Monday 9 April 2012

Mengorak Langkah ke bumi Jordan II...



Memandangkan ramai yang pelajar lepasan SPM yang ingin mengetahui lebih lanjut tentang Jordan, saya merasakan perkongsian ini penting untuk anda semua. Sebenarnya, hadafnya adalah untuk memudahkan pelajar -pelajar lepasan SPM yang ingin menyambung peljaran di timur tengah untuk mengetahui dengan lebih lanjut bagaimana keadaan di Jordan. Saya mengharapkan perkongsian ini dapat memberikan manfaat kepada anda semua. Sebarang permasalahan dan persoalan, anada boleh emelkan kepada saya di alamat berikut, InsyaAllah saya cuba memberi respon.
Dcshoeco_2md@yahoo.com.my


Muqaddimah
          Jordan merupakan sebuah negara yang kaya dengan sejarah. Banyak kerajaan yang bersilih-ganti memerintah tanah ini. Antaranya ialah zaman Mesopotamia, Babylon, Parsi, dan di bahagian Tenggara Jordan pernah diduduki oleh kaum Thamud (Petra). Pada tahun 106M, tanah ini berada di bawah jajahan Rom dan pada 633-636M bangsa Arab menguasai pemerintahan. Pada abad ke-16, Jordan ditakluki oleh pemerintahan Turki Uthmaniyah yang berpusat di Damsyik. Selepas Perang Dunia I, kuasa pemerintahan jatuh di tangan British dan Jordan (dahulunya dikenali sebagai Transjordan) dipisahkan daripada Palestine dan diserahkan amanah pemerintahan kepada Abdullah ibn Hussein pada tahun 1921. Jordan mencapai kemerdekaan pada 25 Mei 1946 dengan dikenali sebagai The Hashemite Kingdom of Jordan


Politik


Jordan, juga dikenali sebagai The Hashemite Kingdom of Jordan, merupakan negara yang mengamalkan pemerintahan raja berpelembagaan dengan mempunyai wakil kerajaan. Raja yang memerintah, Raja Abdullah II, memainkan peranan sebagai ketua negara, panglima angkatan tentera dan juga ketua eksekutif.
Pemerintahan dilaksanakan melalui sistem kabinet yang diketuai oleh Perdana Menteri. Semenjak tahun 1921, Jordan telah mengalami pertukaran perdana menteri sebanyak 72 orang sehingga 9 Februari 2011 lalu. Perdana Menteri Jordan yang ke-72, sekarang, bernama Maarouf Al-Bakhit.
Majlis perundangan di Jordan terdiri daripada Dewan Senat dan dewan perundangan yang lain, manakala Majlis Kehakiman merupakan badan yang bebas daripada kerajaan. Pada tahun 1989, Raja Hussien telah melaksanakan satu reformasi dalam pemerintahan yang membawa kepada sebuah negara demokrasi. Reformasi ini juga telah  menyumbang terhadap peningkatan kestabilan dan perlembagaan yang akan menguntungkan Jordan di masa hadapan.

