Sunday 20 May 2012

Cinta (al-Hubb)...

Pertama-tamanya kita panjatkan puji dan rasa syukur kita kepada Allah s.w.t yang telah memberikan kita nikmat iman, islam dan sihat sehingga kita masih hidup dan bernafas hingga saat ini. Semoga nikmat ini berkekalan hingga ke akhir hayat nanti, InsyaAllah..


Muqaddimah

Kita sebagai manusia pasti akan merasakan perasaan cinta, walaupun mungkin anda belum merasakannya sekarang tapi pada suatu saat pasti akan merasakannya. Setiap orang berbeza-beza cara mencintai seseorang yang mereka sayang, dan dalam islam cinta antara lelaki dan perempuan dibenarkan tetapi mestilah mengikut kehendak syarak, bukan bercinta hanya sekadar pada nafsu sahaja. 

Cinta adalah perasaan yang berlebih kepada seseorang. Cinta dalam dasarnya adalah ikatan jiwa yang sulit di lepaskan oleh seseorang. Dalam agama Islam diajarkan bahwa perasaan cinta ditujukan semata mata kepada sang pencipta, sehingga cinta kepada-Nya jauh melebihi cinta pada sesama makhluknya. Justeru, cinta pada makhluknya dicurahkan semata-mata kerana mencintai-Nya.




Terdapat banyak ungkapan berkaitan cinta yang membawa sebahagian atau keseluruhan makna sayang dalam berbagai darjat. Contohnya, kasih, sayang, suka, berahi dan sebagainya yang mempunyai hubung kait dengan perasaan cinta.

Dalam bahasa Arab, ia merupakan lumrah yang disebut dengan perkataan al-Hub (kasih atau cinta), al-mualah (saling setia), dan “al-‘isyq” (pendaman rasa kasih). Perkataan ini membawa makna cinta dalam berbagai darjatnya. Cinta adalah sebahagian daripada naluri atau intuisi yang ada dalam diri manusia yang dibekalkan oleh Allah S.W.T. Ia menjana kecenderungan dalam diri seseorang kepada orang lain yang menyebabkan dia memuja, menyanjung, dan beriltizam untuk membantu, menyanjung, mengambil hati serta membelai perasaan pihak yang dicintai. 

"Cinta merujuk kepada perasaan jernih dan bersih yang berputik di hati. Ia menimbulkan suatu bentuk iltizam khusus, dan membawa makna lebih daripada sekadar redha atau puas. Orang mungkin redha dengan seseorang atau sesuatu, tetapi itu tidak bermakna dia mencintai, kasih atau menaruh hati kepadanya. 

“Cinta teras kehidupan; ia pencetus rindu, yang mengukuhkan hubungan antara seseorang manusia dengan yang lain; baik manusia atau objek-objek lain. Sekiranya graviti adalah hukum alam yang mengikat antara bulan bintang dan planet .Ia menghalang pelanggaran antara planet-planet tersebut, maka cinta adalah rasa kasih sayang yang menambat dan menautkan hubungan kemanusiaan. Perasaan Cinta inilah yang menghalang mereka daripada bersengketa, dan melakukan pertarungan yang menumpahkan darah. 

Cinta adalah gejolak jiwa dan emosi yang terpancar dari batin manusia yang menampilkan kepadanya rasa bahagia dan damai. Perasaan ini memadukan seseorang dengan kekasihnya dalam perasaan suka, serasi dan sesuai hingga bertaut . Kalau cinta telah bercambah ia berubah menjadi perasaan mahu bersama dengan kekasih sehingga ia merasa fana dalam kesatuan. Tidak ada lagi perbedaan antara mereka berdua. Cinta adalah ikatan ruh dan hubungan kejiwaaan dan intuisi yang berkobar dalam diri. Ia mengungkapkan diri dalam berbagai bentuk expresi; seperti memuji, mencium, menghurmati, menjabat tangan, memberi nasihat, mendakap, menghindarkan bahaya, memberi hadiah, menemani, menziarahi, menyimpan gambar ingatan, saling menghantar memo kasih hinggalah sampai ke taraf hidup bersama. 


