Monday 9 April 2012

Filled Under:

Mengorak Langkah ke bumi Jordan II...



Memandangkan ramai yang pelajar lepasan SPM yang ingin mengetahui lebih lanjut tentang Jordan, saya merasakan perkongsian ini penting untuk anda semua. Sebenarnya, hadafnya adalah untuk memudahkan pelajar -pelajar lepasan SPM yang ingin menyambung peljaran di timur tengah untuk mengetahui dengan lebih lanjut bagaimana keadaan di Jordan. Saya mengharapkan perkongsian ini dapat memberikan manfaat kepada anda semua. Sebarang permasalahan dan persoalan, anada boleh emelkan kepada saya di alamat berikut, InsyaAllah saya cuba memberi respon.
Dcshoeco_2md@yahoo.com.my


Muqaddimah
          Jordan merupakan sebuah negara yang kaya dengan sejarah. Banyak kerajaan yang bersilih-ganti memerintah tanah ini. Antaranya ialah zaman Mesopotamia, Babylon, Parsi, dan di bahagian Tenggara Jordan pernah diduduki oleh kaum Thamud (Petra). Pada tahun 106M, tanah ini berada di bawah jajahan Rom dan pada 633-636M bangsa Arab menguasai pemerintahan. Pada abad ke-16, Jordan ditakluki oleh pemerintahan Turki Uthmaniyah yang berpusat di Damsyik. Selepas Perang Dunia I, kuasa pemerintahan jatuh di tangan British dan Jordan (dahulunya dikenali sebagai Transjordan) dipisahkan daripada Palestine dan diserahkan amanah pemerintahan kepada Abdullah ibn Hussein pada tahun 1921. Jordan mencapai kemerdekaan pada 25 Mei 1946 dengan dikenali sebagai The Hashemite Kingdom of Jordan


Politik


Jordan, juga dikenali sebagai The Hashemite Kingdom of Jordan, merupakan negara yang mengamalkan pemerintahan raja berpelembagaan dengan mempunyai wakil kerajaan. Raja yang memerintah, Raja Abdullah II, memainkan peranan sebagai ketua negara, panglima angkatan tentera dan juga ketua eksekutif.
Pemerintahan dilaksanakan melalui sistem kabinet yang diketuai oleh Perdana Menteri. Semenjak tahun 1921, Jordan telah mengalami pertukaran perdana menteri sebanyak 72 orang sehingga 9 Februari 2011 lalu. Perdana Menteri Jordan yang ke-72, sekarang, bernama Maarouf Al-Bakhit.
Majlis perundangan di Jordan terdiri daripada Dewan Senat dan dewan perundangan yang lain, manakala Majlis Kehakiman merupakan badan yang bebas daripada kerajaan. Pada tahun 1989, Raja Hussien telah melaksanakan satu reformasi dalam pemerintahan yang membawa kepada sebuah negara demokrasi. Reformasi ini juga telah  menyumbang terhadap peningkatan kestabilan dan perlembagaan yang akan menguntungkan Jordan di masa hadapan.

