suka orang yang mengamalkan budaya bersih), as-Saf: 4 (Allah suka orang yang berjuang di jalan-Nya), al-Baqarah: 205 (Allah tidak suka perbuatan orang yang melakukan kerosakan dalam masyarakat), an-Nisaa:107 (Allah tidak suka para pengkhianat yang banyak berbuat dosa), al-Mumtahanah: 8 (Allah suka orang-orang yang adil), dan al-Imran: 31 (… “Jika kamu (benar-benar) mencintai Allah, ikutilah aku, nescaya Allah mengasihi dan mengampuni dosa-dosamu…”) 

Perkataan sayang, kasih, yang diulang banyak kali ini membayangkan cinta sememangnya suatu yang penting di dalam Islam. Malah ada ulama berpendapat agama tidak lain adalah cinta atau kasih sayang. Jika tidak ada kasih sayang, seolah-olah tidaklah ada penghayatan agama. “Cinta adalah suatu yang bersifat teras dalam Islam, malah iman itu tidak lain dari sayang, membenci, memberi kerana Allah S.W.T. Agama Islam adalah agama yang berteraskan kepada perasaan cinta dan kasih kerana Allah.” Dalam hubungan ini terdapat banyak hadis Rasulullah saw yang menekankan soal cinta dan kasih sayang. Di dalam sepotong hadis riwayat Muslim dinyatakan, 

“Demi Allah yang memakmurkan dunia, kamu tidak akan masuk syurga sehingga kamu beriman, kamu tidak akan beriman sehinggalah kamu berkasih sayang antara satu sama lain.” Baginda juga bersabda, “Sesiapa yang sayang kerana Allah, benci kerana Allah, memberi kerana Allah, dan menahan kerana Allah, maka telah sempurna imannya.” 

Rasulullah saw turut mengajarkan doa,
Ya Allah, kurniakanlah kepadaku rasa sayang dan kasih kepada-Mu, dan rasa kasih sayang kepada orang yang sayang kepada-Mu, dan jadikanlah kasih sayang kepada-Mu itu lebih aku sukai daripada air yang dingin.” 

Cinta di tahap kedua disebut al-Hub al-ausat atau cinta tahap pertengahan yang berkaitan dengan individu, keluarga, masyarakat dan sebagainya. Gerak hati dan perasaan manusia yang merasakan dirinya terpikat kepada orang lain dengan talian nasab, kekeluargaan, persahabatan dan sebagainya. Cinta seperti ini juga diperlukan dalam masyarakat manusia dan digalakkan oleh Allah S.W.T. Umpamanya mengasihi ibu bapa, isteri, suami, anak-anak, saudara mara dan sesama manusia akan mewujudkan suasana rukun damai dan harmoni. Tanpa cinta dalam martabat ini, tidak mungkin sebuah keluarga akan mendapat kebahagiaan. Akibat dari itu sudah pasti tidak akan ada zuriat yang dapat dilahirkan, dan tidak mungkin kukuh jalinan kemasyarakatan
Tahap cinta ketiga adalah cinta yang bertaraf rendah, negatif, dan memusnahkan manusia atau di sebut al-Hub al Adna. Contohnya cinta dan kasih kepada seorang yang zalim, diktator, atau orang yang menganggap dirinya sebagai tuhan. Dalam surah al-Mumtahanah: 1, Allah berfirman; “Hai orang-orang yang beriman, janganlah kamu mengambil musuh-Ku dan musuhmu menjadi teman-teman setia yang kamu sampaikan kepada mereka (berita-berita Muhammad), kerana rasa kasih sayang; padahal sesungguhnya mereka telah ingkar kepada kebenaran yang datang kepadamu….” 

Begitu juga kasih sayang, berahi yang menyebabkan seseorang bergelumang dengan maksiat dan kedurjanaan. Mencintai sesama insan atau lain-lain melebihi cinta kepada Allah, rasul dan jihad termasuk dalam kategori cinta bertaraf rendah ini. Ini ditegaskan oleh ayat al-Quran, surah at-Taubah: 24, 

“Katakanlah: ‘Jika bapa-bapa, anak-anak, saudara-saudara, isteri-isteri kaum keluargamu, harta kekayaan yang kamu usahakan, perniagaan yang kamu khuatiri kerugiannya, dan rumah-rumah tempat tinggal yang kamu sukai, adalah lebih kamu cintai daripada Allah dan rasul-Nya dan (dari) berjihad di jalan-Nya, maka tunggulah sampai Allah mendatangkan keputusan-Nya.’ Dan Allah tidak memberi petunjuk kepada orang-orang fasik.”

Bahkan ada hadis menyatakan, “Tidak akan beriman seorang daripada kamu sehingga aku lebih disayangi dari hartanya, anaknya dan orang lain,” 

“Ya Allah kekalkanlah kehidupanku selagi kehidupan itu lebih baik bagiku, dan matikanlah aku selagi mati itu lebih baik bagiku.”



Antara Jenis dan Peringkat Cinta

PERTAMA

Cinta kepada Allah swt. Cinta Allah sahaja tidak cukup untuk bebas dari azab Allah swt kerana orang-orang musyrikin dan penyembah berhala juga mencintai Allah swt. Mereka mempunyai jenis cinta yang keempat iaitu syirkul mahabbah.