Geografi
Jordan merupakan salah satu negara Timur Tengah yang dikelilingi oleh Arab Saudi (Tenggara), Iraq (Timur Laut), Syria (Utara) dan Palestin (Barat). Jordan juga disempadani oleh Laut Merah melalui Bandar Pelabuhan Aqabah. Kawasan sebelah Timur Jordan ialah padang pasir manakala di sebelah Barat merupakan kawasan tanah tinggi.
Cuaca
Cuaca di Jordan pula sangat menarik. Kita boleh kategorikan kepada 3 bahagian;
1) Musim Panas (Saifiy) – Musim ini muncul pada sekitar bulan Mei hingga September. Di mana-mana sahaja anda berada pasti anda dapat merasai bahang kepanasan. Suhu ketika musim panas boleh mencecah hingga 35-45°C! Menjelajah Jordan ketika musim ini sangat tidak digalakkan kerana cuacanya yang terlalu panas.
2) Musim Sejuk (Shitaa’) – Bermula bulan November, suhu di Jordan mula menurun sekitar 5-12°C. Pada kebiasaannya salji akan turun di beberapa tempat seperti Amman, Karak dan Ajloun. Di Irbid jarang turun salji, tetapi suhunya tetap rendah hingga 1-2°C! Senyuman dapat kelihatan pada wajah-wajah penduduk tempatan dan khasnya kepada pelajar Malaysia apabila hujan turun setelah sekian lama melalui musim panas yang kering-kontang. Jaket kalis air serta kasut boots disarankan untuk melalui musim shitaa’. Kebiasaannya pelajar Malaysia gembira dengan turunnya salji kerana cuaca di Malaysia tidak mengizinkan untuk bermain salji.
3) Hujung Mac hingga pertengahan Mei- Cuaca ketika ini sangat menarik. Anda tidak memerlukan baju tebal dan tidak juga memerlukan baju yang terlalu nipis kerana suhunya sedap-sedap sahaja. Bunga-bunga beraneka warna mula muncul ketika ini.
Penempatan
Majoriti warga pelajar di Jordan menetap di rumah-rumah sewa sekitar kawasan masing-masing. Para pelajar biasanya akan menyewa rumah yang biasanya dikongsi bersama 3 – 4 orang pelajar lain untuk satu tempoh yang dipersetujui bersama dengan tuan rumah.
Di Irbid, semua pelajar (kedua-dua universiti) menetap di kawasan sekitar Jalan Universiti (Syari’ Jamiah) di pekan Irbid walaupun JUST terletak 15 km dari kawasan penempatan.
Di Mu’tah majoriti pelajar menetap di kawasan berdekatan dengan pekan Mu’tah sendiri yang lebih dekat dengan kawasan kedai-kedai dan pengangkutan awam.
Di Mafraq, sebahagian mahasiswa menetap di asrama universiti dan sebahagian menetap di luar universiti yang lebih berhampiran dengan pekan Mafraq. Para pelajar yang tinggal di asrama majoriti menikmati kemudahan kos penginapan yang lebih rendah, serta perjalanan ke kelas yang lebih dekat manakala para pelajar yang berada di luar menikmati kemudahan pengangkutan awam yang lebih mudah didapati dan lebih dekat dengan pekan Mafraq.
Di Amman, majoriti warga mahasiswanya menetap di kawasan Suwaileh yang boleh dianggap sebagai kawasan pinggir bandar Amman. Dari kawasan ini, para pelajar hanya mengambil masa sekitar 15 minit perjalanan bas untuk sampai ke pusat bandar dan kawasan-kawasan utama.

Anggaran Kos Sara Hidup (Pelajar Yarmouk) Sebulan
1. Sewa Rumah - 50JD 
2. Bil Air & Eletrik  - 10JD
3. Makanan  - 40JD
4. Perhubungan (kredit h/p, internet)  - 25JD
5. Buku, nota & alat tulis - 10JD
6. Pengangkutan, kecemasan dan lain-lain - 15JD
 Jumlah -  150JD = RM650
Kedutaan Besar Malaysia Amman, Jordan memainkan peranan dan fungsi yang berbeza berbanding EMJ yang lebih tertumpu kepada urusan pengajian dan kebajikan pelajar. Kedutaan Besar Malaysia yang terletak di Bandar Amman merupakan wakil rasmi kerajaan Malaysia di Jordan yang diketuai oleh Duta Besar Malaysia ke Jordan. Urusan-urusan seperti dokumen perjalanan, pendaftaran warganegara, dan lain-lain kesemuanya terletak di bawah pengurusan pihak kedutaan besar Malaysia Jordan.