Cinta Menurut Islam
“Sebab itu di dalam Islam, cinta amat dititikberatkan dan sangat diberi perhatian,” Di dalam al-Quran, perkataan al-Hubb disebut 88 kali, tetapi hanya sekali yang merujuk kepada cinta antara lelaki dan perempuan, iaitu dalam ayat 30 surah Yusuf; 


وَقَالَ نِسْوَةٌ فِي الْمَدِينَةِ امْرَأَةُ الْعَزِيزِ تُرَاوِدُ فَتَاهَا عَن نَّفْسِهِ قَدْ شَغَفَهَا حُبّاً إِنَّا لَنَرَاهَا فِي ضَلاَلٍ مُّبِينٍ

“Dan wanita-wanita di kota berkata: ‘Isteri Al Aziz menggoda teruna (angkat)nya. Dia sudah dilamun cinta berahi. Kami berpendapat beliau terang-terang telah menyimpang.” 

Manakala kebanyakan ayat-ayat lain merujuk kepada golongan yang disukai oleh Allah S.W.T atau golongan yang dimurkainya, contohnya dalam surah al-Baqarah: 195 (Allah suka orang-orang yang berbuat baik), al-Imran: 46 (Allah suka orang yang sabar), al-Imran: 159 (Allah suka orang yang bertawakal), at-Taubah: 108 (Allah suka orang yang mengamalkan budaya bersih), as-Saf: 4 (Allah suka orang yang berjuang di jalan-Nya), al-Baqarah: 205 (Allah tidak suka perbuatan orang yang melakukan kerosakan dalam masyarakat), an-Nisaa:107 (Allah tidak suka para pengkhianat yang banyak berbuat dosa), al-Mumtahanah: 8 (Allah suka orang-orang yang adil), dan al-Imran: 31 (… “Jika kamu (benar-benar) mencintai Allah, ikutilah aku, nescaya Allah mengasihi dan mengampuni dosa-dosamu…”) 

Perkataan sayang, kasih, yang diulang banyak kali ini membayangkan cinta sememangnya suatu yang penting di dalam Islam. Malah ada ulama berpendapat agama tidak lain adalah cinta atau kasih sayang. Jika tidak ada kasih sayang, seolah-olah tidaklah ada penghayatan agama. “Cinta adalah suatu yang bersifat teras dalam Islam, malah iman itu tidak lain dari sayang, membenci, memberi kerana Allah S.W.T. Agama Islam adalah agama yang berteraskan kepada perasaan cinta dan kasih kerana Allah.” Dalam hubungan ini terdapat banyak hadis Rasulullah saw yang menekankan soal cinta dan kasih sayang. Di dalam sepotong hadis riwayat Muslim dinyatakan, 

“Demi Allah yang memakmurkan dunia, kamu tidak akan masuk syurga sehingga kamu beriman, kamu tidak akan beriman sehinggalah kamu berkasih sayang antara satu sama lain.” Baginda juga bersabda, “Sesiapa yang sayang kerana Allah, benci kerana Allah, memberi kerana Allah, dan menahan kerana Allah, maka telah sempurna imannya.” 

Rasulullah saw turut mengajarkan doa,
Ya Allah, kurniakanlah kepadaku rasa sayang dan kasih kepada-Mu, dan rasa kasih sayang kepada orang yang sayang kepada-Mu, dan jadikanlah kasih sayang kepada-Mu itu lebih aku sukai daripada air yang dingin.” 