Geografi
Jordan merupakan salah satu negara Timur Tengah yang dikelilingi oleh Arab Saudi (Tenggara), Iraq (Timur Laut), Syria (Utara) dan Palestin (Barat). Jordan juga disempadani oleh Laut Merah melalui Bandar Pelabuhan Aqabah. Kawasan sebelah Timur Jordan ialah padang pasir manakala di sebelah Barat merupakan kawasan tanah tinggi.
Cuaca
Cuaca di Jordan pula sangat menarik. Kita boleh kategorikan kepada 3 bahagian;
1) Musim Panas (Saifiy) – Musim ini muncul pada sekitar bulan Mei hingga September. Di mana-mana sahaja anda berada pasti anda dapat merasai bahang kepanasan. Suhu ketika musim panas boleh mencecah hingga 35-45°C! Menjelajah Jordan ketika musim ini sangat tidak digalakkan kerana cuacanya yang terlalu panas.
2) Musim Sejuk (Shitaa’) – Bermula bulan November, suhu di Jordan mula menurun sekitar 5-12°C. Pada kebiasaannya salji akan turun di beberapa tempat seperti Amman, Karak dan Ajloun. Di Irbid jarang turun salji, tetapi suhunya tetap rendah hingga 1-2°C! Senyuman dapat kelihatan pada wajah-wajah penduduk tempatan dan khasnya kepada pelajar Malaysia apabila hujan turun setelah sekian lama melalui musim panas yang kering-kontang. Jaket kalis air serta kasut boots disarankan untuk melalui musim shitaa’. Kebiasaannya pelajar Malaysia gembira dengan turunnya salji kerana cuaca di Malaysia tidak mengizinkan untuk bermain salji.
3) Hujung Mac hingga pertengahan Mei- Cuaca ketika ini sangat menarik. Anda tidak memerlukan baju tebal dan tidak juga memerlukan baju yang terlalu nipis kerana suhunya sedap-sedap sahaja. Bunga-bunga beraneka warna mula muncul ketika ini.
Penempatan
Majoriti warga pelajar di Jordan menetap di rumah-rumah sewa sekitar kawasan masing-masing. Para pelajar biasanya akan menyewa rumah yang biasanya dikongsi bersama 3 – 4 orang pelajar lain untuk satu tempoh yang dipersetujui bersama dengan tuan rumah.
Di Irbid, semua pelajar (kedua-dua universiti) menetap di kawasan sekitar Jalan Universiti (Syari’ Jamiah) di pekan Irbid walaupun JUST terletak 15 km dari kawasan penempatan.
Di Mu’tah majoriti pelajar menetap di kawasan berdekatan dengan pekan Mu’tah sendiri yang lebih dekat dengan kawasan kedai-kedai dan pengangkutan awam.
Di Mafraq, sebahagian mahasiswa menetap di asrama universiti dan sebahagian menetap di luar universiti yang lebih berhampiran dengan pekan Mafraq. Para pelajar yang tinggal di asrama majoriti menikmati kemudahan kos penginapan yang lebih rendah, serta perjalanan ke kelas yang lebih dekat manakala para pelajar yang berada di luar menikmati kemudahan pengangkutan awam yang lebih mudah didapati dan lebih dekat dengan pekan Mafraq.
Di Amman, majoriti warga mahasiswanya menetap di kawasan Suwaileh yang boleh dianggap sebagai kawasan pinggir bandar Amman. Dari kawasan ini, para pelajar hanya mengambil masa sekitar 15 minit perjalanan bas untuk sampai ke pusat bandar dan kawasan-kawasan utama.

Anggaran Kos Sara Hidup (Pelajar Yarmouk) Sebulan
1. Sewa Rumah - 50JD 
2. Bil Air & Eletrik  - 10JD
3. Makanan  - 40JD
4. Perhubungan (kredit h/p, internet)  - 25JD
5. Buku, nota & alat tulis - 10JD
6. Pengangkutan, kecemasan dan lain-lain - 15JD
 Jumlah -  150JD = RM650
Kedutaan Besar Malaysia Amman, Jordan memainkan peranan dan fungsi yang berbeza berbanding EMJ yang lebih tertumpu kepada urusan pengajian dan kebajikan pelajar. Kedutaan Besar Malaysia yang terletak di Bandar Amman merupakan wakil rasmi kerajaan Malaysia di Jordan yang diketuai oleh Duta Besar Malaysia ke Jordan. Urusan-urusan seperti dokumen perjalanan, pendaftaran warganegara, dan lain-lain kesemuanya terletak di bawah pengurusan pihak kedutaan besar Malaysia Jordan.