Tempat-tempat Menarik
- Petra
Kaum Nabi Soleh, atau dikenali sebagai Kaum Thamud merupakan kaum yang sangat hebat dalam seni bina. Tapi sayangnya mereka ingkar pada dakwah Nabi Soleh.
“Dan sesungguhnya penduduk negeri Hijr benar-benar telah mendustakan para rasul (mereka). dan Kami telah mendatangkan kepada mereka tanda-tanda (kekuasaan) Kami, tetapi mereka selalu berpaling darinya. dan mereka memahat rumah-rumah dari gunung batu, (yang didiami) dengan rasa aman. Kemudian mereka dibinasakan oleh suara yang mengguntur pada pagi hari. sehingga tidak berguna bagi mereka apa yang merreka usahakan”
(15:80-84)
Begitulah kisah mereka tercatat dalam al-Quran. Kelebihan yang diberikan kepada mereka oleh Allah, sehingga hari ini masih tersergam indah untuk kita sama-sama hayati dan mengambil ‘ibrah. Petra, juga dikenali sebagai “The red-rose city” kerana batu-batu yang diukir adalah berwarna merah.
Antara tempat-tempat menarik yang boleh dilawati ialah:
  • Aqabah 
  • Wadi Rum
  • Umm Qays
  • Makam-makan para Nabi dan Sahabat
  • Ma’rakah Yarmouk dan Mu’tah
  • Laut Mati
  • Gua Ashabul Kahfi
  • Kubu Salahuddin Al-Ayubi
  • Ajloun
  • Jerash
Anda juga boleh melihat website berikut :-
https//:www.visitjordan.com

Persediaan Sebelum Ke Jordan

1) Dokumen-dokumen penting
• Pasport beserta salinan
• Salinan Kad Pengenalan
• Salinan Kap Pengenalan ibu bapa atau penjaga (jika perlu)
• Salinan slip keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM)

• Medical Report dan x-ray (jika perlu)
• Acceptance / Offer Letter
• Gambar berukuran passport (sebaiknya 15 keping)
• Surat-surat penting berkaitan penajaan.

2) Pakaian
• Pakaian biasa, untuk ke kelas seperti kameja, seluar baju kurung atau jubah bagi siswi.
• Pastikan kasut yang dibawa sesuai dengan semua keadaan dan selesa.
• Sweater (jika perlu) dan selimut nipis. Pakaian dan peralatan musim sejuk boleh didapati di Jordan dengan harga yang berpatutan.
• Alatan peribadi seperti tuala, berus gigi dan sebagainya untuk permulaan.
• Al-Quran, sejadah dan keperluan ibadah lain.

3) Makanan
• Rempah ratus, ikan bilis, cili kering, sos cili, perencah dan lain-lain lagi disyorkan untuk dibawa dari Malaysia memandangkan makanan-makanan tersebut tiada/sukar didapati di sini.
• Peralatan memasak seperti periuk nasi,blender,stereka tidak perlu dibawa kerana di sini(baca:Jordan) ada dijual dan agak berkualiti.

4) Lain-lain
• Komputer Riba (Laptop) jika perlu untuk memudahkan urusan ulangkaji , slide dan nota serta pencarian maklumat di internet.
• Ubat-ubatan asas seperti panadol dan minyak angin serta lain-lain untuk kegunaan kecemasan
.
Bawa mengikut keperluan diri ( sebagai contoh sekiranya anda mempunyai sebarang penyakit yang spesifik, maka bawalah ubat yang diperlukan untuk penyakit tersebut) ubat-ubat asas seperti panadol, clarinase dan sbgnyanye ada dijual di sini(baca:Jordan). Minyak-minyak seperti gamat, afiat, panas dan sebagainya, SILA BAWA dari Malaysia.


* Pengetahuan asas computer, bahasa Inggeris dan juga bahasa Arab sangat penting untuk dikuasai memandangkan sebelum bermula sesi pembelajaran anda akan menduduki ujian kelayakan bagi menilai tahap prestasi anda.


Penutup
Sesungguhnya, saya mengalu-alukan antum semua untuk menyambung pelajaran di bumi anbiya' ini. Di sini, kita dapat mempelajari ilmu dan menimba pengalaman di tempat orang. Mudah saya katakan, jika hendak belajar senang, boleh sekadar belajar di dalam negara, tetapi jika anda inginkan cabaran dan pengalaman, saya sarankan berhijrahlah ke tempat orang untuk mencari sebanyak mungkin ilmu dan pengalaman. Semoga Allah memberkati segala kerja buat kita semua dan menjadikan kita sebagai golongan yang berbakti kepada masyarakat kelak, Amin Ya Rab.

Wallahua'lam..



Ibnu Munir
10/04/2012
Universiti Yarmouk, Jordan




Apa itu Ilmu Usul Feqh...