KEDUA

Mencintai apa yang Allah cintai. Inilah yang membezakan diantara orang Islam dan orang kafir. Orang yang paling disayangi oleh Allah adalah orang yang paling kuat cinta jenis ini. Apa yang dicintai oleh Allah swt adalah begitu banyak disebut dalam al-Quran dan hadis Rasulullah saw. Antaranya yang disebut dalam al-Quran adalah:



“Sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berperang dijalan-Nya dalam barisan yang teratur seakan-akan mereka seperti suatu bangunan yang tersusun kukuh.” Ayat 4 surah as-Saff.



Ada lapan golongan yang dikasihi Allah seperti dalam al-Quran iaitu 1. Al-Muttaqun. 2. Al-Muhsinun. 3. As-Sabirun. 4. At-Tawwabun. 5. Al-Mutatahhirun. 6. Al-Mutawakkilun. 7. Al-Muqsitun 8. Al-Muqatilun fi sabilillah. I

Adapun perkara yang dikasihi Allah swt dalam hadis adalah seperti berikut:
“ Sesiapa yang cinta untuk bertemu dengan tuhan , Allah juga cinta untuk menemuinya.” Hadis sahih Bukhari (2443)

Allah swt berfirman dalam hadis qudsi:
“ Tidak ada perkara yang lebih mendekatkan hambaku denganku daripada kefarduan yang aku fardukan kepadanya. Hambaku sentiasa mendekatkan diriku dengan amalan-amalan sunat sehinggalah aku kasih kepadanya.” Hadis sahih riwayat Bukhari (6137)

KETIGA
Mencintai sesuatu kerana Allah swt. Nabi saw bersabda:

“ Sesiapa yang menyintai kerana Allah, membenci kerana Allah, memberi kerana Allah dan menegah kerana Allah sesungguhnya telah sempurna imannya.” Hadis riwayat Tirmizi (2521), Abu Daud, Ahmad dan Hakim dengan sanad yang hasan.



Nabi saw juga bersabda:

“ Tidak ada dua orang lelaki berkasih sayang kerana Allah melainkan yang terbaik diantara keduanya adalah yang paling mengasihi saudaranya.” Hadis riwayat Hakim dan diakui oleh zahabi akan kesahihannya.

KEEMPAT
Cinta sekutu (partnership love) atau syirkul mahabbah. Setiap benda yang dicintai bukan kerana Allah dan bukan diperintah oleh Allah maka dia telah mensyirikkan cinta. Ramai yang menyintai Allah , tapi dalam masa yang sama dia menyintai benda lain bukannya kerana Allah. Inilah yang dirakamkan dalam al-Quran:



“Dan diantara manusia ada orang-orang yang menyembah tandingan-tandingan selain Allah; mereka mencintainya sebagaimana mereka mencintai Allah. Adapun orang-orang yang beriman amat sangat cintanya kepada Allah.”. Ayat 165 surah al-Baqarah



KELIMA
Cinta yang semula jadi. Inilah yang disebut oleh Allah swt dalam kitab suci al-Quran:



“Dijadikan indah pada (pandangan) manusia kecintaan kepada apa-apa yang diingini, yaitu: wanita-wanita, anak-anak, harta yang banyak dari jenis emas, perak, kuda pilihan, binatang-binatang ternak dan sawah ladang. Itulah kesenangan hidup di dunia, dan di sisi Allah-lah tempat kembali yang baik (syurga).” Ayat 14 surah Ali Imran



Imam Ibnu Qayyim berkata:
“ Cinta ini tidak dicela kecuali sekiranya melalaikan dari mengingati 
Allah dan menjauhkan dari cintaNya.”

Firman Allah swt:
"Wahai orang-orang beriman, janganlah hartamu dan anak-anakmu melalaikan kamu dari mengingat Allah. Barangsiapa yang berbuat demikian maka mereka itulah orang-orang yang merugi." Ayat 9 surah al-Munafiqun. 



Penutup
Bercinta dalam diharuskan tetapi hendaklah tidak melebihi cinta kita kepada Allah dan RasulNya. Sebagai seorang hamba, kita hendaklah menjalankan amanah dan mementingkan cinta ukhrawi berbanding duniawi. Semoga kita tergolong dalam golongan orang-orang beriman dan bertaqwa. InsyaAllah Taala. Wallahua'lam.

Ya Allah, kurniakanlah kepadaku rasa sayang dan kasih kepada-Mu, dan rasa kasih sayang kepada orang yang sayang kepada-Mu, dan jadikanlah kasih sayang kepada-Mu itu lebih aku sukai daripada air yang dingin.


عندما تحب شخص لأنه جميل فهذا ليس حب بل شهوة,"
وعندما تحب شخص لأنه ذكيفهذا ليس حب بل اعجاب, 
وعندما تحب شخص فقط لمجرد أنه غني فهذا ليس حب بل لأنك مادي,
وعندما تحب شخص لأنهجيد بنظرك فهذا ليس حب بل شكر لاحساسك,

لكن ان أحببت شخص وأنت لا تعرف لماذا تحبه,
فهذا الحب........الحقيقي.." 


Ibnu Munir
20/05/2012
Universiti Yarmouk, Jordan.

Copyright @ 2013 Ibnu Munir™.