Tuesday 13 March 2012

Riadhah itu Ibadah...


  Segala puji bagi Allah swt, atas segala nikmat yang diberikan kepada kita semua. Nikmat yang banyak tidak terhingga, sehinggakan kita terkadang terlupa dan lalai dengan Maha Pencipta. Kita masih diberikan peluang untuk terus hidup dan beribadah kepada Allah dalam keadaan yang aman damai, alhamdulillah. Harapan diri yang lemah ini supaya peluang ini kita dapat gunakan dengan sebaik mungkin di atas muka bumi ini.

Pengenalan

InsyaAllah kali ini, riadhah menjadi tajuk pilihan. Sudah tentu, minat bersukan bermula sejak saya kecil lagi, malah menjadi hobi kegemaran khususnya bermain bola sepak. Di peringkat sekolah rendah memulakan 'karier' bola sepak sebagai seorang goalkeeper, minat mula berubah apabila melangkah masuk ke sekolah menengah. Bermain di posisi sayap menjadi kegemaran. Namun, pada akhir tingakatan empat, sudah tidak bermain secara aktif. Hanya bermain sekadar mengeluarkan peluh.
Seorang muslim pasti ingin meraih keredhaan Allah dan syurga serta selamat dari kemurkaanNya. Oleh kerana itu setiap perkara yang dilakukan haruslah selari dengan kehendak syariat dan aturan yang telah digariskan panduan syarak iaitu Al-Quran dan Sunnah. Pastinya setiap perkara yang di lakukan bermula dengan niat yang baik agar membuahkan pahala ibadah kita dan hasil yang baik. 


Riadhah dalam Islam 
Riadhah adalah kegiatan yang dianjurkan dalam Islam untuk meningkatkan kualiti jasmani yang Allah berikan kepada kita. Kegiatan ini dilakukan oleh sesiapa sahaja baik orang dewasa mahupun anak kecil, lelaki mahupun perempuan. Di dalam tubuh manusia kita terdapat dua unsur, iaitu jasmani dan rohani yang saling berkait antara satu sama lain. Rohani tanpa dukungan jasmani yang kuat tentu akan mengganggu kita untuk beribadah kepada Allah, begitu juga sebaliknya. 



Skuad Jufra' FC
Duduk dari kiri :- Faizal, Poey, Haziq, A Marwan, Razali, Nabil
Berdiri dari kiri :- Soleh, Farhan Halim,  Farhan Feisal, Usamah, Ariff, Ibnu Munir, Qawiem



Namun, demi mendapatkan kualiti jasmani yang kuat dan sihat, riadhah adalah kegiatan yang sangat penting dalam kehidupan kita. Sukan sebagai ikhtiar kita untuk menuju jasmani yang sihat mengikut landasan syariat yang telah digariskan dalam Al-Quran dan Sunnah. Allah SWT mencintai orang mukmin yang kuat daripada orang mukmin yang lemah bertepatan dengan sabda Rasulullah s.a.w,

 “ Orang mukmin yang kuat itu lebih baik dan lebih dicintai 
Allah daripada orang mukmin yang lemah.”
(Riwayat Muslim)

Apakah tujuan bersukan dalam Islam sebenarnya? 
Tujuan beriadhah adalah untuk meningkatkan ketakwaan dan untuk berjihad di jalan Allah SWT. Maka atas dasar inilah pengertian sukan ini difahami dalam Islam. Sesiapa sahaja yang memahami pengertian riadhah selain daripada pemahaman ini, bererti telah melakukan riadhah untuk tujuan yang buruk dan tiada manfaat bahkan boleh menjerumuskan diri ke dalam perjudian yang haram di sisi Islam. Asal pensyariatan sukan adalah firman Allah SWT

“ Dan siapkanlah untuk menghadapi mereka kekuatan apa saja yang kamu sanggupi...” 
(Al-Anfal: 60)

Bagaimana dikatakan riadhah itu adalah ibadah? 
Jika kita memulakan setiap aktiviti-aktiviti di dalam hidup kita, haruslah bermula dengan niat kerana Allah. Jika kita berniat untuk beriadhah kerana ingin mendapatkan  jasmani yang kuat dan sihat semata-mata untuk beribadah kepada Allah SWT, segala aktiviti yang dilakukan itu akan mendapat pahala ibadah.

 Tentang makna ibadah, Syaikhul Islam Ibnu Taimiyyah rahimahullah berkata
“ Makna ibadah sangat luas. Ia adalah nama bagi segala hal yang dicintai 
dan diredhai Allah, baik berupa ucapan mahupun perbuatan, yang zahir mahupun batin.”  

“ Ibadah adalah ketaatan kepada Allah dengan melaksanakan 
perintah Allah yang disampaikan melalui lisan para rasul.”

Menjadi kesalahan jika sebahagian kita menyangka beriadhah tidak ada kaitannya dengan din (ibadah). Ibadah bukanlah hanya terbatas kepada solat, puasa, zakat, dan haji sahaja, malah ianya merangkumi ruang lingkup kehidupan kita sebagai seorang muslim.

Penutup
Justeru itu, sebelum beriadhah, marilah sama-sama kita perbetulkan niat yang baik agar kita semua dapat meraih keredhaanNya. Ayuh sama-sama kita jadikan riadhah sebagai amalan agar badan sihat dan otak sentiasa cerdas. Berusahalah untuk terus beristiqamah dalam setiap amal ibadah kita. InsyaAllah, kita akan mendapat pahala ganjaran di akhirat kelak.

Wallahua'lam.


Ibnu Munir
13/03/2012
Universiti Yarmouk, Jordan. 



Copyright @ 2013 Ibnu Munir™.