Dimulakan dengan bismillah, segala puji bagi Allah atas segala nikmat yang diberikan. Berasa diri ini begitu kerdil dan dhoif atas segala nikmat dan kebesaran daripadaNya. Ilmu di dada masih sedikit, tetapi mengingatkan tentang tanggungjawab dakwah sebagai seorang daie' dan pelajar yang sedang mempelajari ilmu ad-deen, perlu untuk diri ini berkongsi sedikit ilmu sebagai perkongsian yang berguna untuk masyarakat. 


Bersesuaian dengan fatrah selepas peperiksaan SPM, pasti ramai pelajar-pelajar lepasan SPM yang tercari-cari universiti yang bakal mereka masuki. Jadi, saya ingin mengambil peluang ini untuk berkongsi sedkit-sebanyak pengetahuan tentang Usul Feqh, iaitu silibus yang menjadi pembelajaran saya di Jordan. Secara ringkas, dapat saya simpulkan bidang Usul Feqh merupakan satu bidang yang sangat luas. Ditambah pulang dengan pelbagai permasalahan semasa (kontemprari) yang terjadi dalam masyakat kita pada hari ini. 


Teringat saya kata seorang senior, katanya bidang Usul Feqh ini apabila kita belum memasuki ke dalamnya, kita akan menggambarkannya seperti seekor kucing, tetapi bidang Bahasa Arab kita menggambarkannya seperti seekor harimau. Maksud yang tersirat di sebalik perumpamaan ini ialah bidang usul feqh kelihatan seperti satu bidang yang mudah apabila kita belum mendalaminya, tetapi setelah kita mendalaminya dan bermuamalah dengan masyarakat, maka bidang ini menjadi sangat rumit dan susah disebabkan berbagai masalah semasa yang timbul. Sebaliknya pula pada bidang bahasa Arab (lughah), sebelum kita memasuki dan mendalaminya, kelihatan seperti bidang yang sukar untuk difahami dan didalami, namun setelah kita benar-benar menguasainya, bidang ini merupakan bidang yang mudah. Begitulah kata seorang senior tahun tiga. Allah lebih mengetahuinya.


Muqaddimah
Ilmu Usul al-Feqh (أصول الفقه) merupakan merupakan salah satu cabang ilmu yang berperanan penting dalam menyelesaikan masalah semasa yang timbul, di mana masalah ini tidak dijumpai sebarang nas-nas dari al-Quran atau as-Sunnah.

Perkataan Usul al-Fiqh berasal dari dua perkataan bahasa Arab, iaitu Usul dan al-Fiqh. Dari segi bahasa, Usul bererti asas, sumber, kaedah atau dalil, manakala al-Fiqh membawa maksud memahami sesuatu perkara. Dari segi syarak pula, al-Fiqh bererti pengetahuan tentang hukum-hukum syarak yang berkaitan dengan perbuatan mukallaf yang difahami melalui dalil-dalil tafsili.

Hasil daripada gabungan Usul dengan al-Fiqh, maka terbentuklah satu istilah yang tersendiri iaitu Usul al-Fiqh. Ilmu Usul al-Fiqh membawa definisi ilmu tentang kaedah-kaedah mengistinbat hukum-hukum syarak yang berkaitan dengan perbuatan mukallaf dari dalil-dalil tafsili.


Sejarah Perkembangan Ilmu Usul Feqh
Pada zaman Rasulullah s.a.w, hukum-hukum diambil dari wahyu (al-Quran) dan penjelasan oleh baginda (as-Sunnah). Segala masalah yang timbul akan dirujuk kepada Rasulullah S.A.W. dan baginda akan menjawab secara terus berdasarkan ayat al-Quran yang diturunkan atau penjelasan baginda sendiri. Namun, terdapat sebahagian Sahabat yang tidak dapat merujuk kepada Nabi lantaran berada di tempat yang jauh daripada baginda, misalnya Muaz bin Jabal yang diutuskan ke Yaman. Baginda membenarkan Muaz berijtihad dalam perkara yang tidak ditemui ketentuan di dalam al-Quran dan as-Sunnah.

