Wednesday 30 October 2013

Pelajar atau pengajar kehidupan?

  Sekiranya kita melalui perjalanan kehidupan dengan menggunakan kaca mata seorang pelajar, nescaya kebahagiaan dan ketenangan akan sentiasa mengiringi langkah demi langkah kita.

      Ini sangat penting untuk kita hayati supaya apabila berhadapan dengan ujian, kita melihat ujian tersebut sebagai suatu subjek pengajian yang mesti dipelajari demi meningkatkan kemajuan diri di sisi Allah.

Ibrah Sultan Muhammad Al-Fateh
   
       Sultan Muhammad al-Fateh sudah bergelar pemimpin yang memerintah sebuah kerajaan yang menguasai sepertiga dunia, namun hidupnya sentiasa dipenuhi dengan aktiviti intelektual. Hal ini kerana beliau melihat dirinya sebagai seorang pelajar walaupun sudah bergelar pemimpin agung dengan gelaran “The Grand Signeur”.

   Peribadi ini dinyatakan oleh seorang tokoh sejarawan Turki, Prof. Halil Inalchik: 

“Sultan Muhammad al-Fateh pada awal pemerintahannya menunjukkan minat yang mendalam pada seni dan kebudayaan Itali selepas Renaissance. Beliau satu-satunya sultan Khilafah Uthmaniah yang berwawasan jauh dan berjiwa besar. Semata-mata mahu belajar agama Kristian daripada pakar, beliau memerintahkan paderi Gennadius menulis risalah berkenaan agama Kristian kepadanya.

   Di dalam istananya, beliau mengumpulkan sarjana-sarjana Greek dan Itali yang bertujuan untuk menulis mengenai agama Kristian seperti Amirutzes dan Trebizon, Critoboulus dari Imbros dan Ciriaco dari Ancona.

   Beliau mengarahkan Amirutzes mendapatkan untuknya peta dunia, menterjemahkan peta geografi Ptolemy dan menyediakan perpustakaan khas istana yang menyediakan karya-karya Latin serta Greek.

   Beliau menunjukkan minat kepada Gentile Bellini yang beliau bawa dari Venice bagi mengorak dinding Istana Uthmaniah dengan seni ukir Itali dan melukis potretnya sendiri.


   Berlinghieri pula menbentangkan Geographia kepada Sultan al-Fateh manakala Roberto Valturio membentangkan De e military kepadanya. Demikian juga Giovanni Maria Felifo menulis sajak Amyris memuji Sultan Muhammad al-Fateh.”

   Apabila kita berasa diri kita berilmu, maka pada saat itulah kita merrupakan seorang yang kurang berilmu. Hal ini kerana orang yang merasakan dirinya cukup berilmu, menyebabkan mereka berhenti belajar.

   Samalah seperti apabila seseorang berasa cukup kenyang, dia akan menolak daripada menjamah apa jua makanan. Berlainan pula bagi seseorang yang kelaparan akan senantiasa berusaha untuk mendapatkan makanan. Begitu juga bagi orang yang merasa dirinya tidak berilmu, maka dia akan sentiasa mencari peluang menuntut ilmu.

Ujian bukan tekanan

     Ramai dalam kalangan kita yang tidak menganggap peperiksaan sebagai tekanan hidup. Walaupun realitinya tergambar seolah-olah kehidupan mereka agak tertekan, mereka yakin bahawa ia merupakan suatu proses untuk mendapatkan pendidikan yang lebih baik. Daripada diploma kepada ijazah, kemudiannya sarjana dan seterusnya doktor falsafah.

   Bagaimana pula fikiran kita terhadap ujian yang diberikan oleh Allah dalam kehidupan kita yang berada di luar bidang pengajian? Adakah kita menganggap ia suatu ujian ataupu tekanan hidup? Musibah? Bala?

   Itulah sebabnya apabila datangkan ujian dalam kehidupan seseorang, kerap kali mereka tertekan. Mereka hanya melihat diri sebagai seorang pelajar semasa dalam kuliah dan universiti sahaja.

   Sebaik-baiknya anggaplah dunia ini merupakan suatu university tarbiah diri bagi meningkatkan lagi kedudukan  kita di sisi Allah. Inilah university kehidupan. Pada saat itu, apabila ujian datang menjengah, kita akan melihatnya sebagai suatu proses pembelajaran. Tiada lagi tekanan dan tiada lagi jiwa yang tertekan. Kehidupan akan dilalui dengan penuh ketenangan.