Cinta di tahap kedua disebut al-Hub al-ausat atau cinta tahap pertengahan yang berkaitan dengan individu, keluarga, masyarakat dan sebagainya. Gerak hati dan perasaan manusia yang merasakan dirinya terpikat kepada orang lain dengan talian nasab, kekeluargaan, persahabatan dan sebagainya. Cinta seperti ini juga diperlukan dalam masyarakat manusia dan digalakkan oleh Allah S.W.T. Umpamanya mengasihi ibu bapa, isteri, suami, anak-anak, saudara mara dan sesama manusia akan mewujudkan suasana rukun damai dan harmoni. Tanpa cinta dalam martabat ini, tidak mungkin sebuah keluarga akan mendapat kebahagiaan. Akibat dari itu sudah pasti tidak akan ada zuriat yang dapat dilahirkan, dan tidak mungkin kukuh jalinan kemasyarakatan
Tahap cinta ketiga adalah cinta yang bertaraf rendah, negatif, dan memusnahkan manusia atau di sebut al-Hub al Adna. Contohnya cinta dan kasih kepada seorang yang zalim, diktator, atau orang yang menganggap dirinya sebagai tuhan. Dalam surah al-Mumtahanah: 1, Allah berfirman; “Hai orang-orang yang beriman, janganlah kamu mengambil musuh-Ku dan musuhmu menjadi teman-teman setia yang kamu sampaikan kepada mereka (berita-berita Muhammad), kerana rasa kasih sayang; padahal sesungguhnya mereka telah ingkar kepada kebenaran yang datang kepadamu….” 

Begitu juga kasih sayang, berahi yang menyebabkan seseorang bergelumang dengan maksiat dan kedurjanaan. Mencintai sesama insan atau lain-lain melebihi cinta kepada Allah, rasul dan jihad termasuk dalam kategori cinta bertaraf rendah ini. Ini ditegaskan oleh ayat al-Quran, surah at-Taubah: 24, 

“Katakanlah: ‘Jika bapa-bapa, anak-anak, saudara-saudara, isteri-isteri kaum keluargamu, harta kekayaan yang kamu usahakan, perniagaan yang kamu khuatiri kerugiannya, dan rumah-rumah tempat tinggal yang kamu sukai, adalah lebih kamu cintai daripada Allah dan rasul-Nya dan (dari) berjihad di jalan-Nya, maka tunggulah sampai Allah mendatangkan keputusan-Nya.’ Dan Allah tidak memberi petunjuk kepada orang-orang fasik.”

Bahkan ada hadis menyatakan, “Tidak akan beriman seorang daripada kamu sehingga aku lebih disayangi dari hartanya, anaknya dan orang lain,” 

“Ya Allah kekalkanlah kehidupanku selagi kehidupan itu lebih baik bagiku, dan matikanlah aku selagi mati itu lebih baik bagiku.”



Antara Jenis dan Peringkat Cinta

PERTAMA

Cinta kepada Allah swt. Cinta Allah sahaja tidak cukup untuk bebas dari azab Allah swt kerana orang-orang musyrikin dan penyembah berhala juga mencintai Allah swt. Mereka mempunyai jenis cinta yang keempat iaitu syirkul mahabbah.



KEDUA

Mencintai apa yang Allah cintai. Inilah yang membezakan diantara orang Islam dan orang kafir. Orang yang paling disayangi oleh Allah adalah orang yang paling kuat cinta jenis ini. Apa yang dicintai oleh Allah swt adalah begitu banyak disebut dalam al-Quran dan hadis Rasulullah saw. Antaranya yang disebut dalam al-Quran adalah:



“Sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berperang dijalan-Nya dalam barisan yang teratur seakan-akan mereka seperti suatu bangunan yang tersusun kukuh.” Ayat 4 surah as-Saff.



Ada lapan golongan yang dikasihi Allah seperti dalam al-Quran iaitu 1. Al-Muttaqun. 2. Al-Muhsinun. 3. As-Sabirun. 4. At-Tawwabun. 5. Al-Mutatahhirun. 6. Al-Mutawakkilun. 7. Al-Muqsitun 8. Al-Muqatilun fi sabilillah. I

Adapun perkara yang dikasihi Allah swt dalam hadis adalah seperti berikut:
“ Sesiapa yang cinta untuk bertemu dengan tuhan , Allah juga cinta untuk menemuinya.” Hadis sahih Bukhari (2443)