Setelah kewafatan Rasulullah S.A.W., sebarang masalah yang timbul dirujuk kepada para Sahabat. Mereka mampu mengistinbat hukum terus dari al-Quran dan as-Sunnah kerana:

1. Penguasaan bahasa Arab yang baik.
2. Mempunyai pengetahuan mengenai sabab an-nuzul sesuatu ayat atau sabab wurud al-hadis.
3. Mereka merupakan para Perawi Hadis.

Hal ini menjadikan para Sahabat mempunyai kepakaran yang cukup untuk mengistinbatkan hukum-hukum. Mereka menetapkan hukum dengan merujuk kepada al-Quran dan as-Sunnah. Sekiranya mereka tidak menemui sebarang ketetapan hukum tentang sesuatu masalah, mereka akan berijtihad dengan menggunakan kaedah qias. Inilah cara yang dilakukan oleh para mujtahid dalam kalangan para Sahabat seperti Saidina Abu Bakar as-Siddiq, Saidina Umar bin al-Khattab, Saidina Uthman bin Affan dan Saidina Ali bin Abu Talib. Sekiranya mereka mencapai kata sepakat dalam sesuatu hukum maka berlakulah ijma'.

Pada zaman ini, cara ulama' mengambil hukum tidak jauh berbeza dengan zaman Sahabat kerana jarak masa mereka dengan kewafatan Rasulullah s.a.w tidak terlalu jauh. Yang membezakannya ialah sekiranya sesuatu hukum tidak terdapat dalam al-Quran, as-Sunnah dan al-Ijma', mereka akan merujuk kepada pandangan para Sahabat sebeum berijtihad. Oleh sebab itu idea untuk menyusun ilmu Usul al-Fiqh belum lagi muncul ketika itu. Inilah cara yang digunakan oleh para mujtahid dalam kalangan tabi'in seperti Sa'id bin al-Musayyib, 'Urwah bin az-Zubair, dan al-Qadi Syarih.

Pada akhir Kurun Kedua Hijrah, keadaan umat Islam semakin berubah. Bilangan umat Islam bertambah ramai sehingga menyebabkan berlakunya percampuran antara orang Arab dan bukan Arab. Kesannya, penguasaan bahasa Arab dalam kalangan orang-orang Arab sendiri menjadi lemah. Ketika itu timbul banyak masalah baru yang tiada ketentuan hukumnya dalam al-Quran dan as-Sunnah secara jelas. Hal ini menyebabkan para ulama' mula menyusun kaedah-kaedah tertentu yang dinamakana ilmu Usul al-Fiqh untuk dijadikan landasan kepada ijtihad mereka.

Ilmu Usul Feqh disusun sebagai satu ilmu yang tersendiri di dalam sebuah kitab berjudul ar-Risalah karangan al-Imam Muhammad bin Idris as-Syafie. Kitab ini membincangkan tentang al-Quran dan as-Sunnah dari segi kehujahan serta kedudukan kedua-duanya sebagai sumber penentuan hukum.



Antara skop perbahasan dalam ilmu Usul Feqh

1. Dalil-dalil syarak: merangkumi dalil-dalil yang disepakati dan dalil-dalil yang tidak disepakati.
2. Dilalah (دلالة): merangkumi kaedah-kaedah istinbat hukum dari nas-nas al-Quran dan as-Sunnah.
3. Ta'arudh dan Tarjih (تعارض وترجيح): perbahasan tantang percanggahan antara dalil-dalil serta Jalan-jalan penyelesaiannya.
4. Ijtihad dan Mujtahid: merangkumi persoalan taqlid dan muqallid.
5. Hukum-hukum Kulli: merangkumi hukum-hukum taklifi dan hukum wad'ie.



Kaedah Feqh
1. Setiap perkara mengikut niatnya.
2. Yakin tidak dihilangkan dengan syarak.
3. Kesukaran mengandungi kemaudahan.
4. Kemudaratan harus dihilangkan.
5. Adat itu boleh dijadikan hukum.



