Friday 30 March 2012

Wajib Berdakwah Walaupun Diri Belum Sempurna...


Alhamdulillah, bersyukur atas segala nikmat kesenangan yang telah Engkau berikan. Malah, nikmat yang paling besar yang diberikan iaitu nikmat iman dan islam yang menjadi tunjang dalam kehidupan seharian kita. Semoga nikmat yang dikecapi ini kita dapat menghargainya dengan sebaik mungkin. Sebagai hamba, kita dituntut untuk beribadah kepada-Nya, namun begitu, tidak dilupakan juga satu tanggungjawab yang perlu dilaksanakan iaitu sebagai seorang pendakwah tidak kira di peringkat mana kita berada. Menjadi seorang daie' adalah satu tanggungjawab yang besar. 


Segala tanggungjawab ini perlu dipikul dengan penuh amanah dan adil. Sebagai seorang seorang pelajar jurusan Syariah Islamiyah, sudah tentu tugas sebagai seprang pendakwah adalah perkara yang tidak dapat tidak, dilakukan dengan penuh iltizam. Pada kali ini, saya tertarik dengan satu tajuk yang memberi impak yang mendalam dalam diri saya khasnya. "Adakah kita wajib berdakwah walaupun diri belum sempurna?"

Muqaddimah

Ramai orang mengetahui bahawa tugas berdakwah adalah wajib ke atas setiap individu. Walau bagaimanapun, masih ramai yang tidak mahu melibatkan diri dalam kerja-kerja dakwah disebabkan oleh beberapa kekeliruan. Antara kekeliruan yang sering timbul adalah menanti kesempurnaan diri sebelum memulakan dakwah. Hal ini menyebabkan sebahagian daripada umat Islam tidak mahu mengajak kepada makruf dan mencegah kemungkaran kerana merasakan amalannya belum cukup mantap dan dirinya masih diselimuti dengan banyak kelemahan.

Berhubung dengan isu ini, Imam Said bin Jubair berkata: 

"Jika seseorang tidak mahu mengajak kepada yang makruf dan mencegah kemungkaran sehingga keadaan dirinya sempurna, maka tidak akan ada seorang pun yang akan mengajak kepada yang makruf dan mencegah kemungkaran.


Kewajipan Berdakwah
Sebahagian umat Islam tidak mahu berdakwah kerana merasakan dirinya belum mengamalkan segala ilmu yang sudah diketahui. Mereka juga khuatir tidak dapat melaksanakan perkara yang diseru. Berhubung dengan ini, Imam al-Hasan berkata: 

"Siapakah antara kita yang telah melaksanakan segala yang diserukannya? Syaitan amat menyukai jika manusia terpedaya dengan sikap ini sehingga akhirnya tidak ada sesiapa pun yang mahu mengajak kepada yang makruf dan mencegah kemungkaran."


Secara dasarnya, kewajipan berdakwah dituntut ke atas setiap individu yang mukalaf dan berdaya. Syarat berdaya atau mampu perlu difahami dengan betul. Hakikatnya, Islam mengakui tahap kemampuan setiap individu adalah berbeza. Justeru nabi bersabda: “Barang siapa antara kamu yang melihat kemungkaran hendaklah clicegah dengan tangannya. Jika tidak berdaya hendaklah dicegah dengan kata-katanya dan jika tidak berdaya hendaklah dicegah dengan hatinya dan mencegah dengan hati adalah tanda selemah-lemah iman. Hadis ini diriwayatkan oleh Imam Muslim.

Berhubung dengan mencegah kemungkaran, kadar minimum yang dituntut adalah mengingkarinya dengan hati. Mencegah kemungkaran dengan hati bermaksud membencinya dengan hati disertai
dengan azam untuk mencegahnya dengan lisan ataupun perbuatan apabila dia mampu. Membenci maksiat dengan hati hukumnya adalah wajib ke atas setiap individu dan sesiapa yang menyetujui suatu kemungkaran bererti dia bersekongkol dengannya.