   Apabila kita berhenti melihat diri kita sebagai seorang pelajar, maka pada saat itu ujian yang mendatang akan membuatkan diri kita tertekan.

panduan tentang cara untuk belajar seumur hidup:

1.   Membina kesedaran kepentingan menuntut ilmu

Hayati kuasa dan keajaiban yang ada pada ilmu. Buka minda dan jiwa anda kepada pengalaman dan pembelajaran sepanjang hayat. Ia adalah satu proses mematangkan seseorang supaya menjadi manusia yang lebih bermakna. Ada kalanya ia menjadi sangat sukar apabila pengalaman yang ditempuhi bertentangan dengan kepercayaan dan prinsip hidup anda. Walau apapun,belajarlah daripada kehidupan.

2.   Tidak menyempitkan cara belajar

Ada orang yang suka menentukan cara belajar yang disukai. Kadang-kadang begitu cerewet dengan cara untuk belajar sehingga tidak pernah mempunyai masa untuk belajar. Jangan bersikap sedemikian. Rungkaikan perkara yang mengongkong anda. Terimalah hari-hari dalam hidup ini sebagai satu proses pembelajaran. Perhatikan di sekeliling,dan pelajari apa-apa yang anda belum tahu.

3.   Menggunakan masa anjal

Bayak masa ‘terbuang’ begitu sahaja semasa melakukan beberapa aktiviti rutin seperti menunggu rakan,memandu kereta atau ketika berada di dalam kenderaan awam. Sebenarnya, anda boleh melakukan banyak proses pembelajaran dalam tempoh anjal. Anda boleh membaca artikel dan buku atau mendengar audio berfaedah semasa memandu. Semua ini adalah contoh proses pembelajaran.

4.   Menjadi seperti bayi yang ingin tahu

Bina perasaan inquisitive, yakni perasaan ingin mengetahui tentang semua perkara. Kenapa televisyen boleh mengeluarkan gambar? Bagaimana sekeping cakera padat boleh menyimpan data sehingga 750 megabait,sedangkan DVD boleh menyimpan sehingga 7 gigabait? Bagaimana Muhammad al-Fatih Berjaya menawan Constantinople walaupun ia dikawal dengan sistem pertahanan yang  begitu hebat? Kenapa Hitler tewas di Stalingrad? Bagaimana sistem kenaikan gaji yang baru dilakukan? Bagaimana hendak datang ke pejabat dengan lebih mudah dan cepat? Banyak lagi pertanyaan dalam hidup ini yang anda belum tahu. Kenapa tidak bertanya?

5.   Mencari peluang untuk pengalaman baru

Jangan segan untuk menyertai dan mencuba sesuatu yang baru. Banyak perkara dalam hidup ini yang boleh dijadikan sebagai pengalaman seperti lawatan sambil belajar,kerja amal dan kebajikan serta program-program latihan diri yang sering diadakan.

6.   Bertanya sebelum melakukan sesuatu

Anda merasakan tugasan itu begitu asing, tetapi mungkin ia mudah sahaja bagi orang lain. Bertanyalah kepada orang lain tentang cara untuk melakukannya atau kaedah yang boleh anda gunakan untuk membuat rujukan. Jika anda membuat sesuatu yang luar biasa, tanyalah pendapat susulan daripada majikan supaya anda pasti bahawa ia benar-benar praktikal dan boleh diguna pakai.

7.   Belajar melayari internet

Internet umpama sebuah perpustakaan gergasi yang mengandungi jutaan ‘buku’ yang bermanfaat. Gunakannya untuk menimba ilmu baru,bukan perkara ‘haru-biru’. Belajarlah cara untuk mencari laman web yang bertepatan dengan maklumat yang anda inginkan.

8.   Mencari dan memilih mentor

Senaraikan orang di sekeliling anda yang telah berjaya dalam bidang yang anda ceburi. Dia mestilah seseorang yang mempunyai pengalaman dan diiktiraf oleh orang ramai. Sentiasalah berhubung dengannya dan bertanya jika tidak pasti tentang sesuatu perkara.

9.   Belajar daripada kesilapan

Semua orang melakukan kesilapan dan dosa. Hanya Nabi Muhammad yang maksum dan dipelihara Allah daripada dosa. Anda boleh belajar daripada kesilapan diri sendiri atau orang lain. Perhatikan kegagalan anda dan orang di sekeliling. Renungilah dan kenal pasti kelemahan dan kesilapan yang telah berlaku. Cuba perbaiki dan elakkan ia daripada berulang lagi.

Copyright @ 2013 Ibnu Munir™.