Friday, 31 August 2012

Filled Under:

Syawwal...

Bismillah, Assalamualaikum wm. wb.

Berkesempatan di bulan Syawal ini, saya ingin memohon keampunan kepada semua khususnya kepada sesiapa yang mengenali diri ini (Ibnu Munir) sama ada kesilapan yang saya sedari atau tidak. Saya juga ingin mengambil peluang ini untuk mengucapkan "Kullu 'Am Wa Antum Bikheir.." dan Selamat Hari Raya Adilfitri 1433 kepada seluruh kaum keluarga, sahabat handai, dan seluruh umat Islam amnya .. Semoga Amalan kita di bulan Ramadhan diterima oleh Allah s.w.t.

Keistimewaan Bulan Syawwal


Bulan Kembali Kepada Fitrah

Umumnya setelah sebulan membanting tenaga beribadah kepada Allah SWT, menjaga solat, menjaga waktu, menjaga puasa, membasahi lidah dengan berzikir, menenangkan hati dengan mengingati Allah dan sebagainya, tentulah di akhir 30 hari, kembalilah kita dalam keadaan bersih seperti bayi-bayi yang baru dilahirkan. 

 Bulan Takbir

Walaupun kita bertakbir hanya sehari semalam di bulan Syawal tetapi takbir yang dilaungkan bergema terus menerus dari awal hari iaitu selepas Maghrib hingga ke penghujung hari iaitu selepas Asar. Disamping bertakbir, kita juga digalakkan berzikir dan bertahmid sebagai tanda syukur atas nikmat-nikmat Allah SWT. Berfirman Allah SWT: "Dan agar kamu membesarkan Allah atas apa-apa yang telah Ia berikan petunjuk kepada kamu, dan agar kamu bersyukur atas nikmat-nikmat yang telah diberikan" (Surah Al-Baqarah: Ayat 185).

 Bulan Silaturrahim

Jika dibandingkan dengan bulan-bulan yang lain, umat Islam lebih cenderung menjalinkan hubungan silaturrahim pada bulan mulia ini sedangkan mengeratkan hubungan sesama saudara dituntut dalam agama apatah lagi bagi mereka yang bertengkar. Allah SWT berfirman: “Sebenarnya orang-orang yang beriman itu adalah bersaudara, maka damaikanlah di antara dua saudara kamu (yang bertelingkah) itu dan bertakwalah kepada Allah supaya kamu beroleh rahmat.” (Surah AlHujraat ayat 10)

 Bulan Ceria



Menjadi kebiasaan kita memakai baju yang baru dan berwarna warni di bulan ini sehingga wajah tampak berseri-seri dan ceria. Dengan motivasi hasil dari kemenangan mendisplin diri, bantu membantu dan mengeratkan silaturrahim, hubungan kekeluargaan dan persahabatan menjadi semakin manis dan mesra menjadikan bulan ini bulan yang ceria buat semua warga Islam se dunia.

 Bulan Peningkatan



Sesuai makna Syawal dari segi bahasa iaitu peningkatan, bulan Syawal sememangnya menuntut peningkatan iman dengan menyambung dan memperbanyakkan lagi usaha yang telah kita lakukan di bulan Ramadan.

 Bulan Nikah



Bulan Syawal juga dikenali dengan bulan nikah kerana Nabi Muhammad SAW menikahi Sayyidatina Aisyah dan Ummu Salamah di bulan Syawal. Diriwayatkan dari Siti Aisyah ra: “Rasulullah SAW menikahi saya pada bulan Syawal, berkumpul dengan saya pada bulan Syawal. Maka siapakah isteri beliau yang lebih beruntung daripada saya?”

 Bulan Pembuktian Takwa



Inilah kelebihan bulan Syawal iaitu membuktikan keberhasilan takwa yang kita bina di bulan Ramadan.



-13 Syawwal 1433H-

0 comments:

Post a Comment

Copyright @ 2013 Ibnu Munir™.