Allah swt berfirman dalam hadis qudsi:
“ Tidak ada perkara yang lebih mendekatkan hambaku denganku daripada kefarduan yang aku fardukan kepadanya. Hambaku sentiasa mendekatkan diriku dengan amalan-amalan sunat sehinggalah aku kasih kepadanya.” Hadis sahih riwayat Bukhari (6137)

KETIGA
Mencintai sesuatu kerana Allah swt. Nabi saw bersabda:

“ Sesiapa yang menyintai kerana Allah, membenci kerana Allah, memberi kerana Allah dan menegah kerana Allah sesungguhnya telah sempurna imannya.” Hadis riwayat Tirmizi (2521), Abu Daud, Ahmad dan Hakim dengan sanad yang hasan.



Nabi saw juga bersabda:

“ Tidak ada dua orang lelaki berkasih sayang kerana Allah melainkan yang terbaik diantara keduanya adalah yang paling mengasihi saudaranya.” Hadis riwayat Hakim dan diakui oleh zahabi akan kesahihannya.

KEEMPAT
Cinta sekutu (partnership love) atau syirkul mahabbah. Setiap benda yang dicintai bukan kerana Allah dan bukan diperintah oleh Allah maka dia telah mensyirikkan cinta. Ramai yang menyintai Allah , tapi dalam masa yang sama dia menyintai benda lain bukannya kerana Allah. Inilah yang dirakamkan dalam al-Quran:



“Dan diantara manusia ada orang-orang yang menyembah tandingan-tandingan selain Allah; mereka mencintainya sebagaimana mereka mencintai Allah. Adapun orang-orang yang beriman amat sangat cintanya kepada Allah.”. Ayat 165 surah al-Baqarah



KELIMA
Cinta yang semula jadi. Inilah yang disebut oleh Allah swt dalam kitab suci al-Quran:



“Dijadikan indah pada (pandangan) manusia kecintaan kepada apa-apa yang diingini, yaitu: wanita-wanita, anak-anak, harta yang banyak dari jenis emas, perak, kuda pilihan, binatang-binatang ternak dan sawah ladang. Itulah kesenangan hidup di dunia, dan di sisi Allah-lah tempat kembali yang baik (syurga).” Ayat 14 surah Ali Imran



Imam Ibnu Qayyim berkata:
“ Cinta ini tidak dicela kecuali sekiranya melalaikan dari mengingati 
Allah dan menjauhkan dari cintaNya.”

Firman Allah swt:
"Wahai orang-orang beriman, janganlah hartamu dan anak-anakmu melalaikan kamu dari mengingat Allah. Barangsiapa yang berbuat demikian maka mereka itulah orang-orang yang merugi." Ayat 9 surah al-Munafiqun. 



Penutup
Bercinta dalam diharuskan tetapi hendaklah tidak melebihi cinta kita kepada Allah dan RasulNya. Sebagai seorang hamba, kita hendaklah menjalankan amanah dan mementingkan cinta ukhrawi berbanding duniawi. Semoga kita tergolong dalam golongan orang-orang beriman dan bertaqwa. InsyaAllah Taala. Wallahua'lam.

Ya Allah, kurniakanlah kepadaku rasa sayang dan kasih kepada-Mu, dan rasa kasih sayang kepada orang yang sayang kepada-Mu, dan jadikanlah kasih sayang kepada-Mu itu lebih aku sukai daripada air yang dingin.


عندما تحب شخص لأنه جميل فهذا ليس حب بل شهوة,"
وعندما تحب شخص لأنه ذكيفهذا ليس حب بل اعجاب, 
وعندما تحب شخص فقط لمجرد أنه غني فهذا ليس حب بل لأنك مادي,
وعندما تحب شخص لأنهجيد بنظرك فهذا ليس حب بل شكر لاحساسك,

لكن ان أحببت شخص وأنت لا تعرف لماذا تحبه,
فهذا الحب........الحقيقي.." 


Ibnu Munir
20/05/2012
Universiti Yarmouk, Jordan.

Copyright @ 2013 Ibnu Munir™.