Iman memerlukan bukti dan salah satu buktinya adalah membenci maksiat. Tanpanya, iman akan berkecai dalam hati seseorang. Imam Bukhari dan Muslim meriwayatkan sabda nabi berhubung dengan perkara ini yang bermaksud:

"(Jika hati seseorang tidak membenci kemungkaran), tidak ada 
selepas itu iman walaupun sebesar biji sawi."

Hati yang tidak membenci kemungkaran akan binasa. Sahabat nabi bernama Abdullah ibn Mas'ud pernah menegaskan: 'Binasalah mereka yang tidak dapat membezakan yang makruf dan yang mungkar dengan hatinya.' Secara dasar, pengabaian dalam melaksanakan amar makruf dan nahi mungkar mengundang azab dan seksaan daripada Allah. Berhubung dengan ini, dalam surah al-Anfal ayat 25 Allah berfirman:
"Dan peliharalah dirimu daripada seksaan yang tidak khusus menimpa ke atas mereka yang zalim dan kalangan kamu sahaja. Dan ketahuilah Allah maha keras seksaannya."

Ayat ini menjelaskan, apabila azab menimpa disebabkan kemungkaran yang berleluasa, ia tidak hanya menimpa ke atas mereka yang melakukan maksiat, ia juga menimpa ke atas mereka yang soleh yang mengabaikan dakwah.

Ayat ini disokong oleh beberapa hadis nabi yang antaranya diriwayatkan oleh imam Muslim yang bermaksud:

Zainab binti Jahsy bertanya kepada nabi, "adakah kita akan dimusnahkan sedangkan golongan yang soleh masih ada di kalangan kita?" Nabi menjawab,"ya, apabila kekejian berleluasa."

Dalam riwayat lain oleh Imam Tarmizi, nabi bersabda:


"Apabila manusia melihat kezaliman dilakukan oleh seorang yang zalim dan mereka tidak mencegahnya, tidak berapa lama lagi azab daripada Allah akan menimpa ke atas mereka semua"


Imam Bukhari pula meriwayatkan sabda nabi yang bermaksud:

"Perumpamaan mereka yang memelihara batas-batas agama Allah dengan golongan yang melanggarnya adalah seperti sebuah kapal yang dipenuhi penumpang pada bahagian atas dan bawahnya. Golongan yang berada pada bahagian bawah, apabila ingin mengambil air terpaksa menaiki bahagian atas kapal bagi mendapatkannya. Akhirnya penumpang pada bahagian bawah berkata, "alangkah baiknya jika kita tebuk saja lantai kapal ini untuk mendapatkan air dan dengan cara demikian kita tidak lagi menyusahkan rakan-rakan kita pada bahagian atas. "™ Jika penumpang-penumpang pada bahagian atas tidak mencegah perbuatan akan-rakan mereka di bawah, mereka semua akan tenggelam. Jika mereka mencegah, kesemua mereka akan selamat..."


Persiapan Pendakwah Ilmu adalah asas bagi segala kebaikan. Ilmu-ilmu teras fardu ain wajib pelajari oleh setiap individu yang hendak berdakwah dan ilmu ini perlu diperkukuhkan dengan ilmu-ilmu kontemporari yang selari dengan ajaran Islam. Penguasaan ilmu memerlukan pengorbanan serta keazaman yang tinggi dan untuk itu, kerja-kerja tidak berfaedah perlu ditinggalkan. Di dalam surah
al-Mukminun ayat 3 Allah berfirman:

"Antara sifat-sifat mukmin yang berjaya adalah mereka menjauhi

perbuatan dan perkataan yang lagha."

Istilah lagha mempunyai maksud tertentu. Imam Ibn Kathir mentafsirkannya sebagai, segala perbuatan batil termasuk yang mempunyai unsur-unsur syirik, perbuatan maksiat, serta segala perkara yang tidak berfaedah sama ada dalam bentuk perkataan ataupun perbuatan.

Membuang masa pada perkara tidak berfaedah menjadi salah satu punca kejatuhan umat Islam sebelum ini. Di dalam al-Quran terdapat beberapa gelaran yang diberikan Allah kepada golongan berilmu sebagai lambang kemuliaan. Antara gelaran itu adalah rabbani. Berhubung dengan ini, Allah berfirman dalam surah ali-Imran ayat 79:

"Jadilah kamu pengabdi2 (rabbani) Allah, kerana kamu mengajarkan 
kitab dan kamu mempejarinya."