Dalam bidang Usul Feqh, terdapat beberapa dalil hukum syarak yang menjadi sumber kepada sesuatu hukum. Namun begitu, dalil hukum syarak terbahagi kepada dua bahagian, iaitu :-
- Dalil-dalil yang disepakati
Jumhur Ulamak menerima dalil-dalil tersebut sebagai sumber rujukan apabila timbulnya masalah baru.
- Dalil-dalil yang tidak disepakati.
Tidak semua ulama' menerima dalil-dali ini sebagai sumber rujukan apabila timbulnya masalah-masalah baru, maknanya ialah sebahagian ulama menerima dan sebahagiannya menolak.


Contoh dalil-dalil yg disepakati ialah :
1. Al-Quran (القران)
2. As-sunnah (السنة)

3. Ijmak (الاجماع)
4. Qiyas (القياس)



Contoh dalil-dalil yg tidak disepakati ialah:
1- Al-Istihsan (الاستحسان)
2- Al-Istishab (الاستسحاب)
3- Al-Masolihul Mursalah (المصلحة المرسلة)
4- Saddu Azzaroi' (سدالذرائع)
5- ِAl-'Uruf (العرف)

6- Qaul Sohabi (قول الصحابي)
7- Syar'u min qoblina (شرع من قبلنا)


Tokoh-tokoh Feqh
1.   Imam Abu Hanifah ( Mazhab Hanafi ) 
2.   Imam Malik ( Mazhab Maliki ) 
3.   Imam asy Syafie ( Mazhab Syafie ) 
4.   Imam Ahmad ( Mazhab Hambali ) 
6.   Al-Laits bin Saad . 
7.   Ibnu Hazm.
8.   Abu Hamid Al-Ghazali.
9.   Ibnul Jauzi.
10.   Ibnu Qudamah.
11.  Al-Izz bin Abdisalam.

12.  Ibnu Taimiyah.
13.   Ibnul Qayyim.
14.  Sufyan Ats-Tsauri.
15.   Abu Yusuf.
16.   Qadi Iyadh. 
17.   Muhammad Abu Zahrah.



Mengenali Mazhab-mazhab dalam Islam
1. Mazhab HANAFI
- Asas mazhabnya ialah Al Kitab, sunnah, ijma’, qias dan istihsan.
- Beliau telah menghasilkan sebuah kitab dalam bidang ilmu kalam iaitu al-Fiqh al-Akbar.
- Dalam bidang hadith beliau mengahsilkan al-Musnad. Walau bagaimanapun tidak terdapat penulisan beliau di bidang ilmu feqh. 

2. Mazhab MALIKI
- Kitab beliau al-Muwatta’ adalah sebuah kitab besar dalam hadith dan feqh.
- Beliau telah membina mazhabnya berdasarkan 20 perkara. 5 daripada al-Quran dan 5 daripada sunnah, iaitu nas al-Kitab, zahirnya yakni umumnya, dalilnya yakni mafhum al-mukhalafah, mafhumnya yakni mafhum al-muwafaqah, tanbihnya yakni tanbih di atas ‘illah.
Yang lain ialah al-ijma, al-qiyas, amal ahli Madinah, qaul as-Sahabi, al-istihsan, sadd al-dharai meraikan khilaf, istidhab, al-masalihal mursalah dan syar man qablana. 

3. Mazhab SYAFIE
- Di Baghdad, Imam Syafie telah mengarang kitab qadim bernama al-Hujjab yang mengandungi mazhab qadim.
- Di antara hasil karya beliau ialah al-Risalah yang merupakan penulisan pertama di bidang ilmu usul fiqh, dan kitab al-Umm di bidang fiqh berdasarkan mazhab jadidnya. 
Imam Ahmad berkata , 

“Imam Syafie ialah orang yang paling alim berhubung dengan kitab Allah dan sunnah Rasulullah saw.” 
- Sumber mazhab Imam Syafie ialah al-Quran dan sunnah. Dituruti oleh ijma dan qiyas. Beliau tidak mengambil pendapat sahabat sebagai sumber mazhabnya kerana ia merupakan ijtihad yang berkemungkinan salah. Beliau juga tidak beramal dengan istihsan yang diterima oleh golongan Hanafi dan Maliki. Beliau juga telah menolak masalih mursalah dan tidak bersetuju menjadikan amal ahlul Madinah sebagai hujah. 