Tempat-tempat Menarik
- Petra
Kaum Nabi Soleh, atau dikenali sebagai Kaum Thamud merupakan kaum yang sangat hebat dalam seni bina. Tapi sayangnya mereka ingkar pada dakwah Nabi Soleh.
“Dan sesungguhnya penduduk negeri Hijr benar-benar telah mendustakan para rasul (mereka). dan Kami telah mendatangkan kepada mereka tanda-tanda (kekuasaan) Kami, tetapi mereka selalu berpaling darinya. dan mereka memahat rumah-rumah dari gunung batu, (yang didiami) dengan rasa aman. Kemudian mereka dibinasakan oleh suara yang mengguntur pada pagi hari. sehingga tidak berguna bagi mereka apa yang merreka usahakan”
(15:80-84)
Begitulah kisah mereka tercatat dalam al-Quran. Kelebihan yang diberikan kepada mereka oleh Allah, sehingga hari ini masih tersergam indah untuk kita sama-sama hayati dan mengambil ‘ibrah. Petra, juga dikenali sebagai “The red-rose city” kerana batu-batu yang diukir adalah berwarna merah.
Antara tempat-tempat menarik yang boleh dilawati ialah:
  • Aqabah 
  • Wadi Rum
  • Umm Qays
  • Makam-makan para Nabi dan Sahabat
  • Ma’rakah Yarmouk dan Mu’tah
  • Laut Mati
  • Gua Ashabul Kahfi
  • Kubu Salahuddin Al-Ayubi
  • Ajloun
  • Jerash
Anda juga boleh melihat website berikut :-
https//:www.visitjordan.com

Persediaan Sebelum Ke Jordan

1) Dokumen-dokumen penting
• Pasport beserta salinan
• Salinan Kad Pengenalan
• Salinan Kap Pengenalan ibu bapa atau penjaga (jika perlu)
• Salinan slip keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM)

• Medical Report dan x-ray (jika perlu)
• Acceptance / Offer Letter
• Gambar berukuran passport (sebaiknya 15 keping)
• Surat-surat penting berkaitan penajaan.

2) Pakaian
• Pakaian biasa, untuk ke kelas seperti kameja, seluar baju kurung atau jubah bagi siswi.
• Pastikan kasut yang dibawa sesuai dengan semua keadaan dan selesa.
• Sweater (jika perlu) dan selimut nipis. Pakaian dan peralatan musim sejuk boleh didapati di Jordan dengan harga yang berpatutan.
• Alatan peribadi seperti tuala, berus gigi dan sebagainya untuk permulaan.
• Al-Quran, sejadah dan keperluan ibadah lain.

3) Makanan
• Rempah ratus, ikan bilis, cili kering, sos cili, perencah dan lain-lain lagi disyorkan untuk dibawa dari Malaysia memandangkan makanan-makanan tersebut tiada/sukar didapati di sini.
• Peralatan memasak seperti periuk nasi,blender,stereka tidak perlu dibawa kerana di sini(baca:Jordan) ada dijual dan agak berkualiti.

4) Lain-lain
• Komputer Riba (Laptop) jika perlu untuk memudahkan urusan ulangkaji , slide dan nota serta pencarian maklumat di internet.
• Ubat-ubatan asas seperti panadol dan minyak angin serta lain-lain untuk kegunaan kecemasan
.
Bawa mengikut keperluan diri ( sebagai contoh sekiranya anda mempunyai sebarang penyakit yang spesifik, maka bawalah ubat yang diperlukan untuk penyakit tersebut) ubat-ubat asas seperti panadol, clarinase dan sbgnyanye ada dijual di sini(baca:Jordan). Minyak-minyak seperti gamat, afiat, panas dan sebagainya, SILA BAWA dari Malaysia.


* Pengetahuan asas computer, bahasa Inggeris dan juga bahasa Arab sangat penting untuk dikuasai memandangkan sebelum bermula sesi pembelajaran anda akan menduduki ujian kelayakan bagi menilai tahap prestasi anda.


Penutup
Sesungguhnya, saya mengalu-alukan antum semua untuk menyambung pelajaran di bumi anbiya' ini. Di sini, kita dapat mempelajari ilmu dan menimba pengalaman di tempat orang. Mudah saya katakan, jika hendak belajar senang, boleh sekadar belajar di dalam negara, tetapi jika anda inginkan cabaran dan pengalaman, saya sarankan berhijrahlah ke tempat orang untuk mencari sebanyak mungkin ilmu dan pengalaman. Semoga Allah memberkati segala kerja buat kita semua dan menjadikan kita sebagai golongan yang berbakti kepada masyarakat kelak, Amin Ya Rab.

Wallahua'lam..



Ibnu Munir
10/04/2012
Universiti Yarmouk, Jordan




1 comments:

  1. macam mana kos utk plajar islamic banking....

    ReplyDelete

Copyright @ 2013 Ibnu Munir™.