Ilmu yang dituntut dalam Islam terbahagi kepada dua bahagian iaitu fardu ain dan fardu kifayah.  Ilmu fardu ain adalah sebagai ilmu yang wajib dituntut oleh setiap hamba Allah yang berakal lagi baligh tanpa pengecualian. Ilmu fardu ain yang wajib dituntut adalah yang berkaitan dengan akidah atau tauhid bertujuan memantapkan iman, tasawuf bagi membersihkan hati serta akhlak dan feqah bagi mengetahui perkara yang diwajibkan dan diharamkan. Ilmu fardu kifayah adalah Ilmu yang wajib dikuasai umat Islam dalam bidang-bidang yang amat diperlukanmasyarakat. Namun, tidak semua individu Muslim dan Muslimah perlu menceburi dalam bidang-bidang ini apabila sebahagian daripada umat Islam sudah menguasainya, masyarakat secara amnya terlepas daripada dosa dan bebanan.


Islam juga menuntut umatnya mempersiapkan diri dengan segala teknologi yang perlu bagi  menghadapi musuh dan persiapan ini termasuk dalam tuntutan fardu kifayah yang disebutkan sebelum ini. 


Imam al-Ghazali menyenaraikan empat keadaan yang mungkin ditempuhi pendakwah di dalamkitabnya yang masyhur iaitu Ihya' Ulumuddin.

1. Tidak wajib berdakwah
Pendakwah menyedari dakwahnya tidak akan mendatangkan sebarang manfaat dan berkemungkinan dia akan dipukul, dicederakan atau dibunuh. Dalam suasana seperti ini, tidak wajib baginya melaksanakan dakwah.

2. Wajib berdakwah 

Pendakwah menyedari dakwahnya boleh menyebabkan kemungkaran tercegah
dan tidak ada sesiapa pun yang berani melakukan sebarang tindak balas ke atasnya. Dalam suasana seperti ini, dia wajib melaksanakan dakwah.

3. Sunat berdakwah

 Pendakwah menyedari dakwahnya tidak akan mendatangkan sebarang kesan positif dan dia sanggup memikul sebarang risiko yang mungkin menimpa ke atas dirinya. Dalam situasi seperti ini, dia disunatkan menyampaikan dakwah
tetapi tidak diwajibkan ke atasnya.

4. Sunat berdakwah

Pendakwah menyedari dakwahnya akan memudaratkan dirinya tetapi jika dilakukan juga ia dapat mencegah kebatilan yang sedang berlaku. Dalam keadaan seperti ini, dakwah disunatkan ke atasnya.

Contoh-contoh keadaan bahaya atau mudarat yang dikira sebagai alasan yang sah untuk tidak melaksanakan amar makruf dan nahi mungkar ialah dipukul dengan teruk, dimusnahkan rumah dan tempat tinggalnya, diambil segala harta bendanya dan yang seumpamanya. Jika kemudaratan yang akan menimpanya hanyalah dalam bentuk dihina, caci, maki, kutuk, perli, sindir dan sebagainya, kewajipan berdakwah tetap dibebankan ke atasnya kerana Allah mengarahkan agar kita bersabar ketika melaksanakan kerja-kerja dakwah.

Penutup

Bagi individu yang sanggup menanggung sebarang risiko, syariat Islam mengizinkannya melaksanakan dakwah walaupun dia mungkin dibunuh. Walau bagaimanapun, kesanggupannya untuk berkorban perlu juga diimbangi dengan hasil yang bakal diperolehi supaya pengorbanannya tidak dilakukan secara semberono yang bakal merugikan perjuangan. Dalam berdakwah, setiap pendakwah perlu mengetahui isu-isu semasa bagi menangkis keraguan-keraguan yang timbul. Pendakwah juga haruslah mempelajari pelbagai bidang ilmu bagi mempersiapkan diri untuk berbakti kepada masyarakat.

Wallahua'lam.


Ibnu Munir
30/03/2012
Universiti Yarmouk, Jordan.

Copyright @ 2013 Ibnu Munir™.