4. Mazhab HANBALI
- Imam Syafie pula berkata semasa beliau meninggalkan Baghdad menuju ke Mesir, “Aku keluar dari Baghdad dan aku tidak meninggalkan orang yang lebih taqwa dan paling alim di bidang fiqh selain Ibn Hanbal.”
- Beliau menerima al-Quran, sunnah, fatwa sahabat, ijma, qias, istishab, masalih mursalah dan dharai’.
- Imam Ahmad tidak mengarang kitab fiqh kerana sahabatnya telah menerima mazhabnya berdasarkan perkataan, perbuatan, jawapan-jawapan dan sebagainya.
- Beliau telah mengahsilkan al-Musnad dalam hadith, yang mengandungi lebih daripada 40,000 hadith.
- Beliau beramal dengan hadith mursal dan hadith dhaif yang boleh meningkat ke darjat hadith hasan, tetapi beliau tidak beramal dengan hadith batil dan mungkar. Beliau mengutamakan hadith mursal dan dhoif daripada qiyas.

5. Mazhab ZAHIRI
- (Pengasasnya) Abu Sulaiman Daud bin Ali al-Asfahani al-Zahiri.
- Asas Mazhab Zahiri ialah beramal dengan zahir al-Quran dan sunnah selama tidak ada dalil yang menunjukkan bahawa yang dikehendaki daripadanya ialah bukan makna yang zahir. Jika tidak ada nas, berpindah kepada ijma dengan syarat hendaklah ia merupakan ijma seluruh ulama. Mereka juga menerima ijma sahabat. Jika tidak didapati nas atau ijma, mereka menggunakan istishab, iaitu al-ibahah al-asliyyah (keharusan sediakala). 

6. Mazhab SYIAH ZAIDIYAH
- (Zaid bin Ali Zainal Abidin bin al-Hussain) Imam golongan Syiah Zaidiyah yang dianggap sebagai mazhab ke-5 selain mazhab yang empat
- Imam Zaid mengutamakan Ali bin Abi Talib daripada sahabar Rasulullah saw yang lain.

7. Mazhab SYIAH IMAMIYYAH
- Pengasasnya ialah Abu Jaafar Muhammad bin al-Hassan bin al-Farrukh al-Saffar al-A’raj al-Qummi.

- Ibn Farrukh ialah pengasas sebenar feqh Syiah Imamiyyah di Parsi.

8. Mazhab IBADIYYAH
Pengasasnya Abul al-Sya’tha’ al-Tab’i Jabir bin Zaid. 



Penutup
Sebagai kesimpulan, saya ringkaskan bahawa ilmu usul-feqh merupakan ilmu yang perlu dipelajari untuk mengetahui sesuatu hukum. Penggunaan kaedah feqh amat penting dalam menjatuhkan sesuatu hukum ke atas sesuatu permasalahan. Sungguhpun begitu, mendalaminya memerlukan satu usaha yang bersungguh. Kata Imam Jalaluddin Abdurrahman As-suyuti dalam kitabnya Al-Asybah Wan Nazhoir,
" Sesungguhnya kepakaran ilmu Feqah tidak akan didapati dgn angan-angan belaka, tidak mampu diraih dgn hanya andaian, khayalan dan keinginan palsu. Ilmunya tidak dapat diselami kecuali oleh mereka yg merenggangkan lengan bawahnya, penuh kesungguhan dan kerja keras, bersiap sedia teasing dr keluarga, rela menempuh segala kesukaran, mengharungi lautan, mengahadapi segala kepayahan dan kepenatan.."

Wallahua'lam...
*Hanya mazhab empat teratas yang masyhur dan diterima dalam Islam.
Sumber :- (Bahagian Mazhab) Feqh wa Adillatuh oleh Dr. Wahbah Zuhaily.
Al-wajiz fi  Usul Feqh oleh Dr.Abdul Karim Zaidan.
Madkhal ila Dirasah Feqh Islamiyah oleh Dr. Abdullah Mohd Soleh


Ibnu Munir
10/04/2012
Universiti Yarmouk, Irbid Jordan.

Copyright @ 2013 Ibnu Munir™.