Friday 31 August 2012

Syawwal...

Bismillah, Assalamualaikum wm. wb.

Berkesempatan di bulan Syawal ini, saya ingin memohon keampunan kepada semua khususnya kepada sesiapa yang mengenali diri ini (Ibnu Munir) sama ada kesilapan yang saya sedari atau tidak. Saya juga ingin mengambil peluang ini untuk mengucapkan "Kullu 'Am Wa Antum Bikheir.." dan Selamat Hari Raya Adilfitri 1433 kepada seluruh kaum keluarga, sahabat handai, dan seluruh umat Islam amnya .. Semoga Amalan kita di bulan Ramadhan diterima oleh Allah s.w.t.

Keistimewaan Bulan Syawwal


Bulan Kembali Kepada Fitrah

Umumnya setelah sebulan membanting tenaga beribadah kepada Allah SWT, menjaga solat, menjaga waktu, menjaga puasa, membasahi lidah dengan berzikir, menenangkan hati dengan mengingati Allah dan sebagainya, tentulah di akhir 30 hari, kembalilah kita dalam keadaan bersih seperti bayi-bayi yang baru dilahirkan. 

 Bulan Takbir

Walaupun kita bertakbir hanya sehari semalam di bulan Syawal tetapi takbir yang dilaungkan bergema terus menerus dari awal hari iaitu selepas Maghrib hingga ke penghujung hari iaitu selepas Asar. Disamping bertakbir, kita juga digalakkan berzikir dan bertahmid sebagai tanda syukur atas nikmat-nikmat Allah SWT. Berfirman Allah SWT: "Dan agar kamu membesarkan Allah atas apa-apa yang telah Ia berikan petunjuk kepada kamu, dan agar kamu bersyukur atas nikmat-nikmat yang telah diberikan" (Surah Al-Baqarah: Ayat 185).

 Bulan Silaturrahim

Jika dibandingkan dengan bulan-bulan yang lain, umat Islam lebih cenderung menjalinkan hubungan silaturrahim pada bulan mulia ini sedangkan mengeratkan hubungan sesama saudara dituntut dalam agama apatah lagi bagi mereka yang bertengkar. Allah SWT berfirman: “Sebenarnya orang-orang yang beriman itu adalah bersaudara, maka damaikanlah di antara dua saudara kamu (yang bertelingkah) itu dan bertakwalah kepada Allah supaya kamu beroleh rahmat.” (Surah AlHujraat ayat 10)

 Bulan Ceria



Menjadi kebiasaan kita memakai baju yang baru dan berwarna warni di bulan ini sehingga wajah tampak berseri-seri dan ceria. Dengan motivasi hasil dari kemenangan mendisplin diri, bantu membantu dan mengeratkan silaturrahim, hubungan kekeluargaan dan persahabatan menjadi semakin manis dan mesra menjadikan bulan ini bulan yang ceria buat semua warga Islam se dunia.

 Bulan Peningkatan



Sesuai makna Syawal dari segi bahasa iaitu peningkatan, bulan Syawal sememangnya menuntut peningkatan iman dengan menyambung dan memperbanyakkan lagi usaha yang telah kita lakukan di bulan Ramadan.

 Bulan Nikah



Bulan Syawal juga dikenali dengan bulan nikah kerana Nabi Muhammad SAW menikahi Sayyidatina Aisyah dan Ummu Salamah di bulan Syawal. Diriwayatkan dari Siti Aisyah ra: “Rasulullah SAW menikahi saya pada bulan Syawal, berkumpul dengan saya pada bulan Syawal. Maka siapakah isteri beliau yang lebih beruntung daripada saya?”

 Bulan Pembuktian Takwa



Inilah kelebihan bulan Syawal iaitu membuktikan keberhasilan takwa yang kita bina di bulan Ramadan.



-13 Syawwal 1433H-

Imam Syafi'e Rahimahullah...



Imam as-Syafi’e rahimahullah lahir di Gaza, Palestin pada tahun 150H/767M. Nama sebenarnya ialah Muhammad bin Idris as-Syafi‘e. Beliau mempunyai pertalian darah Quraisy dan hidup tanpa sempat melihat ayahnya. Pada umur 10 tahun ibunya membawanya ke Makkah untuk menunaikan ibadah Haji dan selepas itu beliau tetap berada di sana untuk menuntut ilmu. Di Makkah Imam as-Syafi’e memulakan perguruannya dengan Muslim bin Khalid al-Zanji, yakni mufti Kota Makkah ketika itu.

Kitab ilmu yang paling terkemuka pada ketika itu ialah al-Muwattha’ karangan Imam Malik bin Anas, dan Imam as-Syafi’e dalam usia 15 tahun telah pun menghafal keseluruhan kitab tersebut. Imam as-Syafi’e kemudiannya berhijrah ke Madinah untuk berguru pula dengan penulis kitab itu sendiri, yakni Imam Malik bin Anas. Ketika itu Imam as-Syafi’e baru berumur 20 tahun dan beliau terus duduk bersama Imam Malik sehinggalah kewafatannya pada tahun 179H/796M. Ketokohan Imam as-Syafi’e sebagai murid terpintar Imam Malik bin Anas mulai diiktiraf ramai. Imam as-Syafi‘e mengambil alih sebentar kedudukan Imam Malik bin Anas sebagai guru di Masjid Nabawi di Madinah sehinggalah beliau ditawarkan satu kedudukan jawatan oleh Gabenor Yaman. Jawatan Imam as-Syafi’e di Negeri Yaman tidak lama kerana beliau telah difitnah sebagai pengikut mazhab Syi‘ah. Selain itu pelbagai konspirasi lain dijatuhkan ke atasnya sehinggalah beliau dirantai dan dihantar ke penjara di Baghdad, yakni pusat pemerintahan Dinasti Abbasid ketika itu.

Imam as-Syafi’e dibawa menghadap kepada Khalifah Harun ar-Rashid dan beliau berjaya membuktikan kebenaran dirinya. Kehandalan serta kecekapan Imam as-Syafi’e membela dirinya dengan pelbagai hujjah agama menyebabkan Harun ar-Rashid tertarik kepadanya. Imam as-Syafi’e dibebaskan dan dibiarkan bermastautin di Baghdad. Di sini Imam as-Syafi’e telah berkenalan dengan anak murid Imam Abu Hanifah dan duduk berguru bersama mereka, terutamanya Muhammad bin al-Hasan as-Syaibani. Suasana ini memberikan kelebihan yang penting bagi Imam as-Syafi’e, iaitu beliau berkesempatan untuk belajar dan membanding antara dua ajaran Islam, yakni ajaran Imam Malik bin Anas dan ajaran Imam Abu Hanifah.

Pada tahun 188H/804M, Imam as-Syafi’e berhijrah pula ke Mesir. Sebelum itu beliau singgah sebentar di Makkah dan di sana beliau diberi penghormatan dan dipelawa memberi kelas pengajian agama. Imam as-Syafi’e kini mula diiktiraf sebagai seorang imam dan beliau banyak meluahkan usaha untuk cuba menutup jurang perbezaan di antara ajaran Imam Malik bin Anas dan Imam Abu Hanifah. Usahanya ini tidak disambut baik oleh para penduduk Makkah kerana kebiasaan mereka adalah kepada ajaran Imam Malik bin Anas.

Pada tahun 194H/810M, Imam as-Syafi’e kembali semula ke Baghdad dan beliau dipelawa untuk memegang jawatan Qadhi bagi Dinasti Abbasid. Beliau menolak dan hanya singgah selama 4 tahun di Baghdad. Imam as-Syafi’e kemudian kembali ke Mesir dan memusatkan ajarannya di sana pula. Daud bin ‘Ali pernah ditanya akan kelebihan Imam as-Syafi’e berbanding tokoh-tokoh lain pada ketika itu, maka beliau menjawab:

“As-Syafi‘e mempunyai beberapa keutamaan, berkumpul padanya apa yang tidak terkumpul pada orang lain. Beliau seorang bangsawan, beliau mempunyai agama dan i’tiqad yang sebenar, seorang yang sangat murah hati, mengetahui hadith sahih dan hadith dhaif, nasikh, mansukh, menghafal al-Quran dan hadith, perjalanan hidup para Khulafa’ ar-Rashidin dan amat pandai pula mengarang.”



Dalam usahanya untuk cuba menutup jurang perbezaan antara ajaran Imam Malik bin Anas dan Imam Abu Hanifah, Imam as-Syafi’e menghadapi banyak tentangan daripada para pengikut Mazhab Maliki yang amat taksub kepada guru mereka. Pada satu malam, dalam perjalanan balik ke rumah dari kuliah Maghribnya di Mesir, Imam as-Syafi’e telah diserang dan dipukul orang sehingga menyebabkan kematiannya. Pada ketika itu Imam as-Syafi’e juga sedang menghadapi penyakit buasir yang agak serius.

Imam as-Syafi’e meninggal dunia pada 29 Rejab tahun 204H/820M di Mesir ketika berumur 54 tahun (Hijriah). Beliau meninggalkan kepada dunia Islam sebuah kitab yang paling agung dalam bidang usul fiqh berjudul ar-Risalah. Kitab ini adalah yang terawal dalam menyatakan kaedah-kaedah mengeluarkan hukum daripada sesebuah nas al-Qur’an dan as-Sunnah. Selain itu Imam as-Syafi’e juga meninggalkan kitab fiqhnya yang termasyhur berjudul al-Umm. Ajaran Imam as-Syafi’e diteruskan oleh beberapa anak muridnya yang utama seperti Abu Yaaqub al-Buwayti (231H/846M), Rabi’ bin Sulaiman al-Marali (270H/884M) dan Abu Ibrahim bin Yahya al-Muzani (274H/888M).


Wasiat Imam Syafi'e
 
PERTAMA: HAK KEPADA DIRI.
Iaitu: Mengurangkan tidur, mengurangkan makan, mengurangkan
percakapan dan berpada-pada dengan rezeki yang ada.

KEDUA: HAK KEPADA MALAIKAT MAUT
Iaitu: Mengqadhakan kewajipan-kewajipan yang tertinggal, mendapatkan
kemaafan dari orang yang kita zalimi, membuat persediaan untuk mati
dan merasa cinta kepada Allah.

KETIGA : HAK KEPADA KUBUR
Iaitu : Membuang tabiat suka menabur fitnah, membuang tabiat kencing
merata-rata, memperbanyakkan solat Tahajjud dan membantu orang yang
dizalimi.

KEEMPAT: HAK KEPADA MUNKAR DAN NAKIR
Iaitu : Tidak berdusta, berkata benar, meninggalkan maksiat dan
nasihat menasihati.

KELIMA : HAK KEPADA MIZAN (NERACA TIMBANGAN AMAL PADA HARI KIAMAT)
Iaitu : Menahan kemarahan, banyak berzikir, mengikhlaskan amalan dan
sanggup menanggung kesusahan.

KEENAM : HAK KEPADA SIRAT (TITIAN YANG MERENTANGI NERAKA PADA HARI
AKHIRAT)
Iaitu : Membuang tabiat suka mengumpat, bersikap warak, suka membantu
orang beriman dan suka berjemaah.

KETUJUH : HAK KEPADA MALIK (PENJAGA NERAKA)
Iaitu : Menangis lantaran takutkan Allah SWT, berbuat baik kepada ibu
bapa bersedekah secara terang-terangan serta sembunyi dan memperelok
akhlak.

KELAPAN : HAK KEPADA RIDHWAN (MALAIKAT PENJAGA SYURGA)
Iaitu : Berasa redha dengan Qadha' Allah, bersabar menerima
bala,bersyukur ke atas nikmat Allah dan bertaubat dari melakukan
maksiat.

KESEMBILAN : HAK KEPADA NABI SAW
Iaitu : Berselawat ke atas baginda, berpegang dengan syariat,
bergantung kepada as-Sunnah (Hadith), menyayangi para sahabat, dan
bersaing dalam mencari keredhaan Allah.

KESEPULUH : HAK KEPADA ALLAH SWT
Iaitu : Mengajak manusia ke arah kebaikan, mencegah manusia dari
kemungkaran, menyukai ketaatan dan membenci kemaksiatan..


"Sesungguh Solatku,Ibadahku,Hidupku,Matiku hanya kerana Allah"

Zikir Imam Syafi'e

Pengembara Ilmu, Berjalan Tanpa Henti...



أيها المهاجر عليك الوداع قريبا
   هل استعدت إذا سرت بعيدا

أمامك الشوك في الطريق واعلم
   أن وارد نهايته الربيع ريعانا

لو كان نفسك ما دمت يقين
   لا تصل إليها حتى تكون طالبا

فاحترس من الحاضر ما زلت فيه
   واحترم الماضي والفائزون سبيلا

أتحزن والنجاح قد ينتظرك
   في طريقه ويتركك وليس عجبا

إعلم يا مهاجر عن بقية عمرك
   في الليالي والأيام وليست أزيدا

فاترك اللهو فعليك ما تطلب
   واللغى تخلي يومك باطلا

ثبّت في طريقه شديدا وضيقا
   فتكون عالما وناجحا وثابتا



Wahai pengembara masa berpisah sudah semakin menghampiri,
Adakah kamu bersedia sekiranya jalanmu masih jauh

Di depan kamu jalan yang berduri maka ketahuilah,
Di penghujungnya ada musim bunga yang berkembang

Sekiranya dalam diri kamu masih ada keyakinan,
Kamu tidak akan sampai kepadanya sehinggalah kamu menjadi penuntut (berkehendak)

Berjaga-jagalah pada masa sekarang selagi mana kamu berada di dalamnya
Dan hormatilah masa lalu dan orang yang berjaya itu di jalan kamu

Adakah kau bersedih sedangkan kejayaan itu menunggumu
Di jalannya dan akan meninggalkan mu dan itu bukanlah mustahil.

Ketahuilah wahai pengembara, tentang baki umur kamu,
Pada malam-malam dan siangnya dan tidak akan bertambah

Tinggalkanlah nafsumu dan kau akan mendapat apa yang kau hendak,
Dan lagha itu akan menjadikan harimu sia-sia

Tetaplah di jalan ini dalam sempit atau susah,
Kamu akan menjadi berilmu, berjaya dan teguh.

Copyright @ 2013 Ibnu